(SEMASA)  ZXMOTO 820RR KINI RASMI DI PASARAN MALAYSIA, TAMPIL DENGAN PRESTASI SUPERSPORT TIGA SILINDER.

Spread the love

PULAU PINANG, 13 NOVEMBER 2026 – ZXMOTO 820RR bakal tersedia di pasaran Malaysia mulai Isnin minggu hadapan, selepas diperkenalkan secara rasmi kira-kira dua bulan lalu pada 13 September 2026, menerusi acara “Rise of the Champions, ZXMOTO Official Launch” yang berlangsung sempena Mforce Mid-Autumn Gala Dinner 2026.

Ditawarkan pada harga RM39,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, ZXMOTO 820RR tampil sebagai jentera supersport berprestasi tinggi dengan kapasiti besar, dikuasakan dengan enjin tiga silinder selari bersama pelbagai teknologi terkini. Hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Eclipse Black, Ghost White dan Rebel Red, model ini menampilkan reka bentuk aerodinamik dengan karakter jentera supersport. Setiap perincian teknologi serta reka bentuknya mencerminkan identiti yang agresif dan dinamik, melengkapkan penampilannya sebagai sebuah motosikal berprestasi tinggi.

ZXMOTO 820RR dikuasakan enjin 818.8 cc tiga silinder sebaris, 12 injap, DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan minyak, mampu menghasilkan kuasa maksimum 99 kW pada 12,000 rpm serta tork maksimum 80 N.m pada 9,500 rpm. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 80 × 54.3 mm dengan nisbah mampatan 13:1, memberikan konfigurasi enjin berkapasiti tinggi yang menjadi teras prestasi model ini.

Dipadankan dengan klac basah berbilang plat jenis gelincir serta sistem penukaran gear pantas dua hala, ZXMOTO 820RR membolehkan penukaran gear ke atas dan ke bawah tanpa perlu menggunakan klac, sekali gus lebih lancar dan pantas. Model ini turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 18 L bagi melengkapkan keperluan tunggangan.

Bagi aspek pengendalian pula, ZXMOTO 820RR dilengkapi sistem suspensi hadapan boleh laras dan suspensi belakang jenis monoshock, kedua-duanya dengan pelarasan prabeban dan redaman boleh laras sepenuhnya. Konfigurasi ini membolehkan penunggang menyesuaikan tetapan suspensi mengikut gaya tunggangan dan keadaan permukaan jalan. Model ini turut menggunakan rangka aloi aluminium tuang yang melengkapkan lagi kestabilan dan keseimbangan ketika menunggang.

Sistem brek ZXMOTO 820RR menggunakan cakera berkembar terapung 320 mm di bahagian hadapan dan cakera tunggal tetap 220 mm di bahagian belakang. Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) juga tersedia, dengan kedua-dua sistem boleh dinyahaktifkan mengikut pilihan penunggang.

Dari segi dimensi, ZXMOTO 820RR berukuran 2,050 mm panjang, 745 mm lebar dan 1,160 mm tinggi, serta jarak roda boleh laras antara 1,419.5 mm hingga 1,423 mm. Ketinggian tempat duduknya ialah 825 mm, dengan sudut stereng 26 darjah dan berat motosikal sedia ditunggang 193 kg.

Tayar bersaiz 120/70 ZR17 digunakan di bahagian hadapan dan 190/55 ZR17 di bahagian belakang, dipadankan dengan rim sport. Jentera ini juga dilengkapi sayap aerodinamik yang direka untuk mengoptimumkan aliran udara dan meningkatkan kestabilan ketika tunggangan berkelajuan tinggi.

Antara ciri menarik yang ditawarkan ZXMOTO 820RR ialah lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Custom-1 dan Custom-2. Dengan ciri ini, selain pilihan mod tunggangan sedia ada yang disesuaikan untuk pelbagai keadaan jalan raya dan keperluan tunggangan, penunggang juga boleh menetapkan mod tersendiri mengikut pilihan masing-masing, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti dan kawalan untuk pengalaman tunggangan yang lebih diperibadikan.

Dari sudut teknologi, ZXMOTO 820RR menampilkan paparan meter TFT berwarna yang membolehkan penunggang melihat maklumat penting berkaitan tunggangan dan tetapan sistem dengan mudah. Serasi dengan aplikasi pihak ketiga EYLink, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, pencerminan skrin dan ciri sambungan telefon pintar lain. Sambungan Bluetooth dan port pengecas USB juga tersedia bagi memudahkan penggunaan peranti sepanjang perjalanan.

Untuk keselesaan ketika perjalanan jauh, ZXMOTO 820RR juga lengkap dengan Sistem Kawalan Jelajah (CCS), membolehkan kelajuan yang dipilih dikekalkan secara automatik tanpa memerlukan kawalan pendikit secara berterusan.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk sistem tanpa kunci dengan tambahan sokongan NFC, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) yang memberikan bacaan tekanan tayar secara masa nyata, dan suis keselamatan tapak sisi.

Bagi sistem pencahayaan, ZXMOTO 820RR menggunakan teknologi LED pada lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu amaran kecemasan, melengkapkan ciri keselamatan dan kemudahan yang ditawarkan pada jentera ini.

Dengan setiap pembelian ZXMOTO 820RR, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.

Selain itu, para pembeli juga boleh mendapatkan alat ganti tulen ZXMOTO melalui perkhidmatan pembelian dalam talian yang disediakan oleh ZXMOTO Malaysia dengan menghubungi +60 12-485 0133.

Tertakluk kepada terma dan syarat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *