(SUKAN) ECS, Gomo Warriors Kembali Dalam Persaingan Ke Separuh Akhir

IMG 1 (2)

Kuala Lumpur (14 November 2015) – Aksi SepakTakraw League Malaysia 2015 yang kembali bersambung selepas berehat dua minggu semakin dramatik dengan East Coast Surfers dan Gomo Warriors meneruskan kebangkitan mereka untuk kembali dalam persaingan merebut tempat beraksi di separuh akhir.   

East Coast Surfers yang tewas dua perlawanan pembukaan, mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Angkatan Tentera sekaligus bermakna debaran penentuan empat pasukan terbaik yang akan berentap di separuh akhir akan berterusan sehingga ke minggu terakhir aksi peringkat kumpulan pada 21 dan 22 November depan.

Tatkala kemenangan buat ATM sudah pasti membolehkan mereka semakin hampir dengan tiket separuh akhir, ianya ECS yang mengambil kesempatan di atas aksi longlai ATM yang tidak berada pada prestasi sebenar untuk menang 2-1 dan melonjak berada di kedudukan empat teratas buat kali pertama sejak STL 2015 membuka tirai pada bulan lalu.

“Kita bermula perlahan, mungkin pemain lambat panas tetapi kini kami kembali dalam persaingan. Ia kemenangan yang cukup penting. Minggu terakhir liga akan menentukan sama ada kita berjaya atau tidak ke separuh akhir. Masih banyak perlu diperbaiki ketika bertahan atau ketika melakukan servis, kita sedar baki dua perlawanan adalah lawan yang terkuat di STL ini dan kita perlu untuk bekerja lebih keras,” ujar pengendali ECS, Ahmad Mohd Zin.

Dua lawan yang menanti ECS selepas ini adalah pendahulu kumpulan, Black Panthers dan pasukan tangga ketiga, Kuala Lumpur City Flyers.

Pada perlawanan hari ini, ECS mengutip mata pertama menerusi gandingan Zulkifli Abdul, Azrol Nizam Zakaria dan Fadhli Mohd Roslan yang mengambil masa hanya 37 minit untuk mencatat kemenangan mudah 21-9, 21-11 ke atas Tunku Azwari, Faizzul Razak dan Khairudin Adenan.

ATM bangkit mengikat kedudukan 1-1 apabila Nazmi Najib, Shakirin Nasir dan Muhaimi Che Bongsu menewaskan rakan sepelatih di skuad kebangsaan Izuan Afendi, Safarudin Abu dan Jaxon Amputong dengan keputusan 24-22, 21-13 dalam masa 45 minit.

Gandingan sensasi ECS dipacu dua bekas pemain kebangsaan Izurin Refin dan Kamal Alfiza serta Muzhafar Zamir yang pernah menjuarai pusingan pertama STL 2014 menampilkan aksi bertenaga untuk menang 21-18, 21-7 mengatasi regu ketiga ATM – Zulfikar Mat Amin, Nazuha Nadzli dan Asrie Isa untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat ECS.

Dalam pada itu, sebuah lagi pasukan dari pantai timur, Gomo Warriors turut menghidupkan peluang untuk beraksi di separuh akhir, apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Northern Rangers.

Tewas tiga perlawanan pembukaan, Gomo Warriors mencatat kemenangan pertama dengan mengejutkan City Flyers dua minggu lalu dan melaungkan amaran betapa cabaran mereka tidak boleh ditepis begitu sahaja menerusi kemenangan terbaru ini yang menyaksikan mereka mengukuhkan kedudukan di tempat kelima – ketinggalan dua mata di belakang ATM dan ECS.

Gomo Warriors, diperkuatkan rata-ratanya pemain yang muncul naib juara Grand Prix Kebangsaan Oktober lalu, merebut mata pendahuluan menerusi Hisham Mat, Malek Faqimi Idris dan Yuslie Jusoff yang beraksi tiga set untuk menang 21-16, 14-21 dan 21-9 ke atas Nazrin Hashim, Norhisham Abdul dan Shahrol Nizam.

Northern Rangers menyamakan kedudukan 1-1 menerusi trio kebangsaan Kamal Aizat, Zul Effendi Sumari dan Hanafiah Dollah yang menang 21-13, 21-18 ke atas Idham Sulaiman, Farhan Adam dan Afifudin Razali.

Percaturan Rozi Rahman merehatkan tekong terbaik STL 2014 Normanizam Ahmad, sekali lagi membuatkan hasil apabila Khairul Hisyam, Aidil Azman Azwawi dan Naim Hashim tidak bermasalah membenam cabaran Hanif Rosli, Faizul Hairy Aman dan Nazirul Akmal, 21-15, 21-15 dalam masa 39 minit.

Baki dua perlawanan yang akan diharungi Gomo Warriors adalah menentang Southern Tigris yang turut mempunyai peluang sama rata dengan mereka untuk ke separuh akhir, serta Green Titans yang ketika ini menghuni tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Sementara itu, pendahulu liga Black Panthers terus unggul di kedudukan teratas selepas merakamkan kemenangan kelima dengan menewaskan Southern Tigris 2-1 dan menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir STL 2015. Kemenangan ini, menyaksikan Black Panthers mengutip 10 mata dan seara tidak rasminya muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir.

KEPUTUSAN :

East Coast Surfers mng Angkatan Tentera (2-1)

ECS ‘A’ mng ATM ‘A’ (21-9, 21-11)

ECS ‘B’ kk ATM ‘B’ (22-24, 13-21)

ECS ‘C’ mng ATM ‘C’ (21-18, 21-7)

Gomo Warriors mng Northern Rangers (2-1)

GW ‘A’ mng NR ‘A’ (21-16, 14-21, 21-9)

GW ‘B’ kk NR ‘B’ (13-21, 18-21)

GW ‘C’ mng NR ‘C’ (21-15, 21-15)

Black Panthers  mng Southern Tigris (2-1)

BP ‘A’ mng ST ‘A’ (21-12,21-15)

BP ‘B’ mng ST ‘B’ (18-21, 21-1,21-9)

BP ‘C kk ST ‘C’ (21-19,12-21,17-21)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *