(HIBURAN) JODOH SYAITAN : Angkara Nafsu, Manusia Sanggup Berkahwin Dengan Syaitan

Tidak dinafikan filem-filem bergenre seram merupakan antara yang selalu menjadi pilihan penonton. Berdasarkan sambutan yang diterima, ternyata kebanyakan penerbit sekarang ini lebih tertarik untuk menghasilkan filem seram. Maka, sebuah syarikat produksi baharu, DA MOTION MEDIA turut menjadikan genre ini sebagai filem sulung terbitan mereka berjudul JODOH SYAITAN.

Penerbitnya, Mokharul Shamsul Mokhtar atau Asey berkata, dengan pengalaman luasnya sebagai seorang pengurus produksi, kini sudah tiba masanya untuk dia menerbitkan filem sendiri.

“Kalau diikutkan pasaran filem di negara ini tidak menentu, tetapi ia bukan halangan buat saya untuk menghasilkan filem.

“Lagipun dengan cara ini juga saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan kru dalam industri,” ujarnya.

Filem JODOH SYAITAN mengisahkan tentang Megat, seorang pemuda kampung yang sering menemui kegagalan dalam percintaan dan diminta ibunya untuk pulang ke kampung kerana ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar.

Pada masa sama, Tok Chai bersama dua pengikut setianya yang juga kawan Megat di kampung iaitu Awang dan Kulup sedang sibuk mencari mayat untuk dipaku, dengan harapan ia hidup semula untuk dijadikan isteri kepada Tok Chai bagi memenuhi hawa nafsunya.

Menurut Asey, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Soffi Jikan, Abam Bocey, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Jay Izwazir serta Ismail Bob Hashim selaku pengarah.

Ujarnya, pemilihan Ismail Bob Hashim sebagai pengarah dibuat kerana dia seorang yang cukup berbakat dan mempunyai sentuhan yang tersendiri.

“Saya dan Bob sudah lama saling mengenali dan tahu cara kerjanya. Jadi, saya yakin dengan kemampuannya untuk menghasilkan filem ini.

“Untuk pemilihan pelakon pula, ia merupakan hasil perbincangan kami berdua dan gembira kerana mendapat barisan pelakon yang sememangnya berbakat besar dan ada aura tersendiri,” jelasnya.

Menurutnya, penggambaran filem JODOH SYAITAN bermula pada 18 Julai 2018 di Pasir Puteh (Kelantan) dan Jertih (Terengganu).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *