(HIBURAN)  KARYA TERBARU DAIN SAID ‘HARUM MALAM’  MENEMUI KHALAYAK 9 FEBRUARI INI

Spread the love

Pengarah filem tersohor Dain Said, kini kembali dengan sebuah karya baru yang amat dinantikan-nantikan. Filem Harum Malam yang bergenre seram, bakal ditayangkan di 90 buah pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Febuari 2023.

Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia. Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib. Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.

Harum Malam dibintangi oleh Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Filem ini juga memperkenalkan bakat-bakat muda yang menyinar – Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Filem ini diterbitkan oleh Apparat  dengan kerjasama bersama dengan D’Ayu Pictures dan Skop Productions. Skop, penerbit filem seram Munafik 2, yang masih memegang rekod kutipan pawagam filem seram yang paling tinggi, akan mengendalikan pengedaran di Malaysia, Singapura dan Brunei. Edaran Skop terkini, filem Mat Kilau, telah berjaya menjadi filem box office terbesar di dalam sejarah filem Malaysia. Manakala D’Ayu Pictures pula telah menayangkan filem sulung mereka, Daddyku Gangster pada bulan Disember 2022. Harum Malam juga diterbitkan dengan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Harum Malam mendapat tayangan perdana festival filem antarabangsa di Fantastic Fest, sebuah festival filem bercorak “genre” (horror, fantasi) yang terbesar di Amerika Utara di Austin, Texas pada September 2022. Pada bulan Oktober 2022 telah berlangsung  tayangan untuk filem Harum Malam di Sitges Film Festival, Sepanyol, sebuah festival filem genre yang utama di Eropah. Di pasaran antarabangsa, Harum Malam diwakili oleh Reel Suspects, manakala XYZ Films pula mewakili filem ini di pasaran Amerika Utara. Judul antarabangsa untuk filem Harum Malam adalah Blood Flower. Manakala di Malaysia, malam gala tayangan filem ini telah dilaksanakan di GSC Starling Mall pada 30 Januari 2023.

SINOPSIS

Terseksa dengan keupayaannya untuk melihat orang mati dan makhluk dari dimensi lain, Iqbal (16 tahun), seorang pelatih perubatan iman dan pengusir kuasa-kuasa jahat, cuba menafikan deria keenamnya. Dalam usaha untuk membantu, bapanya, iaitu Norman, ‘mengunci’ kebolehan Iqbal.

Iqbal bergaul dengan sekumpulan budak-budak yang tinggal di blok pangsapurinya – Bob yang pengecut, Ali yang sporting dan Ah Boy (seorang perempuan) yang berani. Norman mengambil peluang pekerjaan sementara dengan salah seorang pelanggannya, Jamil (juga ayah Ah Boy). Jamil telah menukar flatnya menjadi rumah hijau di mana dia membiak tumbuhan eksotik, termasuk tumbuhan karnivor seperti bunga bangkai, yang diseludupnya dari Indonesia. Jamil memerlukan Norman untuk menjaga pokok-pokoknya semasa dia ke hutan untuk beberapa minggu. Norman melarang Iqbal daripada memasuki flat rumah hijau Jamil itu.

Selepas Iqbal dan kawan-kawannya dibuli oleh seorang pengedar dadah, Iqbal membawa mereka menyelinap masuk ke dalam rumah hijau Jamil. Dengan tidak sengaja, budak-budak itu melepaskan satu makhluk gelap yang terkunci di dalam bilik terlarang di flat rumah hijau tersebut. Iqbal sekali lagi trauma dan dihantui oleh bunyi yang mengganggu, serta kunjungan dan pertemuan ghaib. Beberapa penduduk di blok pangsapuri itu dirasuk dan menemui kematian yang mengerikan. Penemuan sebuah mayat di flat rumah hijau Jamil membuatkan Norman berang dengan Iqbal, tetapi Iqbal keliru kerana kebolehannya sepatutnya telah dikunci. Apabila makhluk itu merasuk Ah Boy, Iqbal terpaksa menerima kebolehan psikiknya dan berhadapan dengan mahkluk itu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *