(HIBURAN) ” BIKERS KENTAL ” kembara pemotoran yang menghiburkan

IMG_1752

Astro Shaw Sdn. Bhd. (ASHW) telah menerbitkan sebuah filem terbaru berjudul Bikers Kental dengan kerjasama Califwork Studios Sdn. Bhd., arahan sulung seorang pengarah fotografi terkenal, Helmi Yusof. Filem ini dibintangi oleh Zizan Razak, Awie, Bront Palarae, Zul Ariffin, Harun Salim Bachik, Amerul Affendi, Sufian Mohamed dan dua artis Thailand, Pornwipa Watcharakaroon dan Julangtip Sukkasem. Sempena pelancaran filem Bikers Kental, sebuah majlis Tayangan Perdana telah diadakan baru-baru ini di e@Curve Damansara.

IMG_1776

Memberi peluang wajah baru untuk duduk di kerusi pengarah bukanlah satu perkara asing buat Penerbit ASHW & Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB). Setelah lebih 17 tahun berkecimpung dalam industri penerbitan filem, telah ramai pengarah muda diberi peluang untuk mengarah.

ASHW/TUSB telah memberi peluang kepada Zailani Abdul Ghani untuk duduk di kerusi pengarah bagi filem Nafas Cinta, menyusul pula Along Kamaluddin melalui filem Sara. Selepas lebih lima tahun, ASHW/TUSB sekali lagi membuka ruang menampilkan wajah-wajah baru bermula dengan Osman Ali menerusi filem Puaka Tebing Biru. ASHW/TUSB terus gigih menggilap bakat-bakat baru seperti James Lee (Histeria), Azmi Hatta (Duhai Si Pari-Pari) , Woo Ming Jin (Seru), Sein (Langgar), dan yang terbaru, Ellie Suriaty menerusi filem Penanggal yang mana bakal ditayangkan pada penghujung tahun 2013.

Tradisi diteruskan menerusi filem Bikers Kental yang mana menampilkan Helmi Yusof sebagai pengarah.  Karier Helmi bermula pada 1996 dan telah banyak bekerjasama dengan nama-nama besar dalam bidang pengarahan seperti Bade Hj Azmi, Aziz M. Osman, Erma Fatima, Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan juga James Lee. Antara filem yang menggunakan khidmatnya sebagai Pengarah Fotografi adalah Histeria, Papadom,  Misteri Jalan Lama, Papadom 2, Tolong! Awek Aku Pontianak dan banyak lagi. Melalui filem Seru yang diarahkan oleh Woo Ming Jin dan Pierre Andre, Helmi diberikan peluang bagi mengorak langkah menjadi penerbit oleh ASHW di bawah syarikat Anamorphic Studios.

Helmi Yusof menyifatkan filem ini begitu dekat dengannya kerana dia sendiri seorang peminat motosikal dan mempunyai sebuah motosikal berkuasa tinggi Ducati Hypermotard 796. Beliau juga mengambil inspirasi daripada  filem road movie sebagai rujukannya di sepanjang penggambaran filem Bikers Kental ini. “Ini adalah idea asal saya sendiri dan saya dibantu oleh Nurul Salajuddin, Arbi Roslan dan pihak ASHW sewaktu di peringkat penghasilan skrip. Saya berharap agar filem ini dapat diterima oleh semua penonton, khususnya peminat-peminat motosikal berkuasa tinggi dan semua peminat motor di Malaysia.”

Filem ini juga menampilkan dua orang pelakon wanita daripada Thailand iaitu Pornwipa Watcharakaroon dan Julangtip Sukkasem yang diperkenalkan oleh pihak produksi Thailand, Film Frame Production. Kedua-dua pelakon wanita ini memang sesuai diketengahkan di dalam filem Bikers Kental kerana memerlukan tahap kecergasan yang tinggi selain berbakat besar di bidang lakonan. Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Lebuhraya PLUS di Malaysia dan di sekitar Krabi, Hatyai, Phuket dan Sadao di negara Thailand , ini telah menelan belanja sekitar RM1.9 juta.

Menurut Pengurus Besar ASHW, Gayatri Su-Lin Pillai, “Setelah ‘Kapoww – Atoi The Ajaib Boy’, Bikers Kental merupakan filem kedua kerjasama di antara ASHW/TUSB dan Zizan Razak. Ini juga adalah kali pertama pihak ASHW menerbitkan filem yang menjalani penggambaran di luar negara. Pengalaman bekerjasama dengan pihak produksi Thailand merupakan pengalaman yang sangat berharga buat kami. Pihak Thailand memberi kerjasama sepenuhnya kepada filem ini dan juga semua pekerja produksi Malaysia. Saya berasa amat teruja dan semestinya filem ini menjanjikan kelainan dan berbeza dengan ‘road movie’ yang lain.” Tambahnya lagi, gandingan Awie dan Zizan Razak memperlihatkan keserasian mereka di layar perak walaupun mereka jarang sekali digandingkan bersama. Pihak kami juga berterima kasih kepada pihak penaja iaitu Naza World yang telah menaja beberapa motosikal berkuasa tinggi yang digunakan di sepanjang penggambaran.

Melalui filem ini juga, kita mengadakan siri jelajah “Bikers Kental Road Tour” dengan kerjasama Red Garage House of Choppers di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Jelajah siri pertama iaitu Zon Selatan bermula 10 Mei sehingga 12 Mei 2013 yang mana Terminal 1, Seremban menjadi tempat persinggahan pertama. Siri jelajah ini diteruskan sehingga ke Dataran Pahlawan, Melaka dan kemudiannya berakhir di @ Mart Kempas dan Galleria Kotaraya di Johor Bharu. Siri jelajah bagi Zon Timur dan Utara diteruskan bermula di East Cost Mall, Kuantan, Pahang pada 17 Mei bersama Awie, Zul Ariffin dan Sufian Mohamed. Sementara Zizan Razak bersama Zul Ariffin, Sufian Mohamed dan pengarah filem ini sendiri bakal berada di Mesra Mall, Kerteh, Terengganu pada 18 Mei. Siri jelajah ini akan berakhir di Ipoh Parade, Perak pada 19 Mei  (Awie, Zul Ariffin, Sufian Mohamed dan Helmi Yusof).

BK 1small

SINOPSIS FILEM

Bikers Kental adalah berkenaan kisah seorang anak muda bernama Bidin Al Zaifa, yang mempunyai minat yang amat mendalam dengan motosikal berkuasa tinggi. Beliau bekerja di sebuah garaj motor milik abang sepupunya, Aidil. Bidin mempunyai impian  untuk memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi dan menjelajah negara lain untuk menghadiri Bike Week. Malangnya dia hanya seorang pekerja biasa yang tidak mampu untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi. Impian Bidin menjadi nyata apabila pada suatu hari, Bidin terjumpa sebuah beg berisi wang yang banyak. Bidin tanpa usul periksa terus menggunakan wang itu untuk membeli motosikal Aprilia RSV4 Factory dan menawarkan dirinya untuk berkonvoi bersama–sama dengan geng motosikal Eddie, salah seorang pelanggan setia garaj Aidil.

Pengembaraan Bidin bersama Eddie bermula dari KL sehingga ke Krabi, Thailand.  Bermulalah pelbagai kisah, tragedi dan konflik di antara Bidin, Eddie dan geng motosikalnya. Bidin di Thailand bertemu pula dengan Saiya Sukhapon dan Cherry Pontit, dua orang gadis cantik yang bekerja di sebuah gerai tepi jalan yang menyediakan makanan halal. Bidin yang telah jatuh cinta pandang pertama dengan Saiya berusaha untuk menarik perhatiannya. Dia menggunakan pelbagai taktik untuk meluangkan banyak masa bersama Saiya. Tetapi, rancangan Bidin akhirnya dibongkarkan oleh gengnya sendiri. Perselisihan faham antara mereka terjadi apabila tindakan Bidin menyembunyikan motor Eddie diketahui oleh Arbi, salah seorang ahli geng motosikal Eddie.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila Bidin diekori oleh beberapa orang misteri yang mahu membunuhnya! Siapakah orang misteri ini? Dan apakah kaitan mereka dengan Bidin? Adakah Bidin menemui cintanya di Thailand? Apakah kesudahan perselisihan faham di antara Bidin dan Eddie? Semuanya bakal terjawab dalam filem Bikers Kental yang bakal ditayangkan pada 23 Mei 2013.

Senarai Pelakon

Zizan Razak – Bidin Al Zaifa

Awie – Eddie

Zul Ariffin – Arbi

Harun Salim Bachik – Aidil

Bront Palarae – Ponthaliwat

Amerul Affendi – Albuqueque

Sufian Mohamed – Boy

Pornwipa Watcharakaroon – Saiya Sukhapon

Julangtip Sukkasem – Cherry Pontip

BK 2small

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *