(HIBURAN) Filem ‘Kahwin 5’

Selepas kejayaan filem pecah-panggung “Hantu Kapcai” di pawagam pada bulan lalu, Showbiz Productions meneruskan tradisi menghasilkan filem komedi berjudul “Kahwin 5” yang bakal ditayangkan di sekitar 70 pawagam di seluruh tanahair mulai 27hb Disember 2012.

Rentetan kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mengetengahkan isu poligami dalam filem popularnya, “Madu 3” kini Showbiz bakal tampil dengan satu pembaharuan yang segar dan menghiburkan dengan memaparkan subjek poligami hanya sebagai sub-plot penceritaan melalui filem komedi ”Kahwin 5”. Gabungan dinamik Usop Wilcha (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Fizz Fairuz (Hantu Kapcai), Soffi Jikan (KL Gangster) serta barisan pelakon wanita seperti Dian P. Ramlee, Anzalna Nasir, Marsha Milan, Adrea Abdullah serta Norish Karman akan membuat penonton tak kering gusi dari mula sehingga akhir penceritaan.

Filem ini berkisarkan tentang seorang usahawan mangkuk plastik (dari Perak) yang berjaya dan dikenali sebagai Dr K (Usop Wilcha) yang sudah memenuhi kuota 4 isteri dari 4 negeri yang berbeza iaitu Saadiah dari Selangor (Dian P. Ramlee), Sahara dari Kelantan (Adrea Abdullah), Monalisa dari Negeri Sembilan (Norish Karman) dan Mimi dari Sabah (Marsha Milan). Kehidupan mereka sekeluarga aman bahagia sehinggalah Dr K dipengaruhi Rahim (pemandunya dan pengampu bos No 1 – lakonan Fizz Fairuz) membuat Dr K terjebak dengan “skandal” bersama Farra (Anzalna Nasir) iaitu adik kepada kepala “pailang”, Cico (Soffi Jikan). Terwujudlah dilema Dr K yang dipaksa berkahwin lagi walaupun sudah cukup kuota isterinya.

 

“Filem ini menampilkan perspektif berbeza mengenai isu poligami. Walaupun watak Dr K di dalam filem ini agak nakal, dia sebenarnya amat menyayangi kesemua isterinya, yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Plot utamanya bermula apabila Si Miang lawan Si Pailang dan bagaimana seseorang lelaki itu harus mengambil iktibar dari sifat mata keranjangnya, yang boleh membawa padah.” Ujar Jaja Nadzir, Penerbit filem “Kahwin 5”.

Nizam Zakaria, selaku Pengarah pula berkata, “Naskah ini walaupun pada dasarnya mudah difahami dari sudut penceritaan, ianya tetap membuat penonton ternanti-nanti dari satu babak ke babak yang seterusnya. Komedi yang dipaparkan bersahaja dan “natural” di samping menonjolkan sisi berbeza Usop Wilcha dengan watak Dr K bersama “alter ego” nya. Saya amat berpuas hati dengan “Kahwin 5” dan ianya berbeza dengan filem pertama saya iaitu “Cinta Kura-Kura” yang telah ditayangkan pada awal tahun ini.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *