Siapa yang tidak mengenali komposer dan penyanyi yang terkenal dari negara seberang yang bernama Mellyana Goeslaw Hoed atau lebih akrab dengan panggilan Melly Goeslaw ini. Telah terbukti bahawa semua lagu duet beliau telah menjadi hit dan laris di pasaran Indonesia mahupun Malaysia. Antara hasil ilhamnya adalah ‘Ketika Cinta Bertasbih’, ’Ada Apa Dengan Cinta’, ‘Jika’, ‘Tentang Dia’ dan ‘Bukan Cinta Biasa’ yang dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Melly telah mencurahkan lebih daripada separuh umurnya untuk dunia seni, sehinggakan sudah tidak terkira berapa ratus lagu yang telah dicipta olehnya. Melly juga telah banyak menggondol anugerah didalam industri muzik diatas kegigihannya didalam membangunkan industri muzik nusantara.
Tanpa mengenal erti jemu, Melly Goeslaw tidak pernah lekang dalam berkarya. Kini, Melly muncul kembali dengan single terbaru berjudul ‘Cinta Dan Ibadah’ yang amat ditunggu-tunggu oleh para peminat beliau di Malaysia. Dikenali sebagai master bagi penghasilan lagu soundtrack dalam industri perfileman, single beliau kali ini menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri bertajuk “Cinta Ibadah” yang akan bersiaran di Astro Prima tidak lama lagi. Ini juga merupakan kali pertama Melly Goeslaw menghasilkan lagu tema untuk pasaran Malaysia dan dilancarkan di Malaysia. Menurut Melly, lagu ‘Cinta Dan Ibadah’ adalah single terbaru yang diinspirasikan dari senario cerita tersebut. Melly juga berasa amat teruja kerana beliau dapat menghasilkan sebuah lagu tema untuk produksi Malaysia.
“Semua soundtrack atau theme song sudah pasti inspirasinya dari senario cerita tersebut kerana soundtrack atau theme song adalah di dedikasikan untuk filem dan series yang dibuat.” – kata Melly.
Lagu dan lirik bagi ‘Cinta Dan Ibadah’ ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Melly Goeslaw sendiri. Apabila sebut sahaja tentang Melly, kita tidak boleh ketepikan peranan silent partner beliau iaitu Anto Hoed yang merupakan tulang belakang dan juga pendorong disepanjang kejayaan Melly. Menurut Melly, Anto Hoed turut memberi dorongan dalam pembikinan lagu ‘Cinta Dan Ibadah’ ini. Melly sememangnya tidak pernah berhenti untuk menghasilkan lagu-lagu hits yang menjadi bualan ramai dari semasa ke semasa dan beliau sentiasa menjadi seorang penulis lagu dan lirik yang menjadi pilihan ramai. Mengenai lagu ‘Cinta Dan Ibadah’ ini, salah satu perkara yang membuat Melly bersetuju untuk menghasilkan lagu tema bagi drama “Cinta Ibadah” adalah jalan ceritanya yang tersendiri.
“Pertama kali saya mendapat khabar dari pihak penerbit bahawa saya diajak untuk terlibat di dalam pembuatan lagu tema untuk drama “Cinta Ibadah” dan setelah saya membaca sinopsisnya, saya terus setuju untuk turut terlibat kerana saya suka akan jalan ceritanya.” – Kata Melly
Melly yang sudah hampir 20 tahun terlibat di dalam dunia muzik, yakin bahawa single ini bakal menjadi kesukaan ramai apabila mendengarnya. Melly juga berharap semoga karya beliau yang terbaru ini mampu mengubat kerinduan masyarakat Malaysia dan lagu ‘Cinta Dan Ibadah’ menjadi sebuah lagu tema yang bersejarah.
Lagu “Cinta Dan Ibadah” oleh Melly Goeslaw ini merupakan satu lagi edaran daripada MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan Warner Music (M) Sdn Bhd.