Menyertai larian yang melibatkan ramai orang awam di pagi hari pastinya menyeronokkan tatkala semua orang berkongsi perasaan ceria dan detik gembira bersama keluarga mahupun sahabat handai. Malah di dalam larian sebegini juga anda boleh menemui rakan baru yang berkongsi minat yang sama. Larian amal Feel Good Run 2013 yang dijadualkan pada 7 Julai di Sri Pentas nanti pastinya merupakan medan pertemuan terbaik buat semua pelari untuk saling bergembira bersama kenalan baru atau rakan karib. Lebih menarik larian itu juga bakal menyaksikan para selebriti tempatan turut serta berlari bagi memeriahkan lagi acara yang dinanti-nantikan itu.
Dengan seramai lebih 80 selebriti yang menyertai larian amal itu tahun ini, para peminat pastinya lebih bertuah kerana dapat meluangkan masa bersama selebriti kegemaran mereka. Ini adalah kerana tahun ini para selebriti bakal bersama-sama menyertai laluan larian yang lebih jauh iaitu 7KM berbanding 3KM untuk kategori selebriti tahun lepas.
Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-15 ntv7, Feel Good Run 2013 bakal menampilkan barisan selebriti tanahair yang mantap yang turut serta untuk beramal.
Buat para peminat pelakon drama bersiri tempatan Cina, mereka pastinya gembira kerana berlari bersama mereka adalah sejumlah 15 orang pelakon ternama seperti Debbie Goh, Leslie Chai, Frederick Lee, William San, Adrian Tan, Aenie Wong, Alvin Wong, Ong Ai Leng, Kyo Chen, Lawrence Wong, Jan Chin, Karena Teo, Ernest Chong, Shuben Low dan Jeffrey Cheng.
Bagi sesetengah selebriti pula, Feel Good Run adalah masanya untuk mereka dan seisi keluarga meluangkan masa bersama-sama. Antara yang mengambil peluang ini adalah si jelita Aishah Sinclair yang berlari bersama ayahnya yang sentiasa menjadi pendorong kepada Aishah untuk kekal cergas dan sihat. Manakala Nazrudin Rahman, pelakon dan pengemudi rancangan temubual pagi ntv7, The Breakfast Show akan berlari bersama isterinya yang juga personaliti TV, Sheahnee Iman Lee dan dua orang anaknya untuk saat kualiti mereka bersama. Pemenang anugerah Bella Creative Awards di Bella Awards 2013 baru-baru ini, Low Ngai Yuen juga julung kali menyertai larian itu bersama keluarganya.
Feel Good Run 2013 juga akan dimeriahkan oleh kenakalan pengacara 8TV Quickie seperti Adam Zain, Megan Tan, Naqib Nadhir, Nadia Nash dan Brandon Ho. Selain itu, Baki Zainal (pengacara Step Forward, 8TV), Natalie Ng (pengacara 8e-news) serta pengacara tampan Adrian Jalaludin tidak ketinggalan untuk menjayakan larian itu.
Bagi pendengar setia radio Fly FM, Hot FM dan one FM, inilah masanya mereka mengenali lebih rapat penyampai radio yang turut serta setelah mendengar suara-suara mereka di corong radio sebelum ini. Antara yang bakal anda lihat di garisan pelepasan nanti adalah Hafiz Hatim dan Hani Hatim dari Fly FM. Penyampai radio terkenal Malaysia, – Fara Fauzana dan Mohd Faizal Ismail (FBI) dari Hot FM. Manakala Jack Yap dan Wayne Thong akan mewakili one FM pada larian 7 Julai itu nanti.
Antara personaliti TV yang bakal berpeluh bersama pelari-pelari Feel Good Run 2013 adalah perantara 7 Edition, Adriana Aris, Praevitriana Yuliawiratman, Azleena Najri; Edisi 7, Linda Salim, Jasmine Abu Bakar, Fazilah Hani Harun; Mandarin 7, Tiang Kah Chee, Peh Kien Min, Yong Yu Xi, Ooi Choong Han dan Oh Seow Pheng serta personaliti-personaliti dari rangkaian TV Media Prima yang lain.
“Inilah yang uniknya mengenai larian amal Feel Good Run di mana acara ini juga disertai para selebriti sebagai tanda sokongan mereka terhadap niat murni ini dan memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dan berlari bersama selebriti kegemaran mereka. Peluang dan pengalaman seperti ini pastinya sukar diperolehi,” kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
“Penyertaan para selebriti merupakan salah satu tumpuan pada setiap tahun dan lebih istimewa tahun ini apabila stesen ntv7 menyambut ulang tahunnya yang ke 15. Para pelari juga boleh bergembira dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang di akhir garisan penamat (Central Park, One Utama) seperti persembahan pentas, aktiviti kutipan amal, pelbagai gerai daripada penaja dan rakan kami, cabutan bertuah dan bermacam-macam lagi. Orang awam juga dijemput hadir untuk memeriahkan aktiviti di garisan penamat pada 7 Julai itu,” tambah Airin.
Untuk maklumat lanjut mengenai Feel Good Run 2013, layari www.ntv7.com.my/feelgoodrun atau ikuti Facebook ntv7 (www.facebook.com/ntv7.feelgood) dan Twitter (www.twitter.com/ntv7). Bagi pengguna Twitter dan Instagram anda digalakkan menggunakan hashtag #ntv7fgr dan #dogoodfeelgood – di dalam semua perbualan berkaitan di platform media sosial.
Pasukan Berita & Hal Ehwal Semasa ntv7 juga akan menerbitkan rancangan istimewa “Feel Good Run 2013 Special” yang bakal disiarkan pada 18 Julai 2013 pada jam 7.30 malam yang bakal membawakan kupasan menarik larian itu.