Samsung melancarkan Galaxy Watch 8 pada 9 Julai 2025 semasa acara Galaxy Unpacked, sebagai penyambung tradisi Watch 7. Ia hadir dalam dua saiz 40 mm dan 44 mm dengan variasi Bluetooth & LTE.
Kotak pembungkusan Galaxy Watch 8 langsing warna putih minimalis, mengekalkan estetika Samsung iaitu nipis dan kemas. Gambaran depan menunjukkan warna dan rupa bentuk jam tersebut. GMO menerima varian Graphite 44 mm Bluetooth, kemasan elegan dan sesuai dengan gaya seharian berwarna kelabu gelap dan dilabelkan sebagai ‘Graphite’.
Berbalik kepada isi kotak tersebut, di dalam kotak tersebut disertakan muka jam (watch head), tali sport Graphite, satu kabel “fast wireless charger” (pengecas tanpa wayar pantas) USB-C + pad pengecas magnetik tanpa pengecas penyesuai plag (adapter charger) berserta buku panduan. Justeru itu, anda perlu menggunakan pengecas yang ada atau beli berasingan.
Bercakap mengenai fizikal, rangka aluminium ringan, reka bentuk “cushion” membulat dengan badan 11% lebih nipis berbanding Watch 7. Mempunyai berat hanya sekitar 30 g (40 mm) atau 34 g (44 mm) dan tebal hanya 8.6 mm sangat selesa dipakai sepanjang hari atau tidur. Reka bentuk tali baru (Dynamic Lug) yang bergerak semula jadi dengan pergelangan tangan meningkatkan keselesaan dan keupayaan pengesanan sensor. Skrin Super AMOLED lebih cerah sehingga 3000 nits dengan Always-On Display serta dilindungi Sapphire Crystal. Berdasarkan maklumat sesawang, Samsung hanya menawarkan dua pilihan warna klasik untuk model Galaxy Watch 8 standard (bukan Classic atau Ultra) iaitu Graphite (rona gelap hampir hitam) dan Silver (kelihatan lebih cerah dan reflektif).


