(SEMASA) IKON BANDAR MENJADI TUMPUAN: BOON SIEW HONDA MELANCARKAN HONDA VARIO 125 STREET BAHARU DI MALAYSIA

Spread the love

Kuala Lumpur, 9 April 2026 – Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (“BSH” atau “Syarikat”) hari ini mendedahkan Honda Vario 125 Street baharu, menandakan kemunculan sulungnya di Malaysia.

Dipertontonkan secara eksklusif kepada media di kedai pengalaman pop-up khas di REXKL, model ini memperkenalkan perspektif baharu terhadap mobiliti bandar, menggabungkan reka bentuk berani berinspirasikan gaya jalanan dengan praktikaliti harian.

Sambil memperkukuh portfolio skuter automatik Boon Siew Honda, Vario 125 Street memantapkan kehadiran Syarikat dalam segmen skuter bandar dengan varian tersendiri yang direka untuk tunggangan bandar yang penuh yakin.

Ini Era Vario Aku

Acara pop-up tersebut menjiwai budaya dan tema Vario 125 Street; mengadaptasi reka bentuk, bahasa, dan gaya jalanan di mana suasananya direka mengikut cita rasa serta pilihan belia, selari dengan fungsi, reka bentuk, dan prestasi Vario 125 Street baharu.

Menampilkan muzik tempatan yang menghiburkan oleh DJ tempatan, kopi tanpa had, paparan lampu yang terang, modifikasi Vario 125, dan kolaborasi eksklusif artis tempatan, acara pop-up “Ini Era Vario Aku” merupakan jemputan eksklusif hanya pada 9 April 2026.

Ia akan dibuka kepada orang awam bermula Jumaat dan Sabtu ini, 10 dan 11 April 2026, masing-masing dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

Kolaborasi Khas dengan Ilustrator Graffiti, Katun

Katun, ilustrator graffiti tempatan yang telah mengharumkan nama Malaysia melalui reka bentuk artistiknya untuk jenama tempatan dan antarabangsa, telah memberikan sentuhan seninya pada set penutup (cover set) rekaan khas Vario 125 Street. Set eksklusif ini akan dipamerkan sepanjang acara bagi menonjolkan ekspresi gaya hidup masa kini yang versatil, muda, dan berbudaya.

50 individu pertama yang mendaftar berpeluang memenangi sama ada kemeja-T eksklusif Katun atau pelekat rekaan Katun.

Mengenai Vario 125 Street

Direka untuk menonjol di landskap bandar, Vario 125 Street baharu menawarkan penampilan unik, menampilkan hendal terbuka (naked handlebar) yang dipadankan dengan meter kelajuan digital jenis terapung dan berasingan. Ia diinspirasikan daripada skuter gaya kembara (adventure) bagi mengurangkan keletihan ketika menunggang.

Model ini mengekalkan identiti hadapan berbentuk-V ikonik Honda, kini diperbaharui dengan rupa yang lebih sporty dan progresif. Lampu hadapan, lampu belakang, dan lampu isyarat LED sepenuhnya memastikan penglihatan yang lebih baik dalam semua keadaan tunggangan.

Apa yang menjadikan Vario 125 Street baharu ini menyerlah adalah reka bentuk keseluruhannya termasuk rim yang mengikut warna set penutup, memberikan rupa skuter yang berjiwa muda, menyeronokkan, dan ranggi.

Prestasi Vario 125 Street

Skuter ini dikuasakan oleh enjin 125cc sejukan cecair dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP), menawarkan keseimbangan antara prestasi responsif dan kecekapan bahan api. Direka secara fungsional untuk warga kota yang dinamik, Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) ini dilengkapi dengan Idling Stop System (ISS), menghasilkan kuasa 8.5 kW pada 8,500 rpm dan tork 11.9 Nm pada 5,000 rpm, menjadikannya sesuai untuk tunggangan santai bersama rakan mahupun perjalanan harian.

Pengalaman Tunggangan Tanpa Kerumitan

Skuter yang menyeronokkan dan berjiwa muda ini didatangkan dengan teknologi mudah untuk melancarkan rutin harian penunggang. Menggunakan sistem Honda Smart Key, Vario 125 Street baharu menawarkan permulaan tanpa kunci dan akses mudah ke ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter. Dengan prestasi lancar daripada enjin eSP, keyakinan penunggang diperkasakan lagi dengan sistem brek gabungan (Combi Brake) dan kunci brek parkir.

Warna, Harga dan Ketersediaan

Honda Vario 125 Street baharu tersedia dalam dua (2) pilihan warna:

  • Ungu (Purple)

  • Putih (White)

Kedua-dua pilihan warna akan tersedia di semua cawangan Honda Impian X dan pengedar sah bermula Mei 2026 pada harga RM7,468.

Harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000km, mana-mana yang terdahulu.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.boonsiewhonda.com.my atau kunjungi bilik pameran Honda Impian X terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi talian 1-800-88-3993 atau e-mel ke enquiry@bswhonda.com.my.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *