KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026 – eRacing GP mengumumkan penganjuran 12 Hours of Spa, acara ketahanan (endurance) utama yang bakal menghimpunkan pasukan sim racing terbaik dari seluruh Asia untuk mengharungi salah satu litar paling ikonik dalam dunia permotoran menerusi ujian sebenar yang menggabungkan kelajuan, strategi dan kerja berpasukan.
Perlumbaan khas yang akan berlangsung pada 18 Julai di Circuit de Spa-Francorchamps, Belgium, itu akan menguji kemampuan setiap pasukan menamatkan perlumbaan selama 12 jam tanpa henti, sekali gus menuntut tahap konsistensi yang tinggi, strategi perlumbaan yang bijak serta pertukaran pemandu yang lancar ketika berdepan perubahan keadaan litar dan selekoh-selekoh terkenal seperti Eau Rouge, Raidillon dan Blanchimont.
Acara ini merupakan antara perlumbaan khas yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar eRacing GP, dengan penyertaan lebih 30 pasukan dari sekurang-kurangnya lima negara di rantau Asia.
Royal Selangor Sokong Acara
Perlumbaan 12 Hours of Spa mendapat sokongan Royal Selangor, jenama terkemuka dunia dalam seni pembuatan pewter berkualiti tinggi.
Ketua Pemasaran Global Royal Selangor International, Hilda Razali, berkata kerjasama tersebut mencerminkan nilai bersama antara seni pertukangan tradisional dan sukan permotoran moden.
“Kerjasama Royal Selangor bersama eRacing GP mencerminkan nilai yang dikongsi bersama antara seni pertukangan tradisional dan dunia permotoran moden, di mana dedikasi, perhatian terhadap perincian serta usaha tanpa henti mengejar kesempurnaan menjadi kunci kejayaan.”
Selain mata kejuaraan dan pengiktirafan, para peserta turut berpeluang merebut trofi eksklusif Royal Selangor yang direka khas sempena kemenangan dalam salah satu acara endurance paling berprestij anjuran eRacing GP.
Tiga Kelas Perlumbaan
Perlumbaan akan menampilkan persaingan dalam tiga kategori utama, iaitu:
- Hypercars (GTP)
- LMP2
- GT3
Format ini menjanjikan persaingan sengit di setiap kategori dengan penyertaan pemandu profesional dan amatur.
Bagi kelas Hypercars (GTP), pasukan boleh memilih antara:
- BMW M Hybrid V8
- Cadillac V-Series.R GTP
- Ferrari 499P
- Porsche 963 GTP
Dalam kategori LMP2, semua pasukan akan menggunakan Dallara P217.
Sementara itu, kategori GT3 menawarkan enam pilihan jentera:
- BMW M4 GT3 EVO
- Chevrolet Corvette Z06 GT3.R
- Ferrari 296 GT3
- McLaren 720S GT3 EVO
- Mercedes-AMG GT3 (2020)
- Porsche 911 GT3 R (992)
Pilihan tersebut membolehkan setiap pasukan memilih jentera yang paling sesuai dengan strategi serta gaya pemanduan masing-masing.
Ujian Sebenar Perlumbaan Ketahanan
Pengasas eRacing GP, Alex Yoong, berkata perlumbaan endurance merupakan cabaran tertinggi dalam sukan permotoran.
“Perlumbaan endurance menguji lebih daripada sekadar kepantasan. Ia menuntut kerjasama berpasukan, persediaan rapi dan ketahanan mental serta fizikal. Acara seperti ini memberi peluang kepada pelumba sim racing bersaing dengan antara yang terbaik di Asia sambil merasai pengalaman sebenar perlumbaan ketahanan.”
Siaran Langsung Bermula 11 Pagi
Perlumbaan 12 Hours of Spa akan bermula pada 18 Julai jam 11.00 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial rasmi eRacing GP.
Antara nama yang dijangka menjadi tumpuan ialah:
- Pelumba sim racing nombor satu Singapura, Aleef Hamilton, yang bergandingan bersama Alister Yoong dari Malaysia.
- Juara bertahan Endurance Edition musim lalu, Apex Racing Brunei.
- Pasukan Thailand OVERME.team yang diketuai pelumba terkenal Thanprasit Sartsuk.
- Pasukan Malaysia Pepega Racing, yang menurunkan tiga pasukan termasuk bekas pelumba Toyota GAZOO Racing Rookie, Justin Rahul Dev dan Genevieve Ooi, satu-satunya pelumba wanita dalam senarai perlumbaan.
Mengukuhkan Ekosistem Sim Racing
Penganjuran 12 Hours of Spa merupakan sebahagian daripada usaha berterusan eRacing GP untuk memperkasakan sukan permotoran maya bertaraf dunia, di samping mengeratkan hubungan antara komuniti sim racing dan sukan permotoran sebenar menerusi pertandingan profesional yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
