KUALA LUMPUR, 2026 – Bagaimana jika wanita yang selama ini dianggap musuh, akhirnya menjadi satu-satunya tempat untuk bergantung? Dan lebih parah, kedua-duanya perlu berkongsi kasih di dalam sebuah rumah.
Itulah persoalan yang bakal diterokai menerusi iQIYI Original, Madu Atau Racun, sebuah drama romantik penuh konflik, emosi dan rahsia yang bakal menemui penonton bermula 14 Ogos 2026.
Dengan tagline Satu Rumah. Dua Isteri, siri 12 episod arahan pengarah berprolifik Eyra Rahman ini membawa penonton menyelami sisi gelap sebuah perkahwinan poligami yang bukan sekadar berkisar tentang perebutan kasih sayang, tetapi turut mengangkat tema pengorbanan, trauma, pengkhianatan dan ikatan luar biasa yang terjalin antara dua wanita yang pada awalnya ditakdirkan sebagai musuh.
Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, pihak iQIYI akan kekal komited untuk terus menghasilkan dan membawakan lebih banyak naskhah tempatan yang dekat dengan hati penonton Malaysia.
Mereka percaya sesebuah cerita yang baik bukan sahaja mampu menghiburkan, malah boleh mencetuskan perbualan, mengajak penonton berfikir dan melihat sesuatu daripada perspektif yang berbeza.
“Maka melalui Madu Atau Racun, kami ingin membawakan sebuah drama yang melangkaui tema poligami. Di sebalik premis tersebut, ia sebenarnya mengisahkan perjalanan dua wanita yang terpaksa berkongsi kehidupan dan berdepan dengan pelbagai konflik yang menguji persepsi mereka terhadap satu sama lain.
“Kami berharap penonton dapat mengikuti setiap episod dengan fikiran yang terbuka dan tidak membuat kesimpulan terlalu awal, kerana setiap episod akan membongkar sisi baharu yang mampu mengubah persepsi terhadap setiap watak,” ujar Dinesh.
Menariknya, Madu Atau Racun dibarisi oleh pelakon sensasi Aliff Aziz sebagai Adli, Uqasha Senrose (Azura) dan Elisya Sandha membawa karakter Nikita yang disifatkan sebagai pilihan tepat sekaligus mampu memancing emosi penonton untuk menyaksikan siri terbitan MIG Production Sdn. Bhd.
Selaku pengarah, Eyra Rahman percaya setiap naskhah mempunyai identiti tersendiri yang dibentuk melalui pendekatan penceritaan dan kekuatan para pelakon.
Menurut Eyra, walaupun tema curang, poligami dan konflik rumah tangga sering diketengahkan dalam drama tempatan, tidak terkecuali menerusi Madu Atau Racun, setiap karya tetap mempunyai jiwa yang tersendiri.
“Bagi saya, setiap pelakon membawa tafsiran watak yang berbeza. Saya belum pernah melihat ada pelakon yang membawakan karakter yang benar-benar sama. Setiap daripada mereka akan membentuk identiti tersendiri melalui persembahan masing-masing. Di situlah keunikan sesebuah karya lahir,” kata pengarah yang telah mengarahkan pelbagai format karya baik di layar lebar atau kaca televisyen.
Eyra juga menyifatkan Madu Atau Racun sebagai naskhah yang tidak bergantung kepada naratif atau populariti barisan pelakon sebagai faktor laris semata-mata, namun beliau percaya setiap hasil kerja memiliki rezeki tersendiri.
Pihak produksi telah memberikan yang terbaik, berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa untuk kelancaran perjalanan drama ini. Mereka telah mempersembahkan jalan cerita yang baik dengan barisan pelakon yang hebat.
Malah, mengulas tentang penampilan Aliff Aziz sebagai watak utama Madu Atau Racun yang menyaksikannya perlu menjadi suami curang dan berpoligami, Eyra menyifatkan pelakon asal Singapura itu sebagai pelaku seni yang sangat berdisiplin.
Pengarah itu juga mengatakan persepsi khalayak terhadap kontroversi hidup Aliff tidak mempengaruhi keputusan kreatifnya. Sebaliknya, beliau lebih percaya kepada bakat, disiplin dan profesionalisme seseorang ketika berada di lokasi penggambaran.
“Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan. Bagi saya, Aliff seorang pelakon yang sangat berbakat dan mempunyai kelebihan semula jadi dalam lakonan.
“Dia juga sangat komited dan berdedikasi. Dia benar-benar menghayati wataknya dan saya sangat berpuas hati dengan cara dia bekerja. Dari segi disiplin juga, dia menunjukkan sikap yang sangat baik sepanjang penggambaran.
Sementara itu Elisya memberitahu menerima watak Nikita kerana ia mempunyai banyak ‘lapisan’ yang mampu mencabar kualiti lakonannya.
“Bila baca skrip, saya rasa dia sangat berbeza daripada watak yang pernah saya bawa sebelum ni. She’s not just a villain (dia bukan sahaja jahat).
“Dia seorang wanita yang penuh dengan trauma dan emosi yang tak terungkai. Sebagai pelakon saya suka cabar diri dengan watak yang ada banyak layer macam ini,” kata pelakon tersebut.
Madu Atau Racun mengisahkan tentang Azura seorang isteri yang setia, penyabar dan sentiasa mengutamakan keluarga. Dia menjalani kehidupan yang diimpikan ramai, namun di sebalik senyumannya, Azura memendam kesedihan apabila masih belum dikurniakan cahaya mata selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga bersama Adli.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Adli, seorang ahli perniagaan yang berpengaruh tetapi mementingkan diri sendiri, membuat keputusan untuk berkahwin lagi. Kehadiran Nikita, wanita muda yang berani, lantang dan penuh misteri, mengubah segala-galanya.
Pertemuan pertama mereka dipenuhi rasa cemburu, dendam dan persaingan. Namun apabila keadaan memaksa Nikita tinggal sebumbung bersama Azura, hubungan mereka perlahan-lahan berubah. Daripada saling membenci, mereka mula memahami luka yang ditanggung masing-masing. Mereka akhirnya menyedari bahawa musuh sebenar bukanlah antara satu sama lain, tetapi lelaki yang selama ini memanipulasi kehidupan mereka.
Namun apabila Adli mengetahui hubungan rapat yang mula terjalin antara kedua-dua isterinya, keadaan bertukar menjadi sesuatu yang tak terduga.
Dengan gabungan naskhah yang berani, sentuhan pengarahan Eyra Rahman serta barisan pelakon yang berjaya menghidupkan setiap karakter dengan penuh emosi dan kejujuran, IQIYI Original Madu atau Racun menjanjikan sebuah pengalaman tontonan yang bukan sahaja mengangkat konflik rumah tangga, malah menyelami sisi kemanusiaan, kekuatan wanita dan ikatan yang lahir dalam keadaan paling tidak dijangka.
Jangan lupa untuk menonton secara eksklusif Madu Atau Racun di iQIYI bermula 14 Ogos 2026, pada setiap hari Jumaat dan Sabtu jam 9 malam.
INFORMASI
Judul: Madu Atau Racun
Tagline: Satu Rumah. Dua Isteri.
Platform: iQIYI Original
Tarikh Tayangan: 14 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam.
Genre: Drama Romantis
Format: 12 Episod
