(HIBURAN) IMAM – ‘Novel Karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain Diadaptasi Ke Naskhah Filem’

Spread the love

Boleh dikatakan kebanyakan penebit sekarang ini lebih berminat untuk mengadaptasi novel-novel masa kini untuk dijadikan sama ada filem atau drama.

Bagaimanapun, syarikat produksi Alkahfi mengambil pendekatan berbeza apabila mengadaptasi novel berjudul Imam yang merupakan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain ke naskah filem.

Pengarahnya, Mior Hashim Manap berkata, dia tertarik untuk menghasilkan filem Imam kerana ia merupakan karya novel yang cukup baik untuk diangkat ke layar perak.

“Sewaktu saya membaca novel ini sekitar tahun 2013, saya tertarik dengan pemikiran yang dibawa oleh Abdullah sehingga ia menjentik hati saya untuk menghasilkan filem Imam.

“Ia berlatarkan tahun 1983 dan antara intipati menarik dalam novel ini apabila menggambarkan orang Melayu ketika itu cenderung kafir-mengkafir, selain peranan masjid yang hanya digunakan untuk solat, sedangkan banyak fungsinya yang lain,” ujarnya.

Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.

Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri.

Selain itu, Haji Mihad juga didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama.

Menariknya, filem Imam menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Dato M Nasir, Faizal Hussein, Vanida Imran, Natasha Charmain dan ramai lagi.

Mengenai pembikinan pula, Mior berkata penggambaran dilakukan sekitar Januari 2022 di beberapa buah lokasi seperti Lenggong dan Malim Nawar, Perak serta Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Berkenaan dengan proses untuk membawa Imam ke layar perak, Mior menyatakan dia tidak mengubah karya asal, meskipun agak sukar untuk mengadaptasi keseluruhan novel berkenaan setebal 705 halaman.

“Untuk filem ini, saya lebih banyak menumpukan kepada konflik yang berlaku antara watak Haji Mihad (M. Nasir) dan Haji Syamsuri (Faizal Hussein).

“Bagi saya, Imam adalah sebuah novel yang hebat, termasuklah Abdullah sendiri selaku pengarangnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, untuk menghasilkan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel seorang Sasterawan Negara, beliau mengakui turut berhadapan pelbagai cabaran.

Jelasnya, untuk skrip sahaja telah melibatkan empat kali rombakan bermula tahun 2013 (draf pertama), 2016 (draf kedua dan ketiga) serta 2021 (draf keempat).

“Semasa skrip ini siap pada peringkat awal sekitar tahun 2013, saya sukar mencari penerbit yang berminat dan setelah itu saya mendiamkan diri sekitar 2016.

“Kemudian saya perkemaskan skrip Imam, tetapi masih sukar mendapatkan penerbit yang berminat. Akhirnya tiga tahun lepas saya ambil keputusan untuk menjadi penerbit dan bersyukur kerana usaha saya ini disokong oleh FINAS,” ujarnya.

Pada masa sama, Mior berharap agar filem arahannya itu mendapat sambutan baik masyarakat, apatah lagi novel Imam itu sendiri pernah dinobatkan sebagai pemenang pertama Hadia Novel Nasional Utusan Melayu Public Bank Utusan Publication And Distributors 1992/1994.

Filem Imam mula menemui penonton mulai 2 MAC 2023 dan akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

BARISAN PELAKON

 

Dato M. Nasir                                     – Haji Mihad

Faizal Hussein                                     – Haji Syamsuri

Vanidah Imran                                   – Rubiah

Natasha Charmaine                           – Siti Nur Aisyah

Omar Abdullah                                   – Dato Berseban Merah

Sophia Ibrahim                                   – Hajah Syamsiah

Dato Jalaluddin Hassan                      – YDP Majlis Agama

Dato Rahim Razali                              – Haji Abdul Rahman

Noramin Mosyi Mosyi                       – Haji Daud

Dewa Sapri                                         – Bilal Haji Kulub

Sani Sudin                                          – Parman

Rahim Jailani                                      – Haji Omar

Rasdi Daud                                         – Lebai Saat

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *