(HIBURAN) Menjelang Jaclyn Victor First Solo Concert 12 Oktober 2024 Sesal Tak Bermakna Jadi Cenderahati Terkini Jacyln Victor

Spread the love

Menuju hari bersejarah Jaclyn Victor First Solo Concert yang dijadual berlangsung di  Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan, penyanyi berprolifik tinggi yang mesra disapa Jac hadir dengan cenderahati istimewa.

Sesal Tak Bermakna — inilah cenderahati istimewa yang tidak sabar diperdengarkan Jac kepada semua peminat dan pemerhati muzik tempatan.

Dihasilkan Gerald Sellan dan Mux Ryzor selaku penerbit, Sesal Tak Bermakna turut menerima gabungan idea Adrian Puan bersama Gerald sebagai komposer. ‘Bertemu’ peminat pada 23 Ogos 2024.

Meski mengangkat judul Sesal Tak Bermakna yang secara kasarnya akan dikaitkan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, penyanyi yang terkenal mencapai notasi tinggi dalam nyanyiannya ini bagaimanapun melihat ia daripada sisi berbeza.

Jac, 45, juga mahu peminat melihat sisi berbeza dirinya selepas lebih dua dekad berlayar dan mengharungi gelombang arus muzik menerusi Sesal Tak Bermakna yang bernuansa gelap berbanding hit miliknya seperti Gemilang atau Kejutkan Aku.

Dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano, Jac mendefinisikan Sesal Tak Bermakna sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.

“Mungkin bunyi Sesal Tak Bermakna seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah dilakukan tapi Sesal Tak Bermakna versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujar Jac.

Ironi kata Jac lagi, Sesal Tak Bermakna yang menjadi single kedua selepas kejayaan Kejutkan Aku itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.

“Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam Sesal Tak Bermakna,” ujar Jac.

Menariknya juga untuk muzik video lagu ini, Jac kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi pemeran untuk video tersebut. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem Talentime pada tahun 2009.

Seiring lahirnya Sesal Tak Bermakna di pasaran, Jac juga teruja menyambut ribuan peminat untuk merayakan ulang tahun ke-20nya sebagai anak seni di Jaclyn Victor First Solo Concert yang dibawa oleh Rag Doll Records dan disokong oleh CUCKOO dan KAIMIRRA.

Di pentas Zepp KL pada 12 Oktober 2024, Sesal Tak Bermakna akan disampaikan bersama lagu-lagu lain yang telah mengharumkan nama Jac bukan sekadar ‘gadis pemenang program realiti televisyen’ sebaliknya permata seni yang patut dibanggakan.

“Saya sangat tidak sabar menanti hari besar nan bersejarah iaitu Jaclyn Victor First Solo Concert pada 12 Oktober 2024 di Zepp KL.

“Konsert solo ini akan menjadi medan pertemuan intim dengan peminat dan tanda cinta serta apresiasi saya kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya sejak dua dekad lalu,” kata Jac.

Bukan calang-calang, konsert tersebut akan diketuai oleh karyawan seni terkenal, Genervie Kam diberi tangungjawab sebagai Pengarah Muzik Jaclyn Victor First Solo Concert bersama barisan pemuzik handalan tanah air.

Untuk menyaksikan Jaclyn Victor First Solo Concert, jangan terlepas mendapatkan tiket berharga RM258 sehingga RM888 sudah mula dijual di www.livepass.asia.

INFORMASI

ARTIS: JACLYN VICTOR

SINGLE: SESAL TAK BERMAKNA

PENERBIT:  GERALD SELLAN & MUX RYZOR

KOMPOSER: ADRIAN PUAN & GERALD SELLAN

PENULIS LIRIK: GERALD SELLAN

ACARA: JACYLN VICTOR FIRST SOLO CONCERT

TARIKH: 12 OKTOBER 2024

LOKASI: ZEPP KL

PENGANJUR: RAG DOLL RECORDS

PENGANJUR BERSAMA: BBE & AWAKE PRODUCTIONS

HARGA TIKET: RM288 – RM888

PEMBELIAN: WWW.LIVEPASS.ASIA


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *