(HIBURAN) ‘TERBANG RUMAH TERBUKA RAYA’ TAMPILKAN BARISAN PELAKON & KOLABORASI STRATEGIK BERSAMA STING

Spread the love

Kuala Lumpur, 6 April 2026 – Dalam kemeriahan Aidilfitri, Astro Shaw hari ini menganjurkan TERBANG RUMAH TERBUKA RAYA, sebagai tanda meraikan kebersamaan dalam suasana penuh mesra bersama tetamu jemputan, rakan media serta menyantuni 32 orang anak yatim daripada rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan As Shakur (PEKEAS).

Majlis ini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran barisan pelakon TERBANG, yang julung kalinya diperkenalkan secara rasmi kepada umum. Menampilkan gandingan pelakon berkaliber dari pelbagai latar seperti Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.

TERBANG merupakan filem yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup juara dunia pelumba rali Malaysia, Karamjit Singh. Diarahkan sutradara filem pecah panggung The Journey dan OlaBola, Chiu Keng Guan, kisah ini diterjemahkan dengan gaya penceritaan sinematik yang penuh emosi, menjanjikan pengalaman tontonan yang mengesankan.

Bagi melengkapkan pengalaman aksi dan adrenalin yang dibawa filem ini, TERBANG turut mengumumkan kolaborasi strategik bersama STING, jenama minuman berkarbonat bertenaga yang sinonim dengan gaya hidup aktif dan keberanian. Kerjasama ini sekali gus menyerlahkan semangat juang serta membangkitkan rasa bangga terhadap pencapaian Malaysia di pentas dunia.

Menurut Ketua Astro Shaw dan Penerbit Eksekutif filem TERBANG, Raja Jastina Raja Arshad, “Astro Shaw amat berbesar hati meraikan Aidilfitri bersama rakan kerjasama, media, dan anak-anak yatim, yang turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon filem TERBANG. Hari ini juga, kami memperkenalkan rakan strategik, STING yang sinonim dengan jenama minuman bertenaga pilihan ramai. Selari dengan tema filem ini mengenai dunia perlumbaan rali yang penuh intensiti, kami yakin kolaborasi ini memperlihatkan satu sinergi unik. Kami tidak sabar untuk mempersembahkan filem TERBANG yang akan berada di pawagam tidak lama lagi.”

“Kerjasama kami bersama Astro Shaw bukanlah sesuatu yang baharu, dan kami amat teruja untuk meneruskan kolaborasi strategik ini dalam memperkukuhkan lagi impaknya. Bersama TERBANG, kami melihat peluang untuk melangkaui penajaan konvensional dengan membawakan pendekatan berteraskan penceritaan yang lebih menyeluruh. STING berperanan sebagai simbol tenaga dan keberanian, selari dengan semangat filem ini yang penuh adrenalin dan inspirasi,” kata Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika.

Bagi STING, TERBANG bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah kisah tentang ketahanan diri, keberanian dan semangat untuk bangkit semula, nilai yang amat dekat dengan jenama kami. Melalui kolaborasi ini, kami ingin menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut, di mana STING melambangkan tenaga yang mendorong setiap cabaran dan detik kebangkitan dalam dunia penuh adrenalin ini,” tambah Amy Gan.

Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak bakal membawakan pelbagai inisiatif menarik termasuk kandungan digital eksklusif, aktiviti interaktif bersama peminat serta kempen media sosial yang mengetengahkan tema kebangkitan dan daya tahan diri.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuhkan pengalaman menonton, malah memperluaskan lagi jangkauan TERBANG kepada penonton melalui platform gaya hidup dan hiburan.

TERBANG diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, Aventure Space, manakala, produksi oleh Woohoo Pictures, serta membabitkan rakan strategi STING, rakan Inovasi U Mobile, serta sokongan melalui kebenaran penggunaan elemen jenama oleh PROTON, PETRONAS, EON, Malaysian Aviation Group (MAG), dalam membawa kembali semangat era tersebut ke layar perak.

TERBANG membawa penonton mengikuti kisah Ajeet yang dihantui insiden kemalangan tragis, sehingga memaksanya meninggalkan dunia perlumbaan rali demi mencari ketenangan bersama isterinya, Lisa. Namun, takdir membawanya kembali ke trek dengan pasukan PERT Malaysia untuk bangkit ke pentas dunia.

Nantikan filem aksi rali TERBANG yang akan menemui penonton pawagam tahun ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *