KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Penyanyi bertaraf antarabangsa Shila Amzah bakal meraikan ulang tahun ke-25 penglibatannya dalam industri muzik menerusi konsert istimewa “KITA – 25 Tahun Bersama”, yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2026, jam 7.30 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Dianjurkan oleh Pink Asia, konsert berskala mega ini menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Shila selama suku abad, selain meraikan sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat yang sentiasa bersama beliau sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan.
Bersempena sambutan Visit Malaysia 2026, konsert ini turut dijangka menjadi antara acara hiburan utama yang mampu menarik kehadiran peminat dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, China serta negara-negara Asia Tenggara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan hiburan bertaraf antarabangsa.
Dengan jangkaan kehadiran lebih 5,000 penonton, “KITA – 25 Tahun Bersama” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan muzik yang merentasi pelbagai era kerjaya Shila Amzah, lengkap dengan produksi bertaraf antarabangsa, susunan muzik eksklusif serta visual yang bakal memberikan pengalaman luar biasa kepada para penonton.
Menurut Shila Amzah, konsert berkenaan membawa makna yang amat besar buat dirinya kerana setiap kejayaan yang dikecapinya sepanjang 25 tahun ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan para peminat.
“Konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama.”
Sepanjang persembahan nanti, Shila bakal menyampaikan 40 buah lagu yang merangkumi karya Melayu, Mandarin dan Inggeris, termasuk lagu-lagu ikonik seperti Ada Saja, Tragik, Kita Berdansa, Patah Seribu Hatiku, Oscar Winning Tears, Forever Love, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta dan Temberang, selain beberapa lagu Mandarin yang telah melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.
Konsert itu turut menampilkan beberapa segmen khas seperti Tribut Sudirman, Tribut Michael Jackson dan Fish Leong Medley, yang disusun khas bagi memberikan pengalaman muzik yang lebih segar dan berbeza kepada para penonton.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan malam bersejarah itu, Pink Asia turut membawakan barisan artis jemputan yang bakal membuat penampilan istimewa sepanjang konsert berlangsung.
Antara nama yang disahkan menyertai konsert ini ialah DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly dan Hael Husaini, selain beberapa lagi kejutan khas yang akan diumumkan pada hari konsert.
Kehadiran mereka dijangka menyuntik kelainan menerusi kolaborasi eksklusif dan persembahan yang hanya dapat disaksikan pada malam tersebut, sekali gus menjadikan “KITA – 25 Tahun Bersama” sebuah produksi yang menghimpunkan pelbagai genre muzik dalam satu pentas.
Shila berkata, beliau teruja dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis yang banyak mewarnai industri muzik tempatan.
“Malam tersebut akan menjadi sebuah persembahan yang sangat dekat di hati saya. Saya juga sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana mereka masing-masing mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri. Saya percaya gabungan ini akan menjadikan ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.”
Sementara itu, Mr. Ravivarman Vicraman – Pengarah Syarikat Pink Asia berkata pihaknya berbesar hati dapat merealisasikan sebuah konsert yang meraikan pencapaian luar biasa seorang ikon muzik Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Shila Amzah bukan sekadar penyanyi bertaraf antarabangsa, tetapi juga simbol kecekalan, dedikasi dan kebanggaan industri muzik Malaysia. ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ dirancang sebagai sebuah produksi premium yang menggabungkan elemen muzik, visual dan penceritaan bagi menghargai perjalanan seni beliau selama suku abad. Pada masa sama, kami mahu menjadikan konsert ini sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai bakat hebat tanah air dalam satu malam yang penuh makna. Kami yakin pengalaman yang bakal disajikan bukan sahaja memenuhi jangkaan peminat tempatan, malah mampu menarik lebih ramai pengunjung luar negara bersempena Visit Malaysia 2026.”
Beliau berkata, pemilihan Arena of Stars, Resorts World Genting sebagai lokasi konsert dibuat bertepatan dengan reputasinya sebagai venue hiburan bertaraf dunia yang mampu menampilkan produksi berskala besar dengan kemudahan teknikal terbaik.
Sebagai sebahagian daripada Kempen Promosi Coffee Bean x KITA, peminat yang membeli tiket Konsert KITA – 25 Tahun Bersama menerusi Ticket2U.com.my atau rwgenting.com akan menikmati diskaun segera sebanyak 10% bagi setiap pembelian tiket.
Lebih menarik, pemegang tiket juga layak menikmati diskaun 20% untuk makanan dan minuman kegemaran di mana-mana cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia yang mengambil bahagian dengan hanya menunjukkan tiket konsert dalam tempoh tiga (3) hari dari tarikh pembelian. Promosi eksklusif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Pink Asia dan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia bagi memberikan nilai tambah kepada peminat sambil bersama-sama meraikan “KITA – 25 Tahun Bersama” bersama Shila Amzah di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert “KITA – 25 Tahun Bersama” merupakan anjuran Pink Asia dengan sokongan The Coffee Bean & Tea Leaf selaku Rakan Rasmi, manakala Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 tampil sebagai Rakan Strategik dalam menjayakan penganjuran konsert berprestij ini. Sementara itu, Ticket2U merupakan Platform Tiket Rasmi yang membolehkan peminat mendapatkan tiket dengan mudah serta menikmati pelbagai promosi eksklusif yang ditawarkan sepanjang tempoh jualan tiket.
MAKLUMAT KONSERT
Konsert: KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama
Tarikh: Sabtu, 15 Ogos 2026
Masa: 7.30 malam
Lokasi: Arena of Stars, Resorts World Genting
HARGA TIKET
VIP – RM599
SA1 – RM399
SA2 – RM249 (Restricted View)
SA3 – RM249
SA4 – RM199
SA5 – RM149
Tiket kini boleh didapati menerusi Ticket2U Malaysia dan Resorts World Genting.
Orang ramai disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan sambutan daripada peminat tempatan dan antarabangsa amat menggalakkan.
