(SEMASA) ZXMOTO 500F, 500RR DAN 820RR DILANCARKAN DI MALAYSIA, “RISE OF THE CHAMPIONS” TAMPILKAN PRESTASI BERKUASA.

Spread the love

KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER 2026 – ZXMOTO 500F, ZXMOTO 500RR dan ZXMOTO 820RR rasmi dilancarkan di Malaysia menerusi acara “Rise of the Champions, ZXMOTO Official Launch” Mforce Mid-Autumn Gala Dinner 2026.

Majlis ini turut dihadiri pengasas Chongqing ZXMOTO Sales Co., Ltd., encik Zhang Xue, Pengarah Perdagangan Luar, encik Paul Huang, Pengarah Urusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Sri Leo Tan, Ketua Pegawai Operasi, encik Asri bin Ahmad, serta Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong. Turut hadir rakan-rakan media, syarikat kredit dan tetamu jemputan bagi memeriahkan pelancaran ini.

Ketiga-tiga model tampil dengan karakter tersendiri, ZXMOTO 500F mengagahi segmen naked sporty, ZXMOTO 500RR memperkasa kategori supersport berprestasi tinggi, manakala ZXMOTO 820RR dibekalkan enjin tiga silinder berkapasiti lebih besar bersama teknologi moden.

ZXMOTO 500F

Ditawarkan pada harga RM28,888.00, ZXMOTO 500F hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Phantom Black, Crimson Red dan Arctic White, mengetengahkan reka bentuk naked yang sporty serta kemasan moden untuk penunggang yang mengutamakan prestasi dan gaya.

ZXMOTO 500F dikuasakan oleh enjin 470 cc empat silinder, 16 injap, DOHC, yang menghasilkan kuasa maksimum 54 kW pada 11,000 rpm dan tork maksimum 48 N.m pada 9,500 rpm. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 59 × 43 mm serta nisbah mampatan 12:1, dipadankan dengan klac basah berbilang plat jenis klac jenis slipper bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih lancar ketika pertukaran gear.

Bagi sistem suspensi, ZXMOTO 500F dilengkapi dengan suspensi hadapan jenis terbalik dengan pelarasan redaman, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tengah dengan pelarasan prabeban. Gabungan ini memberikan fleksibiliti kepada penunggang untuk mendapatkan tetapan tunggangan yang bersesuaian.

Sistem membrek menggunakan dua cakera jenis apungan 300 mm di hadapan serta cakera tunggal 220 mm di belakang, dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi saluran bagi meningkatkan kawalan dan keyakinan ketika membrek.

Motosikal ini menggunakan tayar bersaiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang, manakala struktur casis menggunakan rangka buaian kembar dengan struktur trellis keluli. ZXMOTO 500F mempunyai dimensi keseluruhan 2,015 mm panjang, 800 mm lebar dan 1,060 mm tinggi, dengan jarak roda 1,395 mm, ketinggian tempat duduk 795 mm serta berat siap diisi 175 kg. Tangki bahan api pula berkapasiti 15 liter.

Dari segi kelengkapan, ZXMOTO 500F dilengkapi meter jenis jarum analog dengan paparan LCD di bahagian tengah, port pengecas USB, suis keselamatan tongkat sisi serta sistem pencahayaan LED. Model ini turut mempunyai Daytime Running Light (DRL), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS) serta dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport.

ZXMOTO 500RR

Ditawarkan pada harga RM29,988.00, ZXMOTO 500RR hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Nitro Red, Onyx Black dan Frost White, dengan reka bentuk berinspirasikan motosikal supersport yang menampilkan fokus terhadap prestasi dan kawalan.

ZXMOTO 500RR dikuasakan oleh enjin 470.2 cc empat silinder (16 injap) dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 62 kW pada 13,500 rpm dan tork maksimum 46 N.m pada 11,500 rpm. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 59 × 43 mm, nisbah mampatan 12.9:1 serta dipadankan dengan sistem pacuan rantai dan klac basah berbilang plat jenis slipper.

Sistem suspensi hadapan menggunakan suspensi depan terbalik berdiameter 41 mm yang boleh dilaraskan sepenuhnya dari segi prabeban dan redaman, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tengah yang turut boleh dilaraskan sepenuhnya.

Bagi sistem membrek, ZXMOTO 500RR dilengkapi cakera terapung berkembar di hadapan dengan diameter 320 mm serta cakera tunggal 240 mm di belakang, bersama ABS dwi saluran bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek.

Model ini menggunakan tayar bersaiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang, dipadankan dengan roda tuangan aloi aluminium. Rim hadapan berukuran MT3.5 × 17, manakala rim belakang berukuran MT5.5 × 17. ZXMOTO 500RR mempunyai rangka jenis rangka trellis keluli tunggal, panjang keseluruhan 2,005 mm, lebar 705 mm dan tinggi 1,125 mm, dengan jarak roda 1,395 mm, ketinggian tempat duduk 795 mm serta berat siap diisi 170 kg.

Dari aspek teknologi, ZXMOTO 500RR dilengkapi paparan meter TFT, port pengecas USB, sistem pencahayaan LED serta lima mod tunggangan yang terdiri daripada Sport, Street, Rain dan dua mod boleh disesuaikan. Model ini turut dilengkapi Quickshifter dua arah, sambungan Bluetooth dan Sistem Kawalan Pelayaran (CCS).

ZXMOTO 820RR

Sebagai model berkapasiti terbesar dalam barisan ini, ZXMOTO 820RR ditawarkan pada harga RM39,888.00 dengan tiga pilihan warna iaitu Eclipse Black, Rebel Red dan Ghost White.

ZXMOTO 820RR dikuasakan oleh enjin 818.8 cc tiga silinder, 12 injap, DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan minyak. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 99 kW pada 12,000 rpm serta tork maksimum 80 N.m pada 9,500 rpm, dengan ukuran piston dan lejang 80 × 54.3 mm serta nisbah mampatan 13:1.

Kuasa enjin disalurkan menerusi klac basah berbilang plat jenis slipper. Tangki bahan api berkapasiti 18 liter pula menyokong kepraktisan untuk perjalanan yang lebih jauh.

Bagi sistem suspensi, ZXMOTO 820RR menggunakan suspensi hadapan yang boleh dilaraskan sepenuhnya dari segi prabeban dan redaman, manakala penyerap hentak tengah di bahagian belakang turut menawarkan pelarasan penuh prabeban dan redaman.

Sistem membrek menggunakan cakera terapung berkembar 320 mm di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang, bersama ABS dwi saluran yang boleh dinyahaktifkan. Model ini menggunakan tayar 120/70 ZR17 di hadapan dan 190/55 ZR17 di belakang, dipadankan dengan rangka rangka tuangan aloi aluminium.

Dengan panjang keseluruhan 2,050 mm, lebar 745 mm dan tinggi 1,160 mm, ZXMOTO 820RR mempunyai jarak roda 1,419.5 hingga 1,423 mm, ketinggian tempat duduk 825 mm serta berat siap diisi 193 kg.

Dari segi teknologi, ZXMOTO 820RR dilengkapi paparan meter TFT, sistem kunci pintar Keyless, port pengecas USB serta pencahayaan LED. Model ini turut menawarkan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan dua mod boleh disesuaikan, selain Quickshifter dua arah, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), TPMS, sambungan Bluetooth dan Sistem Kawalan Pelayaran (CCS).

Dengan gabungan enjin berprestasi tinggi, sistem suspensi boleh laras, teknologi elektronik moden serta ciri keselamatan yang menyeluruh, ZXMOTO 820RR menawarkan pakej prestasi yang lebih tinggi kepada penunggang yang mencari pengalaman tunggangan berkuasa.

WARANTI

Dengan setiap pembelian ZXMOTO 500F, 500RR dan 820RR, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.

Selain itu, para pembeli juga boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh ZXMOTO Malaysia.

Tertakluk kepada terma dan syarat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *