Tidak dinafikan industri perfileman Indonesia acap kali muncul dengan pelbagai cerita bergenre seram dan thriller serta sering menembusi pasaran filem di Malaysia.
Yang terbaru, sebuah filem seram berjudul JUMINTEN EDAN yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 15 OKTOBER 2026.
Pengarahnya, Jonathan Ozoh berkata, filem terbaharu arahannya itu bukan sekadar menjual elemen ketakutan, tetapi turut mengangkat konflik kekeluargaan dan trauma seorang wanita.
“Sebagai pengarah bersama Dedy Mercy, kami berusaha untuk menciptakan sebuah ketakutan, namun dalam masa yang ingin menonjolkan kekuatan seorang wanita iaitu Juminten yang di luar jangkaan.
“Filem ini juga lebih kepada ‘psikologi thriller’, dan kami tidak menjual keseraman dan ketakutan yang dibuat-buat. Bagaimanapun, tekanan yang wujud dari dalam diri Juminten berlaku akibat perbuatan keluarga,” jelasnya.
Diterbitkan syarikat produksi MERCUSUAR FILM INDONESIA, filem berkenaan mengisahkan perjuangan seorang wanita bisu bernama Juminten yang berusaha mempertahankan rumah tangga, di sebalik tindakan ibu mentuanya sendiri yang mahu menghancurkannya dengan amalan ilmu hitam.
Ujar Jonanthan, untuk pembikinan Juminten Edan, dia dan Dedy memastikan agar filem ini menampilkan kelainan berbanding filem-filem seram lain.
Jelasnya, meskipun penonton melihat ia sebagai sebuah filem seram, baginya kekuatan filem berkenaan lebih kepada thriller.
“Berdasarkan adegan-adegan yang dipaparkan, penonton dipaparkan dengan karakter Juminten itu sendiri, di mana setiap tindakannya adalah mahu menyelamatkan keluarganya.
“Kalau melihat kepada tajuk filem ini di mana perkataan ‘edan’ yang bermaksud gila, tentu penonton akan menilai sendiri siapakah sebenarnya yang ‘edan’ dalam keseluruhan jalan ceritanya,” ujarnya.
Sementara itu, Ferdi Ali yang merangkap Penerbit Kreatif berkata, pihaknya berbangga apabila filem ini menembusi pasaran di Malaysia.
Jelasnya, apabila mengetahui penonton di Malaysia berpeluang menonton filem ini nanti, pihak sangat bersyukur dan teruja.
“Sudah tentu kami berharap agar Juminten Edan dapat diterima baik penonton, terutama sekali kepada penggemar filem bergenre horror.
“Menerusi filem ini, saya juga sangat yakin dan percaya ia memberikan satu pengalaman yang berbeza serta memberikan kepuasan buat penonton,” jelasnya.
Untuk tayangan dan pasaran di Malaysia, filem ini dibawakan oleh Inaman Films dan diedarkan syarikat Juragan Kaya Sdn Bhd.
DIMAS ADITYA sbg MANTO
“Ketika Manto sedar dan melihat konflik yang bermula daripada ibunya sendiri, titik perubahan bermula apabia dia harus membela isterinya.
“Untuk karakter Manto, ia adalah seorang lelaki yang berkorban demi cintanya. Jadi, dia akan melakukan apa sahaja demi cintanya kepada Juminten.
“Ketika Juminten berubah sehingga menjadi tidak terkawal, Manto tetap berusaha untuk mencari puncanya.
“Selepas menonton filem ini, kita harus melihat skop yang lebih luas dalam menilai seseorang kerana Juminten adalah yang paling waras berbanding watak lain.
MEISYA AMIRA sbg JUMINTEN
“Yang paling sukar untuk karakter Juminten itu adalah dia harus meluahkan emosi dan tenaganya tanpa dialog memandangkan dia seorang bisu dan pekak. Luahan itu adalah berdasarkan pergerakan mata dan tubuh dalam menyampaikan perasaanya.
“Untuk berlatih menggunakan bahasa isyarat, saya menjalani latihan selama dua minggu dan ia agak sukar dengan masa yang cukup terhad. Ketika penggambaran, saya tetap dipantau oleh guru yang melatih dan sekiranya ada sebarang kesalahan dan kesilapan, ia lantas diperbetulkan dengan segera.
“Apa yang paling menarik tentang watak Juminten ini, anak merupakan yang paling penting dalam hidupnya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi perjuangan membela anak serta suaminya.
“Untuk mengetahui siapakah yang sebenarnya ‘edan’ (gila) dalam filem ini, anda harus menontonnya di pawagam.
SINOPSIS
Di sebuah pulau, tinggal seorang gadis bisu dan pekak bernama Juminten yang berkawan rapat dengan Manto, anak tunggal keluarga Sandosa, sebuah keluarga kaya yang mengusahakan perniagaan garam dan tempat ibunya bekerja. Namun, ibu Manto iaitu Salma menentang keras hubungan mereka kerana Juminten merupakan seorang wanita bisu dan pekak. Walaupun begitu, cinta Manto terhadap Juminten tidak pernah goyah. Manto akhirnya mengambil keputusan untuk membawa Juminten meninggalkan pulau tersebut dan memulakan kehidupan baharu di bandar Yogyakarta.
Suatu hari, mereka menerima sepucuk surat daripada Salma yang meminta mereka pulang ke pulau itu. Salma dikatakan telah memaafkan mereka dan ingin bertemu cucunya buat pertama kali. Marlan, bapa saudara Manto turut meyakinkan mereka bahawa Salma telah berubah dan kini bersedia menerima Juminten sebagai sebahagian daripada keluarga.
