KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2026 – Penyanyi, usahawan dan jurulatih kehidupan bertauliah, Nourul Depp, sekali lagi menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Berlangsung pada 17 dan 18 Oktober 2026 di Tamu Hotel Kuala Lumpur, program ini menghimpunkan peserta dan barisan penceramah jemputan bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta perspektif mengenai kepimpinan dan pembangunan potensi wanita.
Penglibatan semula Nourul dalam PERANTIS mencerminkan kesinambungan perjalanan beliau daripada industri seni dan hiburan kepada bidang pembangunan diri, kepimpinan serta pemerkasaan wanita. Menerusi pengalaman peribadi dan profesionalnya, beliau membawa mesej bahawa keyakinan diri, keberanian untuk berubah dan kesediaan mengenali potensi diri merupakan antara asas penting dalam membina kehidupan yang lebih bermakna.
Selain Nourul, program tahun ini turut menampilkan Dato’ Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia sebagai pengajar jemputan.
PERANTIS merupakan inisiatif yang bertujuan membangunkan bakat kepimpinan wanita melalui perkongsian ilmu, bimbingan dan pengalaman daripada pemimpin serta tokoh wanita yang berjaya. Bagi pelaksanaan tahun 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.
Bagi Nourul, peluang untuk kembali menyertai program ini bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dan membantu lebih ramai wanita membina keyakinan terhadap diri sendiri.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama-sama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan. Yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberikan keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik Malaysia, selain penglibatan dalam bidang keusahawanan dan pembangunan diri, Nourul kini memberi tumpuan kepada usaha membantu wanita membina semula keyakinan, mengenali kekuatan diri dan mengambil langkah positif untuk mengubah kehidupan mereka.
Pendekatan ini turut diterapkan menerusi Firetalk, platform pembangunan diri yang diasaskannya berdasarkan pengalaman hidup dan perjalanan transformasi peribadi. Melalui platform tersebut, Nourul berkongsi perspektif serta pendekatan yang boleh membantu individu, khususnya wanita, memahami diri sendiri dan membina keberanian untuk menghadapi perubahan.
Nourul merupakan jurulatih kehidupan bertauliah RMT yang menjalani latihan melalui Robbins-Madanes Training, selain merupakan penceramah yang diakreditasi oleh HRD Corp.
Bagi beliau, pemerkasaan wanita bermula apabila seseorang berani mengenali nilai dirinya, keluar daripada batasan yang menghalang perkembangan diri dan mengambil tanggungjawab terhadap hala tuju kehidupannya.
Penyertaan Nourul dalam PERANTIS 2026 diharap dapat menyumbang kepada usaha melahirkan lebih ramai wanita yang yakin, berdaya tahan dan bersedia memainkan peranan sebagai pemimpin dalam keluarga, organisasi serta masyarakat.
