SEPANG, 30 OKTOBER 2026 – Didi Group, pengimport dan pengedar tunggal jenama Aprilia di Malaysia, memperkenalkan model baharu Aprilia RS 457 GP Replica, sebuah motosikal edisi khas yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan MotoGP jenama berkenaan, sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026.
Sesi pratonton model tersebut disempurnakan oleh pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, sekali gus membawa semangat dan keghairahan legasi perlumbaan Aprilia lebih dekat kepada peminat motosikal di Malaysia.
Diinspirasikan daripada jentera perlumbaan MotoGP Aprilia RS-GP, RS 457 GP Replica menampilkan kemasan badan berwarna hitam yang menyerlah, dengan gabungan kemasan berkilat dan kusam serta grafik berkonsepkan perlumbaan.
Komponen aluminium dengan kemasan gelap, termasuk rangka, lengan ayun dan plat stereng, turut menyerlahkan penampilan sporty serta memberikan sentuhan premium kepada motosikal tersebut.
Selain reka bentuk tersendiri, RS 457 GP Replica turut dilengkapi beberapa penambahbaikan yang memfokuskan prestasi, termasuk sistem quickshifter yang membolehkan penukaran gear ke atas tanpa menggunakan klac, pad brek hadapan yang dipertingkatkan untuk prestasi membrek lebih baik serta penutup tempat duduk belakang tunggal yang mengukuhkan penampilan ala jentera perlumbaan.
Motosikal ini dikuasakan enjin dua silinder selari berkapasiti 457cc, sama seperti model standard RS 457. Digabungkan dengan reka bentuk ringan dan pengendalian yang meyakinkan, RS 457 GP Replica menawarkan pengalaman tunggangan yang mengujakan buat peminat yang mengutamakan prestasi sporty tanpa mengetepikan kesesuaian untuk kegunaan harian.
Penganjuran PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 menjadi platform yang bersesuaian untuk memperkenalkan model ini, sekali gus menghubungkan rangkaian motosikal jalan raya Aprilia dengan semangat dan keterujaan perlumbaan motosikal di peringkat antarabangsa.
Aprilia RS 457 GP Replica ditawarkan pada harga RM35,900 dan akan tersedia menerusi rangkaian pengedar sah Aprilia di seluruh Malaysia.
Dengan kemasan badan berinspirasi MotoGP, reka bentuk tersendiri serta kelengkapan yang dipertingkatkan, Aprilia RS 457 GP Replica meraikan DNA perlumbaan jenama itu sambil membawa semangat litar perlumbaan kepada generasi baharu penunggang motosikal.
(SEMASA) APRILIA RS 457 GP REPLICA EDISI KHAS MEMBUAT KEMUNCULAN SULUNG DI PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA 2026
Spread the love
Spread the love
