Astro Warna hari ini melancarkan sitkom bersiri terbaru, Cakap Melayulah!, terbitan Double Vision Sdn Bhd, di UNITAR International University selaku penaja lokasi sidang media. Sitkom yang dibintangi Nabil Ahmad, Shahrol Shiro, Jasmin Hamid dan Khatijah Tan ini akan mula bersiaran pada setiap hari Isnin jam 10 malam bermula 23 Jun 2014 ini di Astro Warna (Saluran 132).
Cakap Melayulah! adalah sebuah drama siri komedi yang berkisarkan Daud (Nabil Ahmad) yang ingin menjadi artis terkenal tetapi terpaksa mengambil kerja di sebuah pusat tuisyen bahasa walaupun tidak berkelayakan mengajar Bahasa Melayu. Pusat tuisyen bahasa itu dimiliki Puan Rozita (Jasmin Hamid) sementara kafe dikendalikan Mak Som (Khatijah Tan) iaitu ibu saudara Daud serta pembantu berbangsa Bangladeshi, Abdul (Shahrol Shiro). Telatah mereka bersama pelajar-pelajar antarabangsa yang mencuit hati di situ menjadi bahan ketawa dalam rancangan bersiri 13 episod ini.
“Cakap Melayulah! merupakan sitkom kedua dalam slot komedi di Astro Warna dan berdasarkan episod-episod yang telah kami tonton, kami pasti penonton di rumah akan turut terhibur dengan kerenah Cikgu Daud dan pelajar-pelajarnya,” kata Encik Rostam Said, Pengurus Saluran Astro Warna.
Cakap Melayulah! adalah sitkom arahan Roslan Hussin dengan skrip daripada Amor Rizan dan Amin Shakib.
Mengenai Cakap Melayulah!
Cakap Melayulah! adalah sebuah drama siri komedi yang berkisarkan Daud (Nabil Ahmad) yang ingin menjadi artis terkenal tetapi terpaksa mengambil kerja di sebuah pusat tuisyen bahasa walaupun tidak berkelayakan mengajar Bahasa Melayu. Pusat tuisyen bahasa itu dimiliki Puan Rozita (Jasmin Hamid) sementara kafe dikendalikan Mak Som (Khatijah Tan) iaitu ibu saudara Daud serta pembantu berbangsa Bangladeshi, Abdul (Shahrol Shiro).
Atas hasil usaha Mak Som, Encik Daud yang terdesak membayar bil-bilnya, berjaya mendapat kerja sebagai guru Bahasa Melayu di pusat tuisyen Puan Rozita. Walaubagaimanapun, kerana tiada pengalaman, cara pengajarannya adalah sangat asing sekali.
Pelajar-pelajar di dalam kelas Encik Daud ialah Paolo, warga Itali yang berpindah ke Malaysia dan belajar Bahasa Melayu untuk memikat wanita Malaysia serta Apple, seorang model dari China dan belajar Bahasa Melayu untuk lebih memahami kehendak ‘pelanggannya’.
Ada juga Ong Ah Huat, seorang rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk menjadi pelakon terkenal, Tessa, seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah antarabangsa, Miyako, gadis Jepun yang gemar berpakaian ‘Cosplay’ dan ingin mencari kawan di Malaysia dan Naseer, seorang sheikh Arab yang ingin mencari isteri pertamanya.
Pemilik kafeteria, Mak Som, seorang wanita bersifat keibuan yang mementingkan kebersihan dan dia dibantu oleh pekerja dari Bangladesh, Abdul, yang sudah menetap di Malaysia selama dua tahun, fasih berbahasa Melayu dan selalu membuat kerja sampingan asalkan ada upah.