(SUKAN) NADI SUKAN MALAYSIA KINI SUDAH SETENGAH DEKAD

Spread the love

arena add

Umpama suatu metamoforsis dari kepompong kepada ulat hinggalah terbentuk seekor kupu-kupu yang serba cantik, demikianlah perjalanan Astro Arena dari saluran pertama dan satu-satunya saluran sukan di Malaysia yang bersiaran 24 jam, untuk menjadi wadah terbaik informasi, kupasan dan bual-bicara mengenai sukan negara.

Tanggal 26 Mac 2010 menjadi detik bersejarah Astro Arena memulakan siarannya dalam rangkaian siaran televisyen Astro. Jika diimbau kembali sejarah penyiaran pertama ketika itu, Astro Arena membawakan liputan siaran langsung Kejohanan Badminton Remaja Asia 2010 dan juga perlawanan bola sepak Liga Perdana yang menyaksikan pasukan Harimau Muda menentang pasukan PKNS.

Sepanjang lima tahun bersiaran, pelbagai kejayaan dan sejarah yang telah ditempa oleh Astro Arena antaranya liputan menyeluruh dalam sukan temasya seperti Sukan Sea 2011 Palembang, Sukan Sea 2013 Myanmar, Sukan Asia 2010 Guangzhou, Sukan Asia 2014 Incheon, Sukan Komanwel 2010 New Delhi dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Tidak ketinggalan beberapa kejohanan tumpuan lain antaranya Piala Thomas dan Uber (2010 dan 2014), ISTAF Super Series (2014 dan 2015), Hoki Piala Dunia Remaja 2014 dan kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah. Astro Arena juga berusaha dalam mengembalikan imej sukan sepak takraw dan badminton tanah air dengan mengambil inisiatif menjadi satu-satunya saluran sukan tempatan yang menyiarkan Sepak Takraw League (STL) yang menjadi revolusi baru sepak takraw tempatan dan juga Kejohanan Badminton Purple League yang mencetuskan satu dimensi baru dalam pembangunan sukan badminton negara.

Selain siaran langsung Liga Malaysia, Astro Arena turut membawakan liputan kejohanan bola sepak antarabangsa yang terkemuka seperti EPL Tour 2011, UEFA Champions League 2013 serta Piala Dunia FIFA 2010 dan 2014 dengan ulasan perlawanan dalam Bahasa Melayu.

Astro Arena kini telah memaparkan lebih daripada 10,000 jam program majalah TV dan berita serta siaran langsung yang membabitkan aksi atlit negara di peringkat tempatan dan antarabangsa. Saluran Nadi Sukan Malaysia menjadi saluran tumpuan buat para pencinta sukan tanah air apabila pernah mencatatkan rekod membanggakan dengan jumlah tontonan sebanyak 3 juta.

Sementara itu, Unit Penerbitan Majalah TV Astro Arena pula telah berjaya menerbitkan lebih 17 program televisyen merangkumi segala aktiviti sukan dalam dan luar negara termasuklah program akar umbi yang turut diberi perhatian.

Astro Arena juga turut memberikan pendedahan buat bekas atlit menyinar sebagai pakar dalam analisisi dan perbincangan menerusi program Astro Arena antaranya Sharon Wee, Minarwan Nawawi, Asmawi Bakiri, Hasnizam Uzir, Richard Scully dan Khalid Jamlus. Salah satu keistimewaan Astro Arena juga adalah personaliti-personaliti sukan tersohor yang sering menghiasi program dan liputan Astro Arena seperti Allahyarham Dato Hasbullah Awang, Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad, Akhbar Sahari dan Shaukei Kahar. Di samping itu, Astro Arena juga pernah melantik beberapa atlit menjadi duta rasmi Astro Arena antaranya Dato Lee Chong Wei, Nicol David dan Azizulhasni Awang dengan harapan agar usaha ini dapat mencetuskan inspirasi kepada masyarakat demi melahirkan lebih ramai jaguh dunia.

Usaha dan komitmen Astro Arena ini juga menerima pengiktirafan antarabangsa tercalon dalam Association for International Broadcasting (AIB) Award 2013. Selain itu Astro Arena telah memenangi beberapa kategori dalam Anugerah Seri Angkasa 2011, Anugerah SAM 2013 dan Anugerah SAM 2014. Seiring dengan kemajuan dan peredaran teknologi, Astro Arena terus melangkah ke hadapan dengan meluaskan lagi medium capaian kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan saluran radio atas talian iaitu ‘Radio Arena’, menerbitkan majalah sukan digital pertama di Malaysia iaitu ‘Arena’, menganjurkan permainan dalam talian Liga Super Fantasi/ Piala Malaysia Fantasi dan siaran langsung di dalam platform Astro on the Go.

Pada 8 Oktober 2013, satu lagi sejarah telah tercipta apabila Astro Arena melancarkan saluran percubaan Astro Arena 802 yang bersiaran di dalam format definisi tinggi (HD) bersempena dengan Sukan Sea 2013 Myanmar. Ini membuktikan Astro Arena begitu komited dalam memenuhi keperluan para peminat sukan yang inginkan pengalaman tontonan berkualiti tinggi.

Azman Fahmi Osman, Penolong Naib Presiden Penjanaan Pendapatan Astro Arena berkata, “Sejak awal pelancaran Astro Arena dan sehingga kini, kami terus mendukung visi yang jelas untuk menaikan nilai komersial serta mempromosikan sukan dan para atlet negara. Kami juga sentiasa berusaha dalam menawarkan liputan secara langsung kejohanan-kejohanan tempatan, serantau dan antarabangsa serta promosi bergerak dengan matlamat untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia umumnya untuk menyokong perkembangan arena sukan tanah air.

 

 

Lantaran itu, untuk tahun 2015 ini, kami akan membawakan pelbagai kandungan sukan kontemporari yang segar. Kami juga telah bersiap siaga untuk membawakan kepada anda liputan pelbagai kejohanan sukan yang berlangsung sepanjang tahun 2015.

 

Terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari awal sehingga kini yang sudah pun masuk tahun kelima penyiaran. Harapan kami agar Astro Arena akan terus melangkah maju ke hadapan seiring dengan perkembangan industri sukan tanah air.”

Tirai pada bulan Mac 2015 akan dibuka dengan satu program istimewa iaitu ‘Lensa Harimau Muda’ di mana program ini akan memberi peluang kepada para penonton untuk menyaksikan perkembangan terkini dan sesi latihan pasukan Harimau Muda dalam mempersiapkan diri untuk kelayakan Piala AFC 2015 dan penyertaan mereka dalam Liga Singapura nanti.

Selain itu, program majalah mengenai bola sepak, ‘Sorakan 12’ akan tampil dengan wajah dan konsep baru yang lebih segar dan pertama di Astro Arena apabila bakal menggabungkan elemen sukan dan hiburan dalam suasana yang lebih santai dan menghiburkan. Para peminat tegar sukan tanah air pastinya teruja untuk menyaksikan musim baru ‘Dengan Izin’ iaitu sebuah program bual bicara hangat yang akan merungkai secara telus topik-topik kontroversi industri sukan yang akan dibincangkan.

Beberapa program baru eksklusif dari Astro Arena bakal menemui para penonton untuk tahun 2015 ini seperti ‘Perantis’. Program realiti pencarian bakat pengacara dan pengulas sukan wanita ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya golongan wanita yang berbakat dan mempunyai pengetahuan luas dalam bidang sukan menjadi pelapis baru dalam arena sukan. Manakala, para penonton yang ingin menambah ilmu dan menyelami sejarah mengenai arena bola sepak tanah air boleh mengikuti program dokumentari terbaru iaitu ‘Cerita Bola Sepak Malaysia’.

Bagi memastikan capaian informasi yang lebih meluas seiring dengan kemajuan teknologi semasa, Astro Arena turut menyediakan platform di laman sosial dan juga laman sesawang bagi memudahkan interaksi di antara para penonton dan Astro Arena. Ternyata inisiatif ini mendapat sokongan yang menggalakkan apabila jumlah pengikut di laman-laman ini semakin meningkat saban hari.

Teruskan sokongan anda dalam memeriahkan lagi industri sukan tanah air bersama kami di Astro Arena Saluran 801, Nadi Sukan Malaysia. Dapatkan info sukan terkini dan maklumat lanjut di laman facebook (AstroArenaSaluran801), Twitter (@astroarena), Instagram (arena801) dan juga di laman sesawang rasmi, www.arena.my .

##TAMAT##


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *