(SEMASA) Coca-Cola dan Muslim Aid Malaysia bekerjasama untuk kebajikan Ramadan ini

Spread the love

Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid Malaysia) meneruskan program kebajikannya, Fast2Feed Ramadan ini, dengan membekalkan makanan berkhasiat dan minuman penghilang dahaga serta kegembiraan kepada 4,000 orang dari komuniti yang memerlukan, melalui sokongan berterusan dari Coca-Cola Malaysia.

Merupakan antara kegiatan utama Muslim Aid Malaysia yang bergantung kepada sumbangan dermawan dan syarikat korporat, program ini akan menyaksikan anak yatim, kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik, penghuni rumah jagaan warga tua, Orang Asli dan golongan pelarian menerima makanan untuk berbuka, bekalan makanan, duit Raya dan pakaian baharu supaya mereka juga dapat menikmati kegembiraan sempena bulan mulia ini dan Hari Raya yang bakal tiba.

Untuk itu, sepanjang Ramadan ini, pasukan Muslim Aid Malaysia akan berziarah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi melaksanakan program kebajikan untuk mereka yang memerlukan ini. Pertubuhan Bukan Kerajaan ini akan membawa sinar kebahagiaan ini dengan melawat komuniti di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, golongan kanak-kanak akan dihiburkan dengan kegiatan seni dan kerjatangan seperti mewarna dan menganyam ketupat. Turut sama menceriakan suasana adalah kakitangan Coca-Cola dari cawangan seluruh negara yang akan turut berada di lokasi, disamping membantu menghidangkan makanan serta menjayakan aktiviti yang dijalankan.

Melalui hubungan yang dijalin sejak tahun 2010, Coca-Cola terus menyokong aktiviti kebajikan yang dilaksanakan Muslim Aid Malaysia untuk mereka yang kurang bernasib baik dan untuk tahun ini Coca-Cola akan turut membabitkan rakan niaganya seperti Tropicana City Mall, AEON Big dan Texas Chicken bagi menceriakan lagi golongan ini.

Di lokasi kelimanya, pada majlis yang diadakan di Tropicana City Mall, kakitangan Coca-Cola bersama 200 penghuni Rumah Titian Kasih dan Rumah Amal Asnaf Al-Barakah serta masyarakat pelarian Somalia, berbuka puasa dengan hidangan ayam goreng serta minuman menyegarkan. Suasana dimeriahkan dengan aktiviti mewarna dan menganyam ketupat untuk kanak-kanak selain masing-masing dibekalkan dengan beg cenderamata yang ditaja AEON Big.

“Bagi rakyat Malaysia, Ramadan adalah waktunya untuk bersama keluarga, berhimpun sesama anggota masyarakat dan juga bulan untuk kebajikan dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik.  Dengan bekerja bersama, kami dapat memberikan sumbangan kecil melalui program tahunan yang cukup bermakna ini yang dilaksanakan Muslim Aid Malaysia dan untuk tahun ini kami gembira kerana dapat menarik rakan niaga tempatan yang memberikan sumbangan serta sokongan untuk sama-sama terbabit,” kata Pengurus Negara, Malaysia, Singapura dan Brunei The Coca-Cola Company, Ahmed Yehia.

“Sokongan berterusan Coca-Cola membolehkan Muslim Aid Malaysia membantu lebih banyak komuniti kurang bernasib baik tahun demi tahun. Kami sangat mengalu-alukan sumbangan masyarakat awam, sama ada individu atau syarikat korporat, untuk sama-sama memberikan harapan dan bantuan serta menunjukkan keperihatinan kepada mereka yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid Malaysia, Habsah Marjuni.

Orang ramai boleh bersama berkongsi untuk memberikan kegembiraan dengan menyumbang kepada program Fast2Feed. Lawati  http://muslimaid.org.my/fast2feed/ untuk mengetahui bagaimana sumbangan anda dapat memberikan keceriaan pada Ramadan ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *