Abdullah Bin Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Lah Ahmad merupakan lejen yang sentiasa mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air. Keupayaan beliau untuk menyanyikan lagu berentak Soul dan R&B di samping memiliki suara yang lunak dan merdu sentiasa berjaya membuatkan sesiapa yang mendengar akan terpukau. Beliau sebelum ini merupakan salah seorang anggota kumpulan vokal V.E yang sangat popular sekitar awal tahun 2000. Beliau juga pernah menganggotai kumpulan nasyid Al-Mawlid dan aktif menyanyikan lagu berunsur dakwah. Untuk karier solo beliau sebelum ini pernah melahirkan 3 buah album ‘Jalan Untuk Kembali (2014)’, ‘ Sempurna Dan Terbaik (2016)’ dan ‘ Selamat Datang Cinta (2020)‘.
Terbaharu dengan kerjasama Alternate Records & Talents, beliau kembali dengan lagu solo berjudul ‘Bila Hati Rindu’ hasil ciptaan Mas Dewangga, A. Shah, Jova Devito dan Aden King. Masih lagi mengekalkan konsep dan genre R&B, lagu ini membawakan mesej tentang erti cinta yang sangat mendalam.
Berbekalkan suara yang lunak dan merdu ini telah menjadikan lagu ‘Bila Hati Rindu’’ sebagai lagu runut bunyi untuk drama Samarinda: Bila Hati Memilih Dia. Lagu ini sememangnya memberi impak kepada penonton kerana lirik yang disampaikan ini berkait rapat dengan perjalanan cerita yang dilakonkan oleh Aedy Ashraf dan Eyka Farhana dalam mengharungi pelbagai rintangan demi untuk menjaga hubungan cinta suci mereka.
Menurut Lah Ahmad, “Cinta itu sangat luas. Bukan hanya tertumpu cinta kita kepada seseorang yang lain tetapi cinta kepada diri sendiri, kepada makhluk alam yang lain dan terutamanya cinta kepada tuhan. Rindu juga bukan sesuatu yang mudah. Perasaan itu sangat sakit tetapi dalam masa yang sama sangat membahagiakan. Jadi, saya harapkan agar sesiapa yang mendengar lagu ‘Bila Hati Rindu’ ini dapat memahami mesej yang disampaikan dan dapat membuka hati semua untuk terus saling mencintai dan merindui. Diharapkan juga agar semua akan terhibur dan terus menyokong saya untuk lebih berkarya.’
Lagu bagi single Bila Hati Rindu nyanyian Lah Ahmad, edaran Alternate Records kini boleh di didengari di semua saluran digital bermula 25 Mac 2022