Petaling Jaya, 27 Februari 2024 – Orang ramai berpeluang ke lokasi alternatif bagi mendapatkan barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri menerusi Fiesta Raya @ the Curve yang akan berlangsung bermula 12hb Mac hingga 9hb April 2024 di sepanjang bulan Ramadan 1445H ini yang bertempat di the Curve, Mutiara Damansara, Selangor. Fiesta Raya @ the Curve merupakan cetusan dan ilham bersama antara ANS Diversified Sdn Bhd, Team360, dan NiyatEnson Empire Sdn. Bhd.
Jurucakap ANS Diversified Sdn. Bhd., Encik Ahmad Faizal Zulkipli berkata, festival yang julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 50 gerai barangan kelengkapan hari raya dan juadah makanan selain dimeriahkan dengan acara sampingan seperti the Curve Berselawat, Iftar Amal bersama rumahrumah kebajikan dan anak-anak yatim terpilih, serta peluang untuk menyertai cabutan bertuah apabila pengunjung berbelanja minima RM150 dari gerai-gerai jualan Fiesta Raya. Selain itu, pengunjung juga berpeluang membawa pulang Duit Raya sehingga RM1,500 menerusi Pertandingan Selfie dan Menang.
Selaku penganjur bersama NiyatEnson Empire Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Dr. Fitri Haris, beliau berkata, sepanjang fiesta berlangsung, para pengunjung akan dapat merasai pengalaman Ramadan Raya bersama para pempengaruh terkenal tanah air seperti Tajul dan Isteri, Hajar LK, Farah Khira serta barisan artis-artis yang akan menghiburkan dan memberi pengisian jiwa seperti Kumpulan nasyid UNIC, Nizam Laksamana, Rabithah, Ikhwan Fatanna dan ramai lagi.
Terdapat 35 gerai barangan kelengkapan hari raya dan 15 gerai makanan ditawarkan dengan pelbagai hidangan juadah berbuka puasa sepanjang tempoh festival berlangsung selama 29 hari. Pihak penganjur turut berkata, pihaknya berhasrat menjadikan Fiesta Raya @ the Curve tersebut sebagai acara tahunan di pusat membeli-belah the Curve, Mutiara Damansara.
Dengan sokongan daripada the Curve, Hotel Royale Chulan the Curve, Aplikasi Muslim the Noor, Yayasan Digital Malaysia, Khira dan Starvilion, Fiesta Raya @ the Curve akan memberikan satu pengalaman baharu kepada para pengunjung pusat membeli-belah the Curve, peniaga-peniaga dan juga para penduduk di kawasan Mutiara Damansara.
Pihak penganjur turut menyasarkan lebih 500,000 pengunjung ke Fiesta Raya @ the Curve tahun ini.
Bertemakan “”Kongsi Keriangan, Rasai Keunikan!”, Fiesta Raya @ the Curve, Mutiara Damansara adalah salah satu lokasi yang perlu dikunjungi sepanjang Ramadan bersama keluarga bagi menikmati pengalaman berbuka puasa secara santai di pusat beli-belah terkemuka itu, selain pembelian kelengkapan persiapan Hari Raya, menjelang Syawal ini.