(SEMASA) Kempen ‘Acts of Kindness’ Coca-Cola Malaysia Beri Manfaat Kepada Komuniti Kurang Bernasib Baik Sepanjang Ramadan

Spread the love

SUBANG JAYA, 27 MAC 2024 – Coca-Cola Malaysia meneruskan komitmennya untuk mencetuskan impak positif dalam komuniti setempat menerusi kempen tahunan ‘Acts of Kindness’ sepanjang Ramadan yang suci ini. Kempen itu yang dianjurkan dengan kerjasama AEON BiG Malaysia, Yayasan Ikhlas, Lotus’s Malaysia dan K Fry Urban Korean, akan memanfaatkan hampir 4,000 individu daripada komuniti kurang bernasib baik melalui pelbagai program bersasaran sepanjang bulan ini.

Antara kempen ialah sambutan Iftar yang berlangsung hari ini di AEON BiG Subang Jaya, yang telah dihadiri 100 tetamu daripada komuniti yang kurang berkemampuan. Program tersebut turut merangkumi sumbangan RM200 berbentuk kad hadiah AEON BiG kepada setiap peserta, sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma. Sambutan Iftar di Subang Jaya itu adalah sesi ketiga selepas sesi yang serupa di Seberang Perai dan Batu Pahat yang dianjurkan bersama AEON BiG.

Khairul Anwar Ab Gahani, Pengarah Perhubungan Awam, Komunikasi dan Kelestarian, Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapore-Brunei menegaskan komitmen Coca-Cola Malaysia terhadap kempen ‘Acts of Kindness’. “Kami bersyukur atas peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami, AEON BiG Malaysia, Yayasan Ikhlas, Lotus’s Malaysia, dan K Fry Urban Korean untuk menyebarkan keceriaan dan sokongan sepanjang Ramadan yang mulia ini,” demikian kata beliau.

Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, Pengarah Urusan, AEON BiG Malaysia berkata: “AEON BiG Malaysia berbesar hati untuk terlibat dalam kempen ‘Acts of Kindness’ Coca-Cola Malaysia sepanjang Ramadan ini. Perkongsian semangat belas kasihan dan sokongan dengan komuniti kita adalah nilai teras kami, khususnya pada musim penting ini. Setiap sambutan Iftar ini bukan sekadar tentang makanan; ia adalah simbol harapan dan kebersamaan. Kami gembira untuk menyediakan kad hadiah AEON BiG yang membolehkan mereka daripada komuniti kurang bernasib baik meraikan Aidilfitri dengan rasa keberkatan dan kegembiraan.”

Menerusi kerjasama dengan Lotus’s Malaysia dan Yayasan Ikhlas, Coca-Cola Malaysia akan mengadakan satu lagi sambutan Iftar bersama 200 warga kota yang kurang bernasib baik di Chow Kit, Kuala Lumpur pada 30 Mac 2024. Acara itu bukan hanya merangkumi pengagihan bakul makanan serta pakaian Raya daripada pihak-pihak yang mengambil bahagian, tetapi juga termasuk perkhidmatan seperti salon rambut bergerak.

“Kami ingin berterima kasih kepada Coca-Cola Malaysia kerana menjemput kami untuk menyebarkan kebaikan kepada golongan menghadapi cabaran ekonomi yang sering terabai. Kami yakin sekiranya kami menggembleng tenaga, kami mampu melakar lebih lagi pencapaian. Dengan menyatukan kuasa sukarelawan kami serta penyediaan dan pengagihan ‘bakul makanan’ dan pakaian Raya, semoga tindakan kecil kami akan menceriakan kehidupan mereka dan membantu mengurangkan beban mereka untuk musim perayaan bakal dating,” kata Hanim Hamdan, Ketua Komunikasi dan Kelestarian, Lotus’s Malaysia.

Sejak awal Ramadan ini, kempen ‘Acts of Kindness’ Coca-Cola Malaysia telah menyaksikan penganjuran sambutan Iftar di masjid dan rumah kebajikan di seluruh Lembah Klang dan Selatan Malaysia dengan kerjasama jenama-jenama terkemuka seperti Lotus’s Malaysia dan K Fry Urban Korean.

Tambah Khairul lagi: “Program ‘Acts of Kindness’ Coca-Cola Malaysia melangkaui tempoh Ramadan. Ia turut merangkumi pelbagai aktiviti jangkauan komuniti seperti pengagihan bantuan ‘Kembali ke Sekolah’, sokongan makanan, dan operasi bantuan banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan kerjasama komuniti.”


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *