(SEMASA) Sekitar 5,000 Pengunjung Memeriahkan Karnival Kita Peduli mySalam Skim perlindungan kesihatan percuma kerajaan raih perhatian masyarakat dengan pendidikan sambil berhibur

Spread the love

2 November 2024, Selangor- Great Eastern Takaful Berhad (GETB),yang telah dilantik sebagai pengurus skim perlindungan kesihatan percuma kerajaan, mySalam terus giat memperkukuh usaha mempromosikan inisiatif bantuan masyarakat dengan penganjuran Karnival Kita Peduli bertempat di AEON Mall Bukit Raja pada hari ini.

Skim Perlindungan mySalam yang telah dilancarkan bermula daripada tahun 2019 ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan oleh masyarakat dan langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia akan kepentingan perlindungan kesihatan termasuklah pengurusan kewangan telah dirangka, antaranya menerusi penganjuran Karnival Kita Peduli mySalam yang dimeriahkan dengan kehadiran seramai 5,000 pengunjung.

En.Syuhaib Ithnin, Ketua Skim Perlindungan mySalam daripada Great Eastern Takaful menerusi sesi sidang media berkata,”Selaku badan pengurusan skim mySalam yang telah dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2025, kami prihatin akan segmen masyarakat berpendapatan rendah (B40) yang amat memerlukan bantuan perlindungan kesihatan percuma ini,terutamanya apabila didiagnos dengan penyakit kritikal atau dihospitalisasi.

Menerusi semakan serta tuntutan manfaat mySalam, ia dapat membantu meringankan beban kewangan dalam menguruskan kesihatan dan rawatan dengan lebih baik. Sehingga kini, skim mySalam telah menerima hampir 2 juta tuntutan, memanfaatkan lebih 1.35 juta penerima manfaat dengan pembayaran tuntutan lebih RM1.05 bilion.”

“Karnival Kita Peduli ini bukan sahaja bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai mySalam, malah kami turut mengambilpeluang untuk memberi pendedahan tentang literasi kewangan supaya masyarakat lebih cakna akan kepentingan pengurusan kewangan ke arah kestabilan ekonomi diri dan keluarga mereka.Kami tidak hanya bertumpu kepada aspek simpanan dan pelaburan, malah memberi informasi untuk mengelakkan hutang berlebihan dan lebih bersedia untuk menjalani kehidupan sekiranya hilang sumber pendapatan dengan membuat perancangan lebih awal.” tambahnya.

Menampilkan kelainan dalam usahanya untuk mendekati masyarakat, Great Eastern Takaful turut bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN),sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh penggiat seni serta warga kerja industri hiburan. KARYAWAN yang aktif membela nasib anak seni tanahair turut memainkan peranan dalam menyalurkan informasi mengenai mySalam kepada ahlinya.

Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, En. Radhi Khalid berkata, “Karnival Kita Peduli in adalah platform yang sangat efektif untuk memperkenalkan Skim Perlindungan mySalam kepada masyarakat. Ramai yang mungkin belum menyedari kewujudan skim perlindungan percuma khusus untuk segmen masyarakat B40 ini.

Hasil semakan awal menunjukkan lebih separuh ahli KARYAWAN layak menerima manfaat ini, iaitu sekitar 3,000 ahli dan kami akan menghubungi mereka supaya segera membuat tuntutan jika masuk hospital atau jatuh sakit. Saya juga ingin mengajak orang ramai untuk segera menyemak kelayakan anda. Dengan 1001 manfaat yang ditawarkan, program ini amat membantu saat kita ditimpa musibah. Ini adalah satu inisiatif kerajaan yang luar biasa untuk rakyat Malaysia maka jangan lepaskan peluang yang baik ini.”

Selain itu, kemunculan istimewa Helmi Gimmick sebagai hos segmen Kuiz Kewangan serta persembahan oleh Ito & Band, Mel Wings dan MJ Suren turut membangkitkan kemeriahan di samping pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan rezeki, sesi perkongsian bermanfaat, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan menyanyi dan mewarna serta lain-lain lagi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *