Melewati usia dua dekad berada dalam belantika muzik Indonesia, Nidji masih berdiri teguh dan mencuri perhatian peminat generasi baharu dengan cara tersendiri.
Lagu Sumpah Dan Cinta Matiku menjadi antara lagu paling fenomena di aplikasi Tik Tok, sekaligus melambungkan kembali nama Nidji, kugiran yang diperkenalkan pada tahun 2002 silam ke persada seni Nusantara.
Berbekalkan lagu yang diterbitkan sebagai runut bunyi filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di tahun 2013, Nidji menjalani karier muzik dalam radar baharu dan kembali sibuk dengan persembahan pentas terutama menerima undangan yang cukup banyak di Malaysia.
Selepas terlibat dengan pelbagai persembahan dan berkongsi panggung bersama pemuzik lain dalam beberapa acara dan festival, tiba masanya Nidji menghiburkan peminat menerusi persembahan berskala besar atau konsert.
Dan sudah tentunya ini sebuah pembuktian kasih sayang selama 23 tahun keberadaan Nidji. Konsert ini dihadiahkan untuk para peminat sempena ulang tahun ke 23 Nidji dalam industri dan akan muncul dengan album baru pada bulan November kelak.
Ya, impian peminat melihat aksi energatik lima anggota Nidji iaitu Yusuf Ubay (vokal/saxophone), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboards/synthesizers), Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya (gitar), serta Adri Prakarsa (dram) akan termakbul.
Nidji akan muncul dengan konsert solo pertamanya yang diberi nama Nidji 2.3: The New Chapter di Axiata Arena Bukit Jalil pada 2 Februari 2025.
Dibawakan oleh MND Sport & Event selaku penganjur, Nidji 2.3: The New Chapter akan menjadi konsert pembuka tahun 2025 yang berbaloi untuk ditonton bukan hanya kerana terkenal dengan sebuah lagu sahaja tetapi kredibiliti Nidji sebagai kugiran hebat yang telah menawan hati peminat muzik Nusantara selama lebih 25 tahun penubuhannya.
“Selepas melihat Nidji banyak terbabit dalam festival atau berkongsi pentas dengan rakan pemuzik lain di Malaysia, ia mencetuskan idea buat kami di MND Sport & Event menganjurkan konsert solo pertama mereka.
“Hal ini kerana Nidji memiliki banyak lagu-lagu hebat dan popular seperti Hapus Aku, Sang Mantan dan Disco Lazy Time misalnya selain daripada Sumpah Dan Cinta Matiku yang telah membuat band ini kembali hangat.
“Dan kami percaya dengan kekuatan yang ada pada Nidji serta pengaruh muzik bukan hanya pada kelompok peminat awal tahun 2000 tetapi generasi masa kini yang mula mengenal grup ini lewat media sosial seperti TikTok.
“Justeru Nidji 2.3: The New Chapter akan menoreh sejarah tersendiri buat Nidji dan peminat yang telah lama menantikan konsert solo mereka di sini,” ujar Daniel Harith dari MND Sport & Event.
Bagi Nidji sendiri, peluang beraksi secara solo dalam konsert berskala besar di Malaysia akan menjadi momen terbaik sekaligus mengembalikan nostalgia buat mereka.
“Setelah lebih bertahun-tahun Nidji tidak tampil dalam konsert solo, kesempatan yang diberikan MND Event & Sport lewat Nidji 2.3: The New Chapter kami terima dengan tangan terbuka.
“Nidji 2.3: The New Chapter akan menjadi medan peminat lama dan generasi baharu mengenali serta menikmati karya Nidji dengan lebih intim. Juga sempena sambutan ulang tahun Nidji yang ke 23 yang juga akan muncul dengan album baru November ini.
“Bagaimana konsert ini bakal terlaksana, kena hadir tetapi yang pasti kalian akan menyaksikan persembahan penuh energatik yang sudah mengalir dalam darah Nidji kelak,” ujar Nidji.
Tiket-tiket dengan harga bermula CAT 1(RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), MEET & GREET PASS (RM198) boleh dibeli menerusi ILASSOTICKETS. Jualan tiket bermula Jumaat, 8hb November 2024 mulai pukul 3 petang.
Jika anda adalah peminat Nidji, NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER adalah konsert wajib tonton pada awal tahun 2025 nanti. Jumpa anda di Axiata Arena 2 Februari 2025 guys!
INFORMASI
ARTIS: NIDJI
ACARA: NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER
TARIKH: 2 FEBRUARI 2025
LOKASI: AXIATA ARENA, BUKIT JALIL
PENGANJUR: MND SPORT & EVENT
HARGA TIKET: CAT 1(RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), MEET & GREET PASS (RM198)
PEMBELIAN TIKET: ILASSOTICKETS
RAKAN MEDIA: ERA FM, SINAR FM DAN ASTRO GEMPAK