(HIBURAN) ‘Suaro Kito, Jiwo Kito!’ Kelate Ke KL 2026 Bakal Gegarkan Zepp Kuala Lumpur

Spread the love

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2026 – Keunikan muzik dan budaya Pantai Timur bakal mewarnai ibu negara menerusi penganjuran Kelate Ke KL 2026, sebuah konsert mega yang menghimpunkan barisan artis popular berasal dari Kelantan dalam satu persembahan istimewa pada 29 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Mengangkat tema “Suaro Kito, Jiwo Kito 100% Ori Kelate”, konsert ini bukan sekadar medan hiburan, malah menjadi platform untuk meraikan identiti, warisan seni dan budaya negeri Kelantan di hadapan khalayak yang lebih luas. Acara berkenaan dijangka menghimpunkan ribuan peminat muzik Pantai Timur, khususnya komuniti anak Kelantan yang menetap di Lembah Klang serta peminat muzik tradisional dan kontemporari dari seluruh negara.

Barisan artis yang bakal memeriahkan pentas Kelate Ke KL 2026 terdiri daripada nama-nama yang cukup dikenali dalam industri hiburan Pantai Timur seperti Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella. Gabungan artis daripada pelbagai generasi ini dijangka menyajikan persembahan yang mengangkat keunikan loghat, muzik dan budaya Kelantan dalam suasana yang penuh bertenaga.

Menurut Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar, penganjuran konsert ini membawa misi yang lebih besar daripada sekadar persembahan pentas.

“Kelate Ke KL 2026 bukan hanya sebuah konsert hiburan, tetapi satu platform untuk memperkenalkan kekayaan seni dan budaya Kelantan kepada masyarakat yang lebih luas. Kami mahu menghimpunkan anak-anak Kelantan di ibu kota serta semua pencinta muzik Pantai Timur dalam satu acara yang mampu membangkitkan rasa bangga terhadap warisan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak penganjur turut merancang pelbagai pengisian menarik sepanjang konsert termasuk persembahan khas, elemen budaya serta beberapa kejutan eksklusif yang akan diumumkan secara berperingkat menjelang hari penganjuran.

Maklumat mengenai penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat dan hanya boleh didapati menerusi platform rasmi Illaso.com.my. Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan tiket melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Kelate Ke KL 2026 dianjurkan hasil kerjasama Natriya Enterprise, Irama Entertainment dan Ikarl Project, dengan matlamat memperkukuhkan kedudukan muzik Pantai Timur sebagai antara genre yang semakin mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini, pengumuman artis, tarikh jualan tiket serta pelbagai aktiviti berkaitan konsert, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi TikTok (@KelateKL) dan Instagram (@KelateKL).

Kelate Ke KL 2026

  • Tarikh: 29 Ogos 2026
  • Lokasi: Zepp Kuala Lumpur

#KelateKeKL2026 #SuaroKitoJiwoKito #100OriKelate


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *