(HIBURAN) 11 Tahun Tanpa Album Studio, Hazama Hadiahkan Pujangga

Spread the love

Ini bukan mimpi. Ini realiti apabila sang penglipur lara, Hazama Ahmad Azmi siap memasuki gelanggang seni muzik bersama album yang penuh ‘senjata’ ampuh miliknya.

PUJANGGA, begitu judul album kedua yang dihasilkan Hazama. PUJANGGA menjadi cenderahati yang begitu bermakna selepas 11 tahun memasarkan album sulung pada 2013 nan silam.

Bersama PUJANGGA, Hazama memuatkan 10 buah lagu yang telah dikemas dengan berkualiti demi memastikan penantian sedekad peminat berbaloi.

Ia digarap penuh hati-hati dengan HAZAMAWORKS SDN BHD & SILENT KAIJU STUDIO menjadi pengarah projek yang memastikan PUJANGGA yang diterbitkan sendiri oleh Hazama selaku penerbit. Manakala isteri berprolifik tinggi dalam dunia muzik, GENERVIE KAM dan ZIMI menggembleng tenaga dan idea selaku Penolong Penerbit bagi menepati piawaian untuk dipasarkan.

Pembikinan album PUJANGGA merupakan projek independent atas gabungan dana oleh HAZAMAWORKS SDN BHD & SILENT KAIJU STUDIO. Dan mereka berasa sangat bertuah mendapat perhatian dan bantuan dana dari MyCreative Venture Sdn Bhd (MYCV) yang disokong oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD).

Mengulas tentang PUJANGGA, Hazama, 40, memilih judul sedemikian sebagai sebuah gambaran untuk keseluruhan isi album yang melodinya dirakamkan di Royale Chulan, Cherating ini.

“PUJANGGA membawa maksud pengarang sajak, syair dan ahli fikir yang secara keseluruhannya bercerita tentang isi album ini.

“Karya-karya yang dihasilkan punya cerita yang disampaikan lewat untaian lagu yang digarap kemas sepanjang pembikinan PUJANGGA. Saya mahu betul-betul bercerita, bersyair atau berpujangga dengan semua karya saya,” katanya Hazama.

Malah juara Akademi Fantasia musim kesembilan ini mengambil pendekatan berani dengan melahirkan album penuh pada saat pemuzik memilih hadir bersama single demi single.

“Pada saat hampir semua pemuzik atau penyanyi di dunia tidak melahirkan album fizikal apalagi dengan 10 buah lagu terkandung di dalamnya, saya mengambil pendekatan untuk memasarkan PUJANGGA kerana ia akan menjadi sejarah dan sesuatu yang kekal relevan dalam karier saya bukan hanya sebagai penyanyi tetapi pemuzik dan penerbit album,” ujar Hazama.

Hazama juga serius menghasilkan PUJANGGA apabila konsep album turut dirakamkan di Tokyo, Jepun.

Dengan pelaburan-pelaburan yang telah dikeluarkan termasuk rakaman vokal, mixing dan mastering dibikin di KPRO STUDIO, CHERAS PERDANA Hazama tidak menunggu lama untuk menerbit menerbitkan keterujaan peminat menyambut PUJANGGA.

Pemilik segudang lagu hit yang telah dihasilkan sejak 2006 ini sudah mula dikongsikan lewat perkongsian pendek di platform media sosial mengenai kemunculan PUJANGGA.

Beliau juga mengatakan album yang lagu-lagunya dirakamkan di Studio Gua ini tidak akan ‘lari jauh’ daripada identiti Hazama. Antara yang sudah diberikan sedikit perkongsian di laman sosial adalah dua lagu yang diberi judul Di Mimpiku dan Semacam Pandora.

Kini PUJANGGA hanya menunggu masa yang sesuai untuk diperkenalkan sekaligus dipasarkan kepada peminat muzik Nusantara.

“Dan harapan saya agar jeda panjang di antara Penglipurlara dan Pujangga akan dapat mengubat kerinduan peminat terhadap karya dari saya bersama pasukan yang terlibat,” ujar Hazama ringkas.

PUJANGGA telah dipasarkan oleh SONY MUSIC bermula 29 November 2024.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *