(SEMASA) MODA MELANCARKAN SKUTER TERKINI SHIFTER 400X

Spread the love

SHAH ALAM, 26 Julai (Sabtu) – MDua Motor Sdn. Bhd. memperkenalkan MODA Shifter 400X, model terkini dalam rangkaian skuter MODA yang direka khusus untuk dinikmati oleh semua lapisan pengguna. Dilancarkan secara rasmi hari ini, Shifter 400X merupakan penyertaan baharu yang berani dalam segmen pengembaraan lasak.

Pelancaran Shifter 400X membawa bersama identiti dan falsafah terbaharu jenama MODA – “Because I Can” (Kerana Saya Boleh) yang memberikan kuasa kepada penunggang Shifter 400X untuk menentukan arah perjalanan mereka sendiri, memilih laluan mereka sendiri, dan menunggang mengikut gaya hidup mereka yang tersendiri.

Dikuasakan oleh enjin SOHC satu silinder 333cc 4-injap, MODA Shifter 400X menawarkan keseimbangan yang ideal antara prestasi dan kepelbagaian tunggangan buat penunggang yang mahukan pengembaraan serta mendambakan keselesaan harian. Walaupun dilengkapi dengan ciri-ciri canggih, skuter ini mengekalkan keseluruhan berat bersih dengan hanya 208kg serta ketinggian tempat duduk 775mm, menjadikannya antara skuter serba lincah dan responsif di pelbagai permukaan jalan.

Penunggang juga pasti menghargai penghadang angin yang dilengkapi dengan pelarasan dua tahap ketinggian yang boleh dilaras secara manual. Ini membolehkan aliran udara serta aerodinamik boleh diubah mengikut keselesaan ketika menunggang jarak jauh. Sistem ABS (Anti-lock Braking System) dan TCS (Traction Control System) turut dilengkapkan sebagai penawaran standard untuk memastikan keselamatan dan kawalan terbaik dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Shifter 400X turut dilengkapi dengan beberapa teknologi yang mampu meningkatkan lagi pengalaman menunggang. Ia hadir dengan empat lampu utama LED jenis ‘lenticel’ yang menampilkan sistem AFS (Adaptive Frontlighting System) untuk pencahayaan lebih cerah dan dinamik dalam keadaan gelap atau sewaktu mengambil selekoh. Di bahagian belakang pula, lampu brek LED berbentuk V turut disertakan dengan bantuan ESS (Emergency Stop Signal) yang memberi isyarat kecemasan semasa membrek secara mengejut bagi meningkatkan keselamatan buat kenderaan lain yang berada di belakangnya.

Skuter Shifter 400X ini juga turut dilengkapi dengan sistem penghidup tanpa kunci pintar bersama sarung kunci premium yang turut berfungsi sebagai butang kawalan yang boleh membuka ruang simpanan di bawah tempat duduk. Ruang simpanan yang besar di bawah tempat duduk ini juga turut dilengkapi dengan lampu membolehkan penunggang mengakses ruang sambil diterangi cahaya untuk penglihatan yang lebih jelas. Sistem kunci ini turut dilengkapi ciri keselamatan ‘imobilizer’ dan sistem pagaran elektronik yang akan memberi amaran jika skuter digerakkan melebihi jarak yang telah ditetapkan ketika di dalam keadaan pegun.

Paparan instrumen LCD TFT 7-inci berwarna penuh pula turut memaparkan data jelas seperti sensor pemantau tekanan tayar (TPMS). Skrin ini juga boleh melalaras secara automatik kecerahan paparannya mengikut pencahayaan persekitaran, memastikan skrin mampu dilihat secara maksimum pada waktu tunggangan siang dan malam. Skuter ini juga dilengkapi dua port pengecasan – satu USB 12V standard dan satu soket pemetik api 12V. Soket 12V ini disediakan sebagai aksesori yang mampu mengecas peranti ketika dalam perjalanan. Seperti semua model MODA, sambungan telefon pintar menjadikan tunggangan lebih mudah dan efisien melalui capaian pintar peranti Apple dan Android yang tersedia dengan bantuan navigasi dan padanan panggilan ketika menunggang.

Sebagai aksesori tambahan, sistem kamera dwi-lensa hadapan dan belakang boleh diaktifkan untuk merakam perjalanan. Kandungan rakaman tersebut turut boleh dimuat turun melalui aplikasi mudah alih khas. Melengkapkan keselesaan tunggangan Shifter 400X, tayar hadapan 14” dan belakang 13” yang menggunakan corak “turtle back” turut dilengkapkan untuk memberi cengkaman dan kestabilan optimum untuk pelbagai jenis laluan yang bakal ditempuh oleh pengguna skuter ini.

MODA Shifter 400X kini ditawarkan dalam dua warna menarik – Ninja Black dan Ultra White beserta harga MRSP RM23,888.00 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans). Alami gabungan sempurna gaya, prestasi dan teknologi pada skuter ini dengan mengunjungi mana-mana pengedar sah MODA di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari saluran media sosial kami atau kunjungi laman web rasmi MODA di http://www.modamotorcycles.com/models/shifter400x

 Spesifikasi MODA Shifter 400X

Enjin 4-Injap, 1-Silinder, SOHC
Sistem Bahan Api Suntikan Elektronik (EFi)
Pengurusan Enjin Elektronik (ECU)
Penghidup Electric
Pencucuhan Transistor Penuh
Transmisi CVT
Pensijilan Euro 4
Kapasiti Enjin 333cc
Kuasa Maksimum 26.8 Hp @ 7,500 rpm
Tork Maksimum 33.5 Nm @ 5,500 rpm
Sistem Penyejukan Cecair Penyejukan & Radiator
Brek Hadapan ABS/TCS & 276mm Cakera Tunggal (5mm)
Brek Belakang ABS/TCS 240mm Cakera Tunggal (5mm)
Tayar Hadapan 120/70-14
Tayar Belakang 150/70-13
Suspensi Hadapan Teleskopi Hidraulik
Suspensi Belakang Penyerap Hentakan Gas Berkembar
Sistem Kunci dan Ignasi Kunci Pintar (Nirwayar)
Jarak Antara Roda 1548 mm
Jarak Jejakan 165 mm
Berat 208 Kg
Kapasiti Tangki 13 L

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *