SIRI Michelin 24H Eropah 2025 bakal melabuhkan tirai hujung minggu ini (26-28 September) dengan perlumbaan 24 Jam Barcelona di Sepanyol, menyaksikan pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia memburu kedudukan tiga terbaik dalam keseluruhan mata kategori GT AM Class.
Pasukan serba-Malaysia ini menurunkan barisan pemandu terbaik dengan lima pelumba: Douglas Khoo, Dominic Ang, Melvin Moh, Aaron Lim, dan Afiq Yazid yang akan mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, kereta lumba yang sudah terbukti pernah mencipta kemenangan.
Kini, Viper Niza berada di tangga ke-3 keseluruhan GT3-AM bersama Hofor Racing, sementara Continental Racing by Simpson Motorsport di tempat kedua, hanya dibezakan dengan pendahulu kejuaraan, Juta Racing. Hanya lapan mata memisahkan tiga pasukan teratas untuk kejuaraan keseluruhan.
Dengan 20 mata ditawarkan kepada pemenang selepas 12 jam pertama dan 40 mata lagi untuk pemenang di garisan penamat, gelaran GT3-AM akan ditentukan sepenuhnya apabila bendera penamat dikibarkan.
Walaupun terlepas lima pusingan awal musim bermula di 12 Jam Mugello (Mac), Viper Niza pantas mencuri perhatian pada penampilan sulung mereka dengan menamatkan saingan di tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam kelas GT3, dan naib juara GT3 AM pada 12 Jam Spa Francorchamps (Belgium, April).
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka di 12 Jam Misano (Itali, Mei) apabila kerosakan pada minyak enjin memaksa pasukan berundur awal. Pasukan bangkit semula di 12 Jam Paul Ricard (Perancis, Julai) dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan dan ke-3 dalam GT3-AM.
Berbeza dengan empat perlumbaan awal yang masing-masing berlangsung selama 12 jam, aksi finale di Barcelona adalah ujian ketahanan 24 jam penuh di Litar Circuit de Barcelona-Catalunya sepanjang 4.657km yang dibina pada 1991 dengan 14 selekoh. Litar ini terkenal sebagai ‘all-rounder circuit’ yang menjadi tuan rumah perlumbaan besar seperti MotoGP dan Formula 1.
Tambahan Kekuatan – Lim & Afiq
Mengukuhkan barisan pelumba, dua muka baru iaitu Aaron Lim dan Afiq Yazid turut serta. Walaupun baru dalam pasukan, kedua-duanya adalah pelumba GT berpengalaman.
-
Aaron Lim: bermula dari karting sebelum beraksi dalam Formula BMW Asia dan Formula Renault V6 Asia, serta mewakili Malaysia dalam A1 Grand Prix. Karier GT beliau termasuk tempat ke-3 (AM) Lamborghini Super Trofeo Asia Pusingan 5, dua kemenangan dalam Thailand Super Series (GT3 AM) 2025, naib juara Perlumbaan Endurance Shanghai 8 Jam (2024), dan juara Perlumbaan Endurance 25 Jam Thailand (2022). Beliau juga juara dua kali Sepang 1000km Endurance (MTC) pada 2013 & 2015.
-
Afiq Yazid (34 tahun): membawa pengalaman 18 tahun dalam dunia perlumbaan. Beliau merupakan juara empat kali Lamborghini Super Trofeo Asia Series (2015 – Pro, 2016 – Pro-Am, 2017 – Pro, 2019 – Pro-Am). Afiq juga pernah menjuarai perlumbaan di Lamborghini Super Trofeo World Final (2018) dan menamatkan di tempat kedua keseluruhan. Pada 2017, beliau menyertai Asia Le Mans Series (LMP2) dan memenangi perlumbaan di Buriram, Thailand bersama dua pelumba Malaysia lain. Beliau juga pernah bersaing dalam Super Taikyu Endurance Series STX Class, Gulf 12 Hours Endurance (2018), serta Formula BMW dan Formula Masters China.
Sasaran Top 3
“Kami memang memburu kedudukan tiga teratas dalam kejuaraan. Itu sudah tentu menjadi pencapaian luar biasa untuk tahun pertama kami dalam Siri Eropah, lebih manis kerana ia dicapai dengan pasukan dan pemandu serba-Malaysia,” kata Douglas Khoo, Prinsipal Pasukan merangkap pelumba utama.
“Ang, Moh dan saya pernah menyertai 24 Jam Barcelona 2022 dengan jentera Seat Cupra TCR dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 kelas dengan 574 pusingan. Pengalaman itu amat mencabar, malah dua kali ganda lebih sukar berbanding tiga perlumbaan 12 jam yang kami sertai tahun ini. Kelajuan, konsistensi, strategi, mengelak masalah teknikal, dan fokus adalah faktor utama. Kehadiran Lim dan Afiq akan menguatkan pasukan.”
“Dengan sistem mata pada jam ke-12 dan ke-24, amat penting untuk kami mengutip sebanyak mungkin mata bagi mengekalkan tempat ke-3, atau lebih baik, naik lagi dalam kedudukan.”
Viper Niza Racing mendapat tajaan daripada Motul, Endless & Momentum Autoparts; dengan IWC sebagai Jam Rasmi; serta Hotel Jen Orchard Gateway, Singapura sebagai rakan rasmi.

