KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2025 – LEGO Group memperkenalkan Rumah Kaca LEGO Botanikal pertama di Asia di Pavilion Kuala Lumpur, mengajak peminat untuk melangkah ke taman indah di mana kreativiti dan alam semula jadi berpadu dalam satu pengalaman menakjubkan.
Melangkah ke dalam rumah kaca penuh bunga berona romantik terasa seperti mimpi — namun berada di LEGO Botanical Garden, yang diinspirasikan daripada set 21353 LEGO® Ideas The Botanical Garden, adalah pengalaman luar biasa yang belum pernah dirasai.
Berlokasi di tengah-tengah kota, LEGO Group mempersembahkan instalasi interaktif yang imersif, lebih daripada sekadar pameran visual. Dari 15 hingga 26 Oktober, pengunjung boleh menikmati pop-up LEGO Botanikal eksklusif di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur — direka khas menyerupai taman dongeng yang “mekar” setiap hari.
Pop-up ini bertujuan menginspirasi para pengunjung dengan kreativiti dan keanggunan koleksi LEGO® Botanikal, sambil mengundang pencinta bunga meneroka rumah kaca ajaib yang dihiasi bunga-bungaan LEGO yang halus dan penuh seni. Setiap sudut taman ini direka teliti untuk membangkitkan rasa kagum dan menghargai keindahan hidup yang sederhana.
Dengan tema “Awaken Your Joy” (Bangkitkan Keriangan Anda), Rumah Kaca LEGO Botanikal yang terletak di tengah kesibukan kota ini mengajak pengunjung — terutamanya golongan dewasa yang penat dengan rutin harian — untuk berhenti sejenak, menenangkan diri dan menyegarkan deria mereka.
Peminat fotografi dan pengunjung pastinya terpukau dengan keindahan instalasi ini. Bermula dari pintu masuk, pengunjung akan menyeberangi jambatan kecil menuju ke arca mawar merah jambu gergasi, binaan 3D yang sepenuhnya dibuat daripada bongkah LEGO. Seterusnya, mereka boleh menjelajah ke Taman Bonsai LEGO yang menampilkan hasil ciptaan peminat — deretan bonsai mini yang dipamerkan dalam suasana tenang dan artistik.
Pengunjung juga boleh beraksi di singgahsana bunga berhias indah atau merakam detik gembira di sudut foto “JOY”, dikelilingi bunga LEGO yang berwarna-warni. Menyempurnakan pengalaman ini ialah Air Pancut LEGO yang memukau serta Diorama LEGO yang rumit, semuanya dibina penuh kasih oleh komuniti peminat LEGO tempatan.
Bagi yang ingin membawa pulang sedikit keajaiban taman ini, tersedia juga bengkel bunga LEGO interaktif, di mana peserta boleh mereka hadiah tangan sendiri buat insan tersayang.
Fesyen Dihidupkan Semula dengan Koleksi LEGO Botanikal
Sebagai simbol perayaan kreativiti dan ketukangan, LEGO Group bekerjasama dengan Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA) untuk menyatukan dunia fesyen dan permainan LEGO. Para pereka tempatan dijemput mentafsir semula koleksi LEGO Botanikal menjadi rekaan busana eksklusif yang dihiasi perincian bunga LEGO yang halus dan unik.
Antara pereka terkemuka dan bakat baharu yang terlibat termasuk (mengikut abjad):
Arlina Ayou, Ashley @ Kapas, Atelier Che, Atelier Prive Melson by Melvin Ashley Shah, Celest Thoi, Double U by Jimmy Wong, EL by Ellie Lim, Fiziwoo, Jimmy Lim, Melinda Looi, NANALYANA, Tangoo dan Variante by Leslie Variyan.
Selepas berbulan-bulan proses rekaan dan pertukangan teliti, 23 busana bunga LEGO unik telah dihasilkan, menampilkan ekspresi kreatif dan identiti tersendiri setiap pereka. Rekaan ini membuat penampilan sulung di Pertunjukan Fesyen LEGO Botanikal pertama rantau ini pada 16 Oktober 2025, dengan Amber Chia membuka pentas sebagai model utama.
Bersama MODA, LEGO Group memperkenalkan pendekatan baharu dalam fesyen dengan menggabungkan elemen bunga LEGO ke dalam rekaan elegan, daripada aksesori halus hingga rekaan berani yang menyerlahkan keseluruhan gaya.
Selepas pertunjukan, semua busana ini akan dipamerkan kepada orang ramai dari 17 hingga 26 Oktober di Pavilion Kuala Lumpur, bersebelahan dengan instalasi LEGO Botanical Garden untuk tatapan dekat para pengunjung.

