KUALA LUMPUR, 12 November: Penganjuran sesebuah konsert terutamanya membabitkan artis bernama besar dan popular tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan padu daripada barisan penaja.
Ibarat ‘aur dengan tebing’, istilah ini sememangnya sesuai digunakan kerana mereka saling menyokong untuk membangunkan projek yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Ia juga bukanlah perkara asing dalam industri hiburan kerana sudah diamalkan dalam mana-mana penganjuran konsert samada di peringkat antarabangsa dan juga di negara kita sendiri.
Untuk itu Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” mengambil kesempatan meraikan penaja mereka atau kini dikenali sebagai ‘Rakan Strategik’ pada satu majlis khas yang berlangsung di Redbox The Garden, Mid Valley City, hari ini.
Pengarah Projek yang juga Pengarah Konsert, Muhamad Firdouz Abd Razak atau Fidote berkata, populariti dua nama besar ini di Indonesia serta Malaysia tidak perlu dinafikan lagi.
“Baik Radja mahupun Wali Band, kita semua sedia maklum bagaimana showmanship mereka di atas pentas. Kita tengok daripada konsert-konsert mereka yang lepas pun, sangat energetik.
“Kehadiran mereka ke Malaysia pada 10 Januari depan pun memang dinantikan peminat fanatik mereka.
“Bagaimanapun kita jangan terlupa kepentingan Rakan Strategik yang turut memainkan peranan besar dalam penganjuran “Pentas RadjaWali Live in Malaysia”.
“Hari ini, mereka dijemput khas untuk hadir ke Press Conference Pentas RadjaWali & Media Gathering untuk diraikan. “Bermakna sidang media yang diadakan ini berkonsep ‘2 in 1″ iaitu pelancaran konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” dan meraikan Rakan Strategik,” katanya.
Barisan Rakan Strategik yang akan terlibat dalam konsert ini ialah Redbox dan Three hand Production (billboard) sebagai Rakan Strategik utama bersama yang lain iaitu GGR Motor dan Dua Darjat Coffee (minuman rasmi).
Turut serta adalah Roerdum sebagai jam tangan rasmi, Era, Sinar dan THR Gegar (radio rasmi), Gempak (media rasmi) dan Royale Chulan (hotel rasmi).
“Kita memang nak raikan mereka kerana mereka sangat suportif dalam penganjuran konsert ini sebab dalam keadaan industri yang begini sekarang, memang susah nak dapat penaja.
“Tapi pembabitan mereka ini sangat-sangat membantu dari segi penajaan. Malah mereka pun amat mengalu-alukan kalau ada lagi projek anjuran kami selepas ini.
“Pada masa sama, kami juga melancarkan peraduan cabutan bertuah untuk penonton yang hadir menyaksikan konsert ini nanti. Diharap mereka segera mendapatkan tiket untuk menonton,” ujarnya.
Fidote berkata, tiket untuk kerusi berharga RM177 sudah habis dijual dalam tempoh masa seminggu sahaja. Manakala tiket-tiket mahal banyak dibeli oleh syarikat korporat.
“Secara asasnya, jualan tiket sekarang sudah 60 peratus. Itulah yang kita nak berterima kasih kepada semua Rakan Strategik.
“Dalam sidang media ini, kita adakan sesi sidang media secara online dengan Wali Band,” katanya.
Peranan media yang banyak menyokong juga tidak dilupakan apabila mereka turut menganjurkan peraduan cabutan bertuah dan sesi karaoke pada hari ini.
“Sebenarnya ini matlamat utama sidang media ini diadakan. Kalau nak bercakap tentang RadjaWali, rasanya semua dah tahu kehebatan mereka.
“Kita boleh tengok lagu-lagu lama mereka yang berusia 17 tahun pun
dah trending balik dekat TikTok. Siap ada remix dan sebagainya. Jadi kita boleh nampak ada ‘demand’ dia disitu,” katanya.
Terdahulu, penganjur mengumumkan Radja dan Wali, akan bergabung untuk satu persembahan khas bertajuk “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert ini menjanjikan persembahan luar biasa yang sarat dengan emosi, tenaga dan nostalgia. Antara lagu popular yang bakal mengisi malam istimewa itu termasuk “Jujur”, “Bulan”, dan “Cinderella” oleh Radja, selain “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)” daripada Wali.
Ian Kasela, meluahkan keterujaan untuk kembali membuat persembahan di Malaysia selepas sekian lama.
“Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula,” katanya penuh semangat.
Radja dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram), kumpulan Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001.
Sementara itu, kumpulan Wali yang dianggotai oleh Faank, Apoy, Ovie dan Tommy turut menyifatkan Malaysia sebagai destinasi istimewa buat mereka.
“Syukur… Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami merindui sambutan mesra peminat serta juadah enak di sini. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang berbeza,” kata mereka.
Tiket konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” ditawarkan dalam beberapa kategori tiket bermula dari RM177 hingga RM977. Ia boleh didapati melalui Fantopia.io
HARGA TIKET:
VIP : RM977
RW 2: RM477
RW 3 : RM277
RW 4 : RM177
RW 5 & 6 : RM477
RW 7 : RM377

