(SEMASA) Peugeot Motocycles dan Aveta International Umum Kerjasama Strategik Membawa Mobiliti Perancis ke Pasaran Tempatan

Spread the love

Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Disember 2025: Aveta International Sdn Bhd secara rasmi mengumumkan kerjasama strategik dengan Peugeot Motocycles, jenama motosikal Eropah yang diiktiraf dengan legasi bertaraf dunia. Langkah ini diakui bakal memperkukuh hala tuju kedua-dua entiti dalam memacu era mobiliti premium baharu untuk segmen dua roda di Malaysia, sekali gus menandakan kemasukan rasmi Peugeot Motocycles ke negara ini.


Legasi Kejuruteraan Perancis, Falsafah ‘Allure’ dan Jangkauan Global
Ditubuhkan pada tahun 1898, Peugeot Motocycles membawa legasi lebih satu abad kejuruteraan, reka bentuk dan inovasi dari Perancis. Berteraskan falsafah ‘Allure’, jenama ini memainkan peranan penting dalam mencorak mobiliti urban masa kini dengan rangkaian model yang menggabungkan praktikaliti dan reka bentuk elegan. ‘Allure’ memberi fokus kepada gaya bermakna, inovasi berjiwa dan ekosistem mobiliti berlandaskan gaya hidup moden.

Kini, Peugeot Motocycles telah membuktikan kehadiran globalnya melalui lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia, termasuk 250 pengedar di Perancis. Jenama ini menawarkan rangkaian model yang komprehensif, digerakkan oleh tiga hab pengeluaran global. Antaranya model premium Peugeot Metropolis, XP400 dan Pulsion yang dihasilkan di kilang bertaraf dunia di Perancis, serta skuter moden seperti Django Classic dan Speedfight yang dihasilkan di China dan Vietnam. Dengan 67 peratus jualan daripada pasaran antarabangsa, Peugeot Motocycles terus memenuhi keperluan penunggang yang mengutamakan prestasi, keselesaan dan reka bentuk bercirikan Eropah.

Kredibiliti dan Daya Saing Aveta International dalam Pasaran
Aveta merupakan pengeluar motosikal tempatan berdaya maju dengan kehadiran kukuh dalam pasaran. Melalui Aveta International, kumpulan ini kini menerajui jenama Peugeot Motocycles di Malaysia. Aveta International memiliki kepakaran mendalam terhadap pasaran tempatan, rekod prestasi yang terbukti dalam pelancaran model baharu, keupayaan membina imej jenama motosikal, serta ekosistem selepas jualan yang komprehensif di seluruh negara.

Peugeot Motocycles memilih Aveta untuk mengembangkan kehadirannya di Malaysia atas beberapa faktor utama. Antaranya, rangkaian pengedar dan servis yang meluas, kepakaran teknikal, serta program perkhidmatan pelanggan seperti ‘Aveta Care on Wheels’. Kredibiliti Aveta dalam mengendalikan operasi jualan turut diperakui selepas meraih pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records baru-baru ini. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan kesiapsiagaan dalam menyokong jenama antarabangsa, malah menekankan komitmen Aveta terhadap kepuasan penunggang. Penambahan Peugeot Motocycles dijangka bakal melonjakkan kedudukan Aveta ke peringkat yang lebih tinggi dalam industri automotif negara.

Mengapa Peugeot Motocycles Memilih Aveta International
Judah Immanuel Sangaran, Pengarah APAC Peugeot Motocycles, berkata, “Asia merupakan rantau yang signifikan dalam strategi pengembangan jangka panjang kami, dan Malaysia memainkan peranan utama dalam pelan tersebut. Kami mencari rakan kerjasama yang mempunyai nilai profesionalisme, tadbir urus yang cekap, pemahaman pasaran yang mendalam serta keupayaan pelaksanaan yang terbukti dalam industri. Aveta International memenuhi kesemua ciri-ciri tersebut menerusi tenaga kerja yang mahir dan keupayaan pemasaran yang holistik untuk Peugeot Motocycles. Kami yakin pengguna di Malaysia bakal menikmati pengalaman pemilikan yang premium dan autentik merangkumi jualan, servis serta khidmat pelanggan yang mematuhi piawaian global jenama kami.”

Memacu Evolusi Mobiliti Baharu di Malaysia
Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International, berkata: “Kami berbesar hati untuk menerajui Peugeot Motocycles di Malaysia. Jenama ini menepati portfolio kami yang semakin berkembang serta mampu menyerlahkan komitmen Aveta dalam menawarkan pengalaman pemilikan bertaraf dunia. Fokus kami jelas bagi memastikan setiap penunggang dapat menikmati reka bentuk dan kejuruteraan premium dari Perancis, disokong oleh penubuhan stor flagship Peugeot Motocycles di lokasi terpilih. Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Aveta dalam pasaran, malah berpotensi tinggi meningkatkan nilai mobiliti urban dalam kalangan penunggang di Malaysia.”

Pengalaman Pemilikan Premium dan Mudah untuk Pasaran Malaysia
Peugeot Motocycles hadir dengan satu matlamat jelas untuk membawa reka bentuk dan kejuruteraan Perancis yang premium kepada penunggang tempatan. Dengan falsafah ‘Allure’ sebagai tunjang utama, jenama ini memberi tumpuan kepada pengalaman tunggangan yang berkualiti merangkumi keselesaan, keselamatan dan gaya moden. Pelanggan juga dapat menikmati perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif melalui rangkaian servis Aveta International yang tersedia di seluruh negara.

Kemasukan Peugeot Motocycles ke pasaran Malaysia bakal memperkenalkan pelbagai pilihan premium dan mampu milik kepada pengguna yang mencari gaya praktikal harian dengan piawaian yang konsisten di peringkat global. Di Malaysia, pengalaman ini akan diperkemas dan disesuaikan dengan keperluan tempatan melalui rangkaian servis Aveta International bagi memenuhi jangkaan dan keperluan penunggang secara efisien.

Suku Pertama 2026: Pelancaran dan Prospek Hala Tuju
Kerjasama strategik ini menandakan satu langkah progresif dalam membentuk landskap baharu motosikal premium di Malaysia. Peugeot Motocycles dan Aveta International kini giat membuat persiapan untuk pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun 2026. Rakan-rakan media dan pelanggan yang berminat boleh menantikan pengumuman rasmi serta pratonton model terpilih menjelang pelancaran tersebut.

Kedua-dua syarikat kekal komited terhadap inovasi, pengalaman pelanggan dan pertumbuhan jenama jangka panjang bagi memperkukuh kehadiran Peugeot Motocycles di Malaysia. Usaha bersama ini turut membuka hala tuju baharu dalam pengalaman tunggangan untuk masa hadapan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *