Dunia media sosial dengan kuasa tular telah memperkenalkan Muhammad Hadzri Hussin, 40, kepada khalayak ramai melalui vokal hebat yang dimilikinya. Hadzri atau nama pentasnya Ary Hussin sudah membuktikan dirinya punya pengikut tersendiri di platform media sosialnya.
Namun adakah Ary Hussin sudah bersedia memasuki ‘medan tempur’ sebenar dunia hiburan sebagai penyanyi atau pendatang baru. Ary Hussin tidak lagi perlu mendendangkan lagu milik penyanyi lain di gerai burger seperti sebelum ini sebaliknya dia boleh memilih di pentas besar atau kecil dalam majlis hiburan mana yang ingin disertai untuk mendendangkan lagu sendiri!
Lebih bertuah, bakat nyanyian Ary Hussin diperkukuh dengan arkitek muzik terkenal tanah air, Edrie Hashim yang menjadi tulang belakang penghasilan single perdana yang diberi judul Luka Terpaling Dalam.
Dan sempena pelancaran single perdananya ini, ini merupakan kali pertama Muzik Video dipertontonkan dan dendangan perdana oleh Ary secara eksklusif diadakan di hadapan para media. Malah Ary juga pertama kali melihat hasil muzik video rasmi yang diarahkan oleh En.Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment.
Menerima sentuhan sepenuhnya daripada Edrie ; selaku komposer dan penulis lirik, Luka Terpaling Dalam menampilkan kekuatan vokal Ary Hussin dalam balutan melodi pop balada yang sangat ‘pekat’ Malaysia-nya.
“Luka Terpaling Dalam saya hasilkan mengikut ciri Khas Ary Hussin iaitu kekuatan vokalnya yang cukup kaya dengan bunyian Melayu. Ada sedikit rasa ‘klasik’ tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini.
“Single ini berkisah tentang emosi dan patah hati menerusi liriknya tetapi ia menjadi sinematik dengan susunan permainan strings dan piano yang menjadikan Luka Terpaling Dalam bersifat kontemporari,” ujar Edrie Hashim.
Sementara buat Ary Hussin, memiliki single sendiri dan dihasilkan oleh Edrie Hashim, salah seorang legenda muzik merupakan sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Sementelah, tawaran menjadi seorang penyanyi profesional hadir pada usia yang tidak lagi muda.
“Memiliki single sendiri berjudul Luka Terpaling Dalam adalah lembaran sejarah yang tidak pernah saya mimpi akan terjadi dalam hidup. “Apa lagi ia dihasilkan oleh legenda yang sangat saya segani, Edrie Hashim. Saya hilang kata-kata namun saya bersyukur kerana bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita.
“Besar harapan saya, Luka Terpaling Dalam mendapat tempat di hati peminat kerana ia merupakan sebuah single berkualiti, bukan hanya kerana saya sebagai penyanyi tetapi keseluruhan karya ini dikerjakan dengan sangat cermat demi memenuhi kehendak pasaran pada masa kini,” ujar Ary Hussin.
Diedarkan oleh A7 Empire (A7E), Luka Terpaling Dalam sudah boleh didengarkan di pelbagai stesen radio dan platform media sosial. Baik Edrie Hashim selaku pencipta mahupun Ary Hussin sebagai penyanyi yang perdana kali memperkenalkan karyanya iaitu Luka Terpaling Dalam, kedua-duanya memasang harapan seiring.
Mereka mahu Luka Terpaling Dalam dinikmati dengan baik oleh pendengar dan meraikan kepelbagaian karya Malaysia demi pertumbuhan sihat muzik tempatan. “Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam diterima dan diraikan pendengar sebagai sebuah karya baharu yang hadir memeriahkan industri muzik tempatan. “Tanpa penghasilan karya-karya baharu meski dengan genre sama, industri kita tidak dapat berkembang. Jadi selamat mendengar Luka Terpaling Dalam,” ujar Edrie Hashim dan Ary Hussin.

