Kuala Lumpur – Filem Mak #SalamDariSyurga tampil sebagai sebuah karya drama jenayah beremosi tinggi yang mengangkat kisah pengorbanan, keadilan dan kasih seorang ibu di sebalik realiti gelap pemerdagangan manusia. Berlatarbelakangkan sebuah kampung di negeri Kedah, filem ini menyelami konflik peribadi dan sosial yang jarang dipaparkan dari sudut pandang keluarga dan komuniti luar bandar.
Filem ini mengisahkan Aman, seorang pemuda kampung yang hidup sederhana bersama ibunya, Nor, serta adik angkatnya, Daniel. Tekanan hidup dan konflik perniagaan mendorong Aman terperangkap dalam sebuah sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy, seorang lelaki licik yang menyembunyikan kegiatan jenayahnya di sebalik perniagaan ikan secara borong. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Aman menyedari salah seorang mangsa sindiket tersebut ialah Fara, remaja yatim piatu yang juga berasal dari kampungnya.
Tidak seperti filem jenayah konvensional yang menekankan aksi dan penyiasatan, Mak #SalamDariSyurga memilih pendekatan berlapik dengan menyorot kesan jenayah terhadap individu tidak bersalah khususnya keluarga dan masyarakat kecil. Apabila serbuan polis dilakukan di kawasan hutan berhampiran sempadan negara, Aman menjadi buruan pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, Edy terus bebas bergerak tanpa disyaki, memperlihatkan realiti ketidakadilan yang sering memihak kepada pihak berkepentingan.
Tekanan masyarakat kampung, pandangan serong serta penghukuman sosial menjadikan penderitaan Aman dan keluarganya semakin berat. Watak Nor (Mak) digambarkan sebagai simbol ketabahan seorang ibu yang memikul aib, ketakutan dan kehilangan dalam diam. Doanya yang tidak pernah putus menjadi nadi emosi filem ini, memperlihatkan pertentangan antara kasih seorang ibu dan kejamnya persepsi masyarakat.
Tragedi memuncak apabila Daniel yang cuba menyiasat kebenaran akhirnya dibunuh oleh Edy. Kehilangan insan tersayang, ditambah pula dengan ancaman terhadap ibunya, memaksa Aman berhadapan dengan Edy demi melindungi keluarga dan menuntut keadilan. Konflik ini membawa kepada penamat tragis apabila Edy dibunuh, disaksikan sendiri oleh Nor, sebelum Aman akhirnya ditangkap oleh pihak polis.
Walaupun berdepan hukuman berat, Aman menerima takdirnya dengan tenang, kerana baginya, tiada lagi yang lebih penting selain memastikan keselamatan dan maruah ibunya terpelihara. Filem ini menutup tirai dengan persoalan besar tentang keadilan, pengorbanan dan harga sebenar sebuah kebenaran.
Diarahkan oleh Hj. Hafiz Nafiah, dengan skrip hasil nukilan Azal Ezreen bersama Panel Skrip AA Success Pictures Sdn Bhd, Mak #SalamDariSyurga diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik. Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Datuk Fauziah Nawi sebagai Nor (Mak), Azman Ahmad sebagai Aman, Megat Sharizal sebagai Edy dan Izzy Reef sebagai Daniel.
Mak #SalamDariSyurga bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah refleksi tentang doa seorang ibu yang menjadi cahaya terakhir apabila segalanya runtuh, serta peringatan bahawa kesunyian di sebalik kekecohan sering menyimpan luka yang paling dalam.
Filem Mak #SalamDariSyurga akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2025.

