(SEMASA) JENTERA CRUISER KLASIK MODEN, CYCLONE RA600 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA MENAMPILKAN KUASA, GAYA DAN KESELESAAN.

Spread the love

KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI 2026 – Cyclone Malaysia dengan bangganya memperkenalkan model terbaharu dalam rangkaian jenama premium mereka, Cyclone RA600 sebuah jentera bergaya moden cruiser yang menggabungkan karakter klasik dengan teknologi moden. Pelancaran rasmi ini diadakan bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel.

Ditawarkan pada harga bermula RM25,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) Cyclone RA600 boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dengan dua pilihan warna Strong Grey dan Prestige Black model ini direka untuk memikat hati para penunggang dengan gaya tersendiri sambil memastikan pengalaman tunggangan yang selamat dan penuh keyakinan.

Dikuasakan oleh enjin 550.4 cc, 2-silinder, 4-lejang, 8-injap DOHC dengan sistem penyejukan cecair, Cyclone RA600 menghasilkan kuasa maksimum 43.5 kW pada 8,500 rpm dan tork puncak 55 N.m pada 6,500 rpm, memberikan tindak balas prestasi yang bertenaga serta pecutan yang lancar. Dipadukan dengan sistem EFI Bosch, pencucuhan ECU, transmisi 6-kelajuan, pacuan akhir tali sawat dan penghidup elektrik, Cyclone RA600 menawarkan tunggangan yang halus dan selesa.Direka untuk keselesaan dan kebolehpercayaan, ia merupakan pilihan ideal untuk perjalanan harian. Dari segi struktur, Cyclone RA600 dilengkapi dengan suspensi depan jenis fork teleskopik dan penyerap hentak belakang monoshock, bagi memastikan kestabilan dan keselesaan yang optimum. Sistem brek cakera tunggal di hadapan dan belakang disokong ABS dua saluran bagi menjadi kawalan lebih selamat.

Selain rekaan badan yang bergaya, Cyclone RA600 turut menampilkan pelbagai ciri moden termasuk paparan meter TFT, lampu LED penuh dengan DRL, TCS yang boleh dihidupkan atau dimatikan, TPMS serta port pengecasan USB Type-A bagi kemudahan penunggang ketika di jalan raya. Tambahan pula, sistem suis keselamatan tongkat sisi, penyandar tempat duduk belakang serta ekzos berkembar kiri dan kanan yang akan menyerlahkan lagi identiti cruisernya yang moden dan berkuasa.

Bagi pengalaman tunggangan yang lebih pintar, Cyclone RA600 dilengkapi dengan sambungan Bluetooth yang turut menyokong aplikasi pihak ketiga Carbit Ride, membolehkan navigasi, paparan skrin dan notifikasi panggilan terus pada meter. Ia juga dilengkapi dengan sistem kunci mekanikal untuk akses yang selamat dan serasi dengan peranti Android dan iPhone.

Cyclone RA600 menggunakan tayar CST bersaiz 130/90-16 M/C di hadapan dan 150/80-16 M/C di belakang, memastikan cengkaman optimum di pelbagai permukaan jalan. Dimensi keseluruhannya iaitu 2,190 mm panjang, 855 mm lebar dan 1,115 mm tinggi memberikan keseimbangan proporsional serta reka bentuk yang kukuh. Dengan jarak roda 1,510 mm, ketinggian tempat duduk 725 mm, jarak ke tanah 150 mm dan berat 198 kg, Cyclone RA600 menawarkan keselesaan tunggangan maksimum.

Cruiser moden ini dikuasakan dengan piston dan lejang 72 mm x 67.6 mm serta nisbah mampatan 11:1 yang akan memberikan keseimbangan optimum antara prestasi, kecekapan dan keselesaan untuk tunggangan harian. Cyclone RA600 ini turut dilengkapi tangki bahan api sebanyak 14.5 liter dan reka bentuk ergonomik dual seat, menawarkan keselesaan optimum kepada penunggang dan penumpang.

Setiap pembelian Cyclone RA600 disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had, serta akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

TENTANG CYCLONE

Cyclone ialah jenama motosikal premium yang dibangunkan oleh Zongshen Industrial Group, sebuah pengeluar motosikal dan enjin terkemuka dari Chongqing, China. Zongshen ditubuhkan pada tahun 1992 dan terkenal dengan pengeluaran motosikal, enjin, peralatan kuasa dan komponen automotifndengan kapasiti pengeluaran tahunan melebihi satu juta unit.

Sebagai sub-jenama premium, Cyclone menumpukan kepada motosikal bersaiz sederhana hingga besar, termasuk model lasak, cruiser dan jalan raya dengan penekanan kepada prestasi tinggi, reka bentuk menarik dan kebolehpercayaan. Jenama ini direka untuk memenuhi citarasa penggemar motosikal moden yang menghargai gabungan gaya, keselesaan dan teknologi terkini.

Cyclone memasuki pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia melalui pengedar rasmi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. di Malaysia. Jenama ini diperkenalkan secara rasmi semasa Malaysia Autoshow 2024, dengan model RX600, RT2E, dan MK125 Classic dipamerkan kepada penunggang tempatan. Sejak itu, Cyclone terus berkembang di pasaran tempatan, menawarkan motosikal yang bergaya, berprestasi tinggi, dan sesuai dengan gaya hidup penunggang moden.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *