(SUKAN) AUTOBACS SUPER GT 2026 Kembali – Tiket Pusingan 3 di Malaysia Mula Dijual Hari Ini

Spread the love

Tiket untuk menyaksikan pusingan Malaysia bagi siri 2026 AUTOBACS SUPER GT di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 19 hingga 21 Jun kini mula dijual hari ini, dengan tawaran awal (Early Bird) membolehkan peminat menikmati aksi perlumbaan GT terkemuka Jepun pada harga serendah RM80.

Promosi Early Bird menawarkan tiket Grandstand K1 (Selekoh 1) pada harga RM80 (harga biasa RM100) dan tiket Grandstand Utama pada harga RM200 (harga biasa RM250).

Peminat juga boleh menikmati hujung minggu perlumbaan dengan lebih selesa di GT Club Suite bermula RM450 seorang (suite berkongsi) sehingga RM30,000 bagi satu suite eksklusif (memuatkan sehingga 70 orang). Selain itu, pakej premium turut ditawarkan seperti GT Paddock Club (RM2,000), Experience Package (RM5,000), Dream Package untuk 2 orang (RM15,000) dan VVIP Package untuk 2 orang (RM50,000).

Pemegang pas GT Club Suite dan GT Suite layak menyertai sesi pitlane walk, manakala ahli GT Paddock Club menikmati akses ke pitlane walk dan grid walk. Pemegang Experience Package pula akan menerima tambahan pengalaman menaiki bas Circuit Safari di atas litar bersama jentera GT.

Bagi pengalaman hujung minggu perlumbaan yang paling eksklusif, pemegang Dream Package dan VVIP Package akan menikmati semua keistimewaan tersebut termasuk taxi ride di litar serta lawatan eksklusif ke pit.

Mengumumkan pakej-pakej menarik ini, HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan penganjur pusingan Malaysia SUPER GT, bersama Nihon Matsuri sebagai penganjur bersama SUPER GT Malaysia Festival, menjanjikan pengalaman yang lebih mendebarkan dan tidak dapat dilupakan. Tiket perlumbaan bukan sekadar akses ke litar, tetapi juga ke sebuah festival berskala besar yang menampilkan pelbagai tarikan termasuk pesta makanan dan kebudayaan Jepun.

Menurut Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan, selepas 12 tahun menyepi, AUTOBACS SUPER GT kembali ke Malaysia tahun lalu dengan kehadiran 75,977 peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan yang menampilkan aksi bertaraf dunia di litar serta pelbagai aktiviti menarik di luar litar. Sasaran tahun ini adalah untuk menjadikan acara lebih hebat dan mengujakan.

Antara aktiviti yang telah disahkan ialah larian malam khas, ALEPS Ekiden, yang diinspirasikan daripada konsep “Ekiden” Jepun (larian jarak jauh secara berganti-ganti).

Dianjurkan oleh Alumni Look East Policy Society (ALEPS), ALEPS Ekiden mencontohi format tradisional larian berganti Jepun. ALEPS ditubuhkan pada tahun 1988 dan terdiri daripada graduan Malaysia dari universiti dan kolej di Jepun. Persatuan ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta mempromosikan etika kerja dan budaya “Look East”.

Larian yang akan berlangsung pada malam 20 Jun sempena hujung minggu perlumbaan itu menyaksikan pasukan terdiri daripada empat pelari, dengan setiap pelari menamatkan jarak 5.543km di Litar Antarabangsa Petronas Sepang secara berganti-ganti. Pelari akan membawa “Tasuki” (selempang larian berganti) di atas permukaan litar bertaraf dunia dalam suasana malam yang lebih nyaman, dikelilingi kemeriahan lampu neon serta semangat festival budaya Jepun di SUPER GT Malaysia Festival.

Tarikan di litar sepanjang hujung minggu perlumbaan turut merangkumi siri Toyota GAZOO Racing Vios Challenge perlumbaan satu model utama yang menampilkan pemandu profesional, amatur dan bakat muda menggunakan jentera Toyota Vios yang disediakan secara seragam serta penganjuran sulung ASEAN GR86 Cup (diperluaskan daripada GR86 Cup Malaysia) yang kini melibatkan peserta serantau dan antarabangsa.

SUPER GT Malaysia Festival 2026 turut diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, serta mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Tiket untuk pusingan Malaysia bagi siri 2026 AUTOBACS SUPER GT boleh dibeli melalui dua rakan tiket rasmi, iaitu TixShack di www.supergtmalaysia.com atau Excitix di www.excitix.com.my/event/151/SUPER-GT-MALAYSIA-FESTIVAL-2026.

Untuk maklumat lanjut, layari www.supergtmalaysia.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *