KOTA KINABALU, SABAH – Peminat muzik Indonesia di Sabah bakal disajikan dengan 6543sebuah malam penuh emosi dan keindahan muzik apabila dua nama besar, Nadin Amizah dan Feby Putri, bakal tampil sepentas menerusi Melodi Alam 2.0 pada 23 Mei 2026, jam 8.00 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
Dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment, acara ini dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti di Kota Kinabalu tahun ini. Lebih menarik, Melodi Alam 2.0 menandakan kali pertama Nadin Amizah dan Feby Putri membuat persembahan sepentas di Kota Kinabalu, sekali gus menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa buat para peminat mereka di Sabah.
Sembang Kari Entertainment ialah syarikat penganjuran acara yang diterajui oleh Pengarah Urusannya, Amar Syah, dengan fokus terhadap persembahan hiburan langsung yang berkualiti, artistik dan dekat dengan jiwa penonton. Menerusi pendekatan kreatif serta pemilihan konsep yang tersendiri, syarikat ini komited untuk membawakan pengalaman hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kesan kepada audiens.
Menurut Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Amar Syah, penganjuran Melodi Alam 2.0 dibuat bagi membawa pengalaman muzik yang lebih dekat dengan peminat di Borneo, khususnya di Kota Kinabalu.
“Melodi Alam 2.0 kami hadirkan sebagai sebuah pengalaman muzik yang lebih peribadi, dekat dan bermakna buat penonton. Kami percaya gabungan Nadin Amizah dan Feby Putri di atas satu pentas adalah sesuatu yang sangat istimewa. Lebih penting, ini merupakan kali pertama kedua-dua artis ini tampil sepentas di Kota Kinabalu, dan kami yakin ia akan menjadi malam yang sukar dilupakan oleh peminat,” kata Amar Syah.
Kedua-dua penyanyi dari Indonesia ini dikenali menerusi karya yang puitis, penuh emosi dan dekat dengan jiwa pendengar. Gabungan dua figura dengan identiti muzik tersendiri di atas satu pentas pastinya bakal menghadirkan sebuah malam yang intim, menyentuh hati dan sukar dilupakan.
Nadin Amizah pula mengakui teruja untuk akhirnya bertemu peminat di Kota Kinabalu dalam suasana persembahan yang istimewa.
“Saya sangat senang akhirnya dapat hadir ke Kota Kinabalu dan berkongsi lagu-lagu saya secara langsung dengan peminat di sana. Setiap kota punya rasa yang berbeza, dan saya percaya malam di Sabah nanti akan menjadi salah satu pengalaman yang indah. Lebih istimewa kerana saya juga dapat tampil sepentas bersama Feby Putri,” katanya.
Sementara itu, Feby Putri turut menyifatkan persembahan ini sebagai satu momen yang dinanti-nantikan.
“Saya gembira kerana akhirnya dapat membawa muzik saya ke Kota Kinabalu. Saya tahu ramai yang sudah lama menantikan persembahan ini, dan saya harap Melodi Alam 2.0 akan menjadi malam yang penuh rasa, hangat dan dekat di hati semua yang hadir. Tampil bersama Nadin Amizah di pentas yang sama tentunya menjadikan acara ini lebih bermakna,” ujar Feby.
Dengan konsep yang menonjolkan keindahan muzik dan emosi, Melodi Alam 2.0 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi sebuah acara yang meraikan hubungan antara karya, penyanyi dan penonton. Ia juga dilihat mampu mengukuhkan lagi tarikan acara hiburan antarabangsa di Kota Kinabalu.
Tiket bagi Melodi Alam 2.0 dijual pada harga RM229 bagi kategori Kembali Sorai (Free Standing) dan boleh didapati menerusi laman web rasmi myticketempire.com bermula 13 Mac 2026 jam 12 tengah hari.
