SHAH ALAM, 11 Mac 2026 – PUSPAKOM Sdn Bhd (“PUSPAKOM”) hari ini menganjurkan majlis iftar bertemakan “Menyingkap Nilai, Menyemai Integriti” yang dihadiri oleh wakil media serta kanak-kanak dari Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa. Majlis ini turut menampilkan tayangan pra-tonton eksklusif filem jenama Hari Raya Aidilfitri PUSPAKOM, Inspection Hati Aidil: Lumpur, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pemeriksaan kenderaan.
Filem tersebut mengisahkan perjalanan Faizal, seorang bekas pemeriksa kenderaan yang keputusan etika pada masa lalu akhirnya membawa kesan besar terhadap kehidupan insan-insan tersayang di sekelilingnya.
Projek ini juga merupakan antara karya terakhir Allahyarham Mohd Ezendy Mohd Aziz, yang lebih dikenali sebagai “Along”, seorang bakat kreatif Malaysia yang dihormati dan terlibat dalam menghidupkan penceritaan ini.
Menyusuli siri web Inspection Hati Aidil yang diperkenalkan pada tahun 2025, filem ini mengetengahkan tanggungjawab moral yang dipikul oleh pemeriksa kenderaan serta kesan sebenar integriti terhadap keselamatan jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata pendekatan penceritaan merupakan medium yang amat berkesan dalam menyampaikan nilai dan tanggungjawab di sebalik peranan pemeriksaan kenderaan.
“Cerita seperti Inspection Hati Aidil: Lumpur menggambarkan realiti yang dihadapi oleh pemeriksa kenderaan kami, termasuk pilihan etika yang perlu dibuat serta tanggungjawab berat dalam memastikan kenderaan yang berada di jalan raya berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut beliau, tajuk “Lumpur” melambangkan noda rasuah yang boleh memberi kesan buruk kepada individu, institusi serta masyarakat secara keseluruhannya.
“Ini adalah punca utama, PUSPAKOM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah. Setiap pemeriksaan yang dilaksanakan secara telus dan berintegriti menyumbang secara langsung kepada keselamatan jalan raya yang lebih terjamin untuk semua rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Tayangan pra-tonton kepada media ini akan disusuli dengan pelancaran umumnya menerusi platform digital PUSPAKOM bermula 13 Mac 2026, bertepatan dengan musim perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan.
Dialog Media dan Perspektif Industri
Majlis tersebut turut menampilkan sesi perbincangan panel dan dialog bersama media yang menampilkan pelakon Inspection Hati Aidil: Lumpur, iaitu Zahiril Adzim dan Joyce Harn, bersama Pengarah Eksekutif filem, Fairil Khalil.
Turut menyertai sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, Ketua Integriti dan Pengurusan Pematuhan, Azman Ismail, yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan integriti, tanggungjawab etika serta peranan penceritaan dalam meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya.
Filem jenama perayaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif komunikasi #MacamBaharu PUSPAKOM yang menggunakan pendekatan penceritaan yang dekat dengan masyarakat bagi mengukuhkan komitmen organisasi terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pemeriksaan kenderaan.
Berkongsi Semangat Ramadhan Bersama Kakitangan dan Masyarakat
Bersempena bulan Ramadhan, PUSPAKOM turut menganjurkan pengagihan bubur lambuk di cawangan-cawangan di kawasan Lembah Klang sebagai hidangan tradisi Ramadhan untuk dikongsi bersama kakitangan dan pelanggan.
Sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri, PUSPAKOM juga membawa sekumpulan kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa untuk membeli Baju Raya dalam satu lawatan khas ke House of Ariani, bagi memberi mereka peluang merasai kegembiraan membuat persiapan menyambut perayaan.
Inisiatif ini mencerminkan usaha PUSPAKOM dalam berkongsi semangat Ramadhan sambil mengeratkan hubungan dengan masyarakat, selaras dengan nilai keprihatinan, tanggungjawab dan integriti yang dipegang oleh organisasi.
Mahmood berkata usaha sebegini menjadi peringatan bahawa integriti bukan sahaja nilai yang diamalkan dalam organisasi, tetapi juga tanggungjawab bersama dalam masyarakat.
“Integriti bukan sahaja perlu diamalkan dalam organisasi kami, malah dalam cara kami berkhidmat dan berinteraksi dengan masyarakat. Dengan memupuk ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap proses, kita dapat memperkukuh kepercayaan serta menyumbang kepada ekosistem keselamatan jalan raya yang lebih selamat untuk semua,” katanya.
