(SEMASA) GALAKSI MEDIA ONLINE ‘UNBOXING’ SAMSUNG GALAXY A57 5G

Spread the love

Samsung Malaysia telah memulakan promosi bagi memperkenalkan siri Galaxy A terbaharu, khususnya Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G bermula April 2026. Portal Galaksi Media Online (GMO) mendapat peluang untuk membuat sesi ‘UNBOXING’ atau belah kotak peranti premium kelas pertengahan, Samsung Galaxy A57 5G. GMO telah dibekalkan satu unit peranti selepas majlis pelancarannya yang berlangsung dengan meriah di The Campus, Ampang.

Seperti edisi-edisi sebelum ini, Samsung masih mengekalkan identiti kotak pembungkusan Galaxy A57 5G dengan tona warna putih sebagai asasnya. Gambaran hadapan kotak menunjukkan rupa bentuk peranti yang jelas lebih nipis. GMO telah diberikan unit berwarna kelabu yang dilabelkan sebagai ‘Awesome Gray’. Saiz kotak pembungkusan ini kekal nipis, malah terasa lebih ringan, selaras dengan profil peranti ini yang kini seberat 179g sahaja.

Berbalik kepada isi kotak tersebut, sebaik kotak dibuka, kita akan mendapati peranti diletakkan di bahagian atas. Di bawahnya, Samsung menyertakan satu kabel USB-C ke USB-C tanpa disertakan penyesuai plag (adapter charger), berserta kad waranti dan buku panduan ringkas. Seperti sedia maklum, strategi Samsung ini bertujuan untuk kelestarian alam sekitar, namun pengguna masih perlu membeli adapter secara berasingan jika belum memilikinya. Ketiadaan adapter ini jugalah yang menjadi punca utama saiz kotak Galaxy A57 5G kekal nipis dan minimalis.

Dari segi reka bentuk, Galaxy A57 5G membawa perubahan yang sangat ketara. Ia merupakan model siri Galaxy A yang paling nipis pernah dihasilkan dengan ketebalan hanya 6.9mm. Walaupun nipis, binaannya terasa sangat premium dengan padanan kaca dan bingkai logam. Bahagian belakangnya menampilkan rekaan tiga kamera yang diletakkan di atas bonjol kamera dengan kesan lut sinar yang elegan. Selain ‘Awesome Gray’, model ini turut hadir dengan pilihan warna Awesome Navy dan Awesome Icyblue.

Secara asasnya, Galaxy A57 5G dilengkapi dengan ciri-ciri yang sangat berkuasa dalam kelasnya. Antaranya ialah paparan skrin 6.7″ Super AMOLED Plus dengan kadar segar semula 120Hz yang kini mempunyai bezel lebih nipis. Fokus utama peranti ini adalah pada keupayaan Nightography melalui kamera utama 50 MP (OIS) yang dipertingkatkan dengan AI untuk rakaman malam yang lebih tajam.

Peranti ini dikuasakan oleh cip Exynos 1680 dengan pilihan storan sehingga 512GB serta memori 12GB RAM. Melengkapkan spesifikasinya adalah bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W, sistem keselamatan Samsung Knox Vault, serta jaminan kemas kini OS sehingga 6 generasi. Satu pelaburan yang berbaloi bagi peminat siri Galaxy A!


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *