(SEMASA) SUZUKI MALAYSIA LANCARKAN MOTOSIKAL DWI-SUKAN: SUZUKI DR-Z4S DAN DR-Z4SM 

Spread the love

Sepang, 12 April 2026 (Ahad) — Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM, menandakan kembalinya platform dwi-sukan legenda DR-Z dengan dua model motosikal yang dibangunkan untuk tunggangan dwi-guna serta prestasi supermoto jalan raya bagi penunggang di Malaysia.

“Motosikal dwi-sukan direka untuk penunggang yang mahukan sebuah motosikal yang mampu digunakan di jalan raya setiap hari, namun pada masa yang sama sentiasa bersedia untuk meneroka laluan off-road apabila jiwa pengembaraan hadir.”

Inilah semangat sebenar di sebalik platform DR-Z. Bagi ramai penunggang, menunggang motosikal bukan sekadar untuk perjalanan harian atau prestasi di jalan raya, tetapi juga tentang kebebasan untuk meneroka laluan di luar permukaan berturap.

Karakter spesifikasi motosikal DR-Z yang khusus menfokuskan rekabentuk yang ringan, membolehkan penunggang mengharungi laluan tanah, jalan berbatu dan permukaan mencabar dengan lebih yakin, sambil kekal praktikal dan selesa untuk kegunaan harian di jalan raya. Kepelbagaian inilah yang menjadikan DR-Z sebuah nama yang dihormati dalam kalangan peminat motosikal kegunaan dwisukan di seluruh dunia.

Model DR-Z4S direka untuk tunggangan dwi-guna yang membolehkan penunggang meneroka jalan berturap dan laluan off-road dengan lebih yakin. Sementara itu, DR-Z4SM menawarkan karakter supermoto yang lebih agresif dan menyeronokkan, menjadikannya sesuai untuk tunggangan di kawasan bandar serta pengendalian selekoh di jalan berturap.

Walaupun kedua-dua model ini berkongsi DNA kejuruteraan dan reka bentuk yang sama, setiap motosikal memberikan pengalaman tunggangan yang berbeza sambil mengekalkan semangat pengembaraan yang sinonim dengan nama DR-Z.

Kedua-dua motosikal ini dikuasakan oleh enjin satu silinder DOHC 398cc penyejukan cecair yang kini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api, pendikit ride by wire serta palam pencucuh berkembar, menghasilkan kira-kira

37.5 kuasa kuda. Enjin ini juga mematuhi piawaian pelepasan Euro 5+, sekali gus menawarkan kecekapan yang lebih baik, penghantaran kuasa yang lebih lancar serta tindak balas pendikit yang lebih halus.

Kedua-dua model turut dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector dengan tiga mod tunggangan, sistem kawalan cengkaman empat mod termasuk mod Gravel, serta system ABS yang boleh dilaraskan. Sistem ini membolehkan penunggang menyesuaikan karakter motosikal mengikut keadaan jalan dan persekitaran tunggangan.

Walaupun kelihatan hampir serupa dari segi reka bentuk, kedua-dua motosikal ini menawarkan dinamik tunggangan yang berbeza. DR Z4S menggunakan rim hadapan 21 inci dan rim belakang 18 inci, satu konfigurasi yang sesuai untuk tunggangan off-road kerana ia membantu meningkatkan kestabilan, kawalan serta keupayaan melepasi halangan di permukaan yang tidak rata.

Sebaliknya, DR-Z4SM menggunakan rim 17 inci di bahagian hadapan dan belakang, yang memberikan respons kawalan yang lebih pantas, pengendalian selekoh yang lebih tajam serta cengkaman jalan yang lebih baik untuk tunggangan supermoto di jalan berturap dan kawasan bandar.

Nama DR-Z mempunyai sejarah tersendiri dalam barisan motosikal Suzuki di peringkat global. Sejak diperkenalkan pada awal tahun 2000 menerusi model seperti DR-Z400S dan DR-Z400SM, platform ini dikenali dengan ketahanan, prestasi ringan serta keupayaan serba boleh. Sepanjang tempoh tersebut, DR Z menjadi pilihan ramai peminat motosikal dwi guna dan supermoto di seluruh dunia serta sering digunakan untuk aktiviti pengembaraan off-road, tunggangan lasak dan pertandingan supermoto peringkat komuniti.

Platform DR-Z sejak sekian lama melambangkan sebuah motosikal yang ringkas, berkeupayaan tinggi dan bersedia menghadapi apa jua bentuk permukaan jalan.

Dengan pengenalan DR Z4S dan DR Z4SM, Suzuki Malaysia membawa platform legenda ini kepada generasi penunggang baharu dengan gabungan teknologi moden serta semangat pengembaraan Lasak dan ekstrim yang telah membentuk identiti DR-Z selama beberapa dekad.

Model DR Z4S ditawarkan dalam pilihan warna Champion Yellow dan Solid Iron Gray, manakala DR Z4SM hadir dengan warna Sky Gray dan Solid Special White. Harga yang disyorkan bagi kedua-dua model ialah RM42,988.00 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) dan Suzuki Malaysia turut menawarkan harga pengenalan istimewa RM39,888.00 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) kepada 50 pelanggan terawal bagi kedua-dua model tersebut.

Suzuki DR Z4S dan DR Z4SM boleh didapati di rangkaian pengedar sah Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.suzuki.com.my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *