Kuala Lumpur, 15 April 2026 – GSC Movies dengan bangganya membawakan filem komedi-drama Indonesia Tunggu Aku Sukses Nanti ke pawagam Malaysia bermula 16 April 2026. Arahan Naya Anindita, filem ini mengangkat kisah yang dekat dengan realiti kehidupan, tekanan keluarga, pencarian arah hidup, dan makna sebenar kejayaan.
Diterajui oleh Ardhit Erwandha, bersama Lulu Tobing, Afganshah Reza, Ariyo Wahab, Adzana Ashel, Fita Anggriani Ilham dan ramai lagi, filem ini mengikuti perjalanan seorang anak muda yang bergelut membuktikan dirinya di tengah ekspektasi keluarga dan masyarakat. Dengan gabungan elemen humor dan emosi, ia tampil sebagai naskah yang sangat dekat dengan penonton di Malaysia dan menyentuh hati.
Pengarah Naya Anindita, yang sebelum ini dikenali menerusi filem Komang, sekali lagi membuktikan keupayaannya mengolah isu-isu kehidupan dengan sentuhan yang ringan namun bermakna. Gaya penceritaannya yang menggabungkan drama dan komedi menjadikan kisah yang berat terasa dekat dan mudah dihayati. Sejak ditayangkan di Indonesia, filem ini telah menghampiri lebih 3 juta penonton dalam tempoh singkat, mencerminkan sambutan hangat dan kekuatan penceritaannya.
Malam Gala filem ini berlangsung meriah di GSC Mid Valley Megamall, dengan kehadiran istimewa Afganshah Reza dan pengarah Naya Anindita, yang turut meluangkan masa berinteraksi bersama peminat dan pihak media. Acara ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama Raden Dato’ Mohammad Hascarya Kusumo, Duta Besar Republik Indonesia.
Filem ini diterbitkan oleh Rapi Films, Screenplay Films, dan Legacy Pictures, serta diedarkan di Malaysia oleh GSC Movies bersama Suraya Filem. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula 16 April 2026.

