Sesuatu yang epik seperti sebuah konsert dengan momen luar biasa yang terjadi secara semula jadi adalah sangat sukar untuk diulang, namun ia boleh diterjemahkan dengan lebih kaya seperti kembali ke terowong masa dalam atmosfera baharu. Pengalaman-pengalaman hebat ini ; pertembungan antara momen epik dan perayaan repertoir yang cukup besar mahu dipersembahkan dalam sebuah konsert yang digelar The Grand Slam Unplugged 2.
The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi sekuel paling menarik setelah edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu dikembalikan semula dengan segala perasaan ‘throwback’ namun kini dengan bungkusan lebih menarik.
Momen magis malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka bakal berulang. Bukan sekadar mahu menghidupkan semula The Grand Slam Unplugged yang pernah menjadi sejarah terhebat industri muzik tempatan kerana konsert tetap berlangsung gah meski terkendala gangguan elektrik, tetapi The Grand Slam Unplugged 2 adalah tentang mencipta momen baharu lewat kenangan silam.
Konsert ini akan berlangsung pada 20 Jun 2026 bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Ini merupakan tarikh dan lokasi di mana setiap jiwa yang beralun lagu-lagu Slam akan berkumpul dan bernostalgia.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami.
“Ia bukan sebuah konsert ulang tayang. Ia juga bukan sebuah konsert yang dilahirkan kerana mengambil kesempatan di atas sejarah tiada elektrik yang berlaku sewaktu The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.
“Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Ia tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan sekaligus kekal relevan dengan pasaran sekarang,” ujar gitaris Slam, Shah.
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat. Setelah tiket dilancarkan 13 Februari lalu, setakat ini sudah 70 peratus tiket dijual. Kami yakin peminat masih setia dengan kami dan ini sangat mengharukan,” ujar Osman Khalid selaku pemain dram Slam.
Untuk menambahkan lagi kemeriahan dan kenangan pada 20 Jun ini, Slam turut menjemput tiga sosok penting dalam industri seni khususnya individu-individu yang sinonim dalam pembikinan lagu-lagu ‘masterpiece’ Malaysia.
Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search merupakan figura penting yang akan mewarnai lagi suasana dan momen Unplugged kelak. Tiga gitaris yang membina nama, jenama dan ‘signature’ tersendiri dalam industri seni Malaysia.
“Saya menyifatkan ini merupakan sebuah undangan istimewa dan sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka. Saya sangat menghargai jemputan Ini. Dan bagi saya Slam adalah wajah sebenar genre Pop Melayu,” ujar Aznan Alias yang merupakan gitaris dan Pengarah Muzik untuk konsert-konsert Dato’ M.Nasir, Dato Awie dan ramai penyanyi terkenal Malaysia.
Buat JoBranko pula, dilamar menyemarakkan The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah penghormatan dan menjadi lambang silaturahmi yang telah terjalin di antara mereka sebagai sesama pemuzik dan sahabat industri.
“Tentu sekali saya berbangga untuk terlibat dalam projek mega Slam ini. Sebagai pemuzik dan sahabat, saya melihat Slam sebagai sebuah kumpulan yang hebat kerana mampu bertahan selama berpuluh tahun.
“Lebih membanggakan, Slam dianggotai lima kepala dan semuanya perlu menjadi satu, ‘bersatu’ untuk kekal sehingga kini,” ujar JoBranko.
Malah JoBranko percaya karya-karya malar segar yang dimiliki Slam akan membuat peminat sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
“Slam memiliki banyak lagu evergreen dan peminat tegar, maka saya percaya The Grand Slam Unplugged 2 akan berlangsung sukses,” kata JoBranko.
Menurut Kid pula, bersetuju terlibat dalam The Grand Slam Unplugged 2 adalah apresiasi buatnya sesama pemuzik meski ‘hidup’ dalam genre berbeza.
“Muzik sentiasa menyatukan kita. Tidak kisah saya datang daripada kumpulan apa, atau Slam membawa muzik yang berbeza genre, namun kita meraikan semuanya.
“Terima kasih buat Slam kerana menjadikan saya, Kid sebagai sebahagian momen epik pada malam The Grand Slam Unplugged 2 nanti,” ujar Kid.
Segala yang direncana mahu dilaksana sesempurna mungkin. Slam mahu kehangatan yang pernah ditebarkan pada malam The Grand Slam Unplugged kembali terjalin di The Grand Slam Unplugged 2.
“Malam itu akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam. Apa yang pasti The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi medan Masih Ada Cahaya dalam perjalanan Slam dan anda semua,” ujar Shah lagi.
Tanda tarikh 20 Jun 2026 ini dan kita akan bertemu di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Jangan lupa dapatkan tiket-tiket yang masih ada.
Satukan Hati Kita 20 Jun ini di Megastar Arena Kuala Lumpur khusus buat The Grand Slam Unplugged 2 . Dapatkan tiket di www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2
Kategori PS3 dan PS4 sudah sold out.
Dapatkan tiket-tiket berharga:
GRAND VIP RM3000.00 (Couple Sofa)
VIP (Gold) RM468.00 (Numbered Seating)
PS1 (Silver) RM388.00 (Numbered Seating)
PS2 (Platinum) RM368.00 (Numbered Seating)
PS3 & PS 4 – SOLD OUT
- Ticket price is excluding ticket handling charges and payment gateway processing fees.
