KUALA LUMPUR, 4 Mei 2026: Legenda rock tanah air, Dato’ Awie, bakal mengukir satu lagi sejarah menerusi konsert berskala mega AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September 2026 ini. Konsert berskala mega anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini akan menampilkan persembahan solo epik Dato’ Awie yang akan menghimpunkan empat dekad perjalanan kerjaya beliau sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tanah air.
Konsert yang akan bermula jam 8.30 malam ini juga akan menjadi antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tempatan, menghimpunkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di satu pentas ikonik.
Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay berkata, ini bukan kali pertama beliau bekerjasama dengan Dato’ Awie dalam penganjuran konsert berskala besar.
Hubungan profesional mereka telah terjalin hampir empat dekad, pada saat Bombay aktif berkarya dalam bidang penerbitan konsert manakala Dato’ Awie dalam seni nyanyian hingga berjaya meletakkan dirinya sebagai antara ikon utama dalam industri muzik tanah air.
“Dari era Wings, kemudian ke perjalanan solo Dato’ Awie, sehingga kembali ke pelbagai fasa evolusi seni beliau, kami sering bekerjasama dan kolaborasi ini telah membentuk satu chemistry yang kuat dan kukuh dalam meningkatkan taraf dan mutu setiap persembahan konsert yang kami lakukan bersama.”
“Tajuk “Last Man Standing” membawa simbolik kepada perjalanan seni Dato’ Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik. Dalam apa jua keadaan, beliau tetap berdiri teguh di atas pentas, mempertahankan identiti dan bahasa seninya yang tidak pernah pudar.
Sementara itu, gelaran “Rock King” pula melambangkan sumbangan besar Dato’ Awie dalam membawa satu era baharu bagi genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo,” jelas Bombay.
Dato’ Awie menyifatkan konsert AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026 sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seni beliau yang telah mencecah lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.
Menurut beliau, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang telah dilalui sepanjang kariernya.
Beliau turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak era awal bersama Wings, perjalanan solo, sehingga kini. Baginya, setiap fasa tersebut membentuk dirinya sebagai seorang anak seni yang lebih matang dan kuat dalam menghadapi perubahan industri muzik.
Dato’ Awie juga berharap konsert ini dapat menjadi sebuah pengalaman bermakna kepada semua yang hadir, di samping meraikan legasi muzik rock yang terus hidup dan relevan dalam jiwa peminat pelbagai generasi. Beliau menegaskan bahawa persembahan ini adalah dedikasi istimewa buat semua yang telah bersama-sama dalam perjalanan seni beliau selama ini.
Konsep & Naratif Konsert
Konsert ini mengangkat konsep penceritaan perjalanan seni Dato’ Awie yang penuh keteguhan dan evolusi. Ia merakam kisah jatuh bangun beliau sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik, daripada era awal bersama kumpulan, fasa solo, sehingga pelbagai perubahan dalam landskap muzik tanah air.
Menurut Bombay, Dato’ Awie menjadi watak utama dalam keseluruhan naratif konsert ini, yang menggambarkan keteguhan seorang anak seni yang terus berdiri di atas pentas tanpa mengira cabaran zaman, sambil mengekalkan identiti serta keaslian seninya.”
“Melalui konsep “Last Man Standing”, konsert ini turut menzahirkan kekuatan seorang legenda yang mampu bertahan dalam perubahan industri, serta kekal relevan dan dihargai oleh pelbagai generasi,” katanya.
Susunan Muzik & Artis Undangan
Konsert ini turut menampilkan puluhan pemuzik berkaliber serta himpunan penyanyi undangan popular dan terkemuka. Ia juga membawa mesej penghargaan sebagai sebuah tribute kepada perjalanan 40 tahun seni Dato’ Awie.
Penglibatan artis jemputan ini menghimpunkan generasi lama dan baharu, dengan setiap penyanyi akan membawakan karya-karya ikonik Dato’ Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi beliau.
Susunan repertoir konsert dirangka untuk membawa penonton menyusuri evolusi muzik beliau – menggabungkan elemen nostalgia dengan pendekatan segar, bagi mencipta pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna pada setiap segmen persembahan.
Peranan Pemuzik & Pendekatan Muzik
Pemuzik yang terlibat terdiri daripada individu berpengalaman dengan kekuatan dan gaya muzik tersendiri. Gabungan ini memberikan nilai besar kepada keseluruhan produksi konsert.
Mereka dibahagikan mengikut latar belakang muzik seperti rock, pop dan genre lain bagi memastikan setiap segmen mempunyai identiti tersendiri. Pendekatan ini menjadikan perjalanan muzik lebih dinamik, dan segar.
Susunan muzik dibentuk melalui kolaborasi kreatif bersama para pemuzik yang hebat, ternama dan profesional untuk menghasilkan interpretasi baharu terhadap lagu-lagu Dato’ Awie, sekaligus memberikan sebuah pengalaman unik kepada penonton dalam mendengar, menghayati dan menonton konsert AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026.
Visi & Matlamat Penganjuran
Selaku Penerbit dan Pengarah Konsert, Bombay berkata lagi, matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memastikan konsert ini berjaya dan mencapai standard tertinggi , khususnya buat Dato’ Awie dan para peminat yang hadir.
“Kami mahu konsert ini menjadi satu karya yang memberi impak, malah berpotensi menjadi sebuah masterpiece dalam industri muzik tempatan. Ini penting kerana penonton meluangkan masa dan membayar untuk hadir, jadi kami ingin memberikan pengalaman yang setimpal dan berkualiti tinggi.
“Selain itu, kami berharap konsert ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penganjuran konsert di masa hadapan- dari segi produksi, kreativiti dan konsep setiap persembahan dan keseluruhan pengalaman.
“Akhirnya, harapan kami adalah agar konsert ini dikenang sebagai sebuah konsert yang istimewa- bukan sahaja menghimpunkan ramai artis dan pemuzik di atas satu pentas, tetapi juga memberikan kepuasan dan pengalaman yang bermakna kepada penonton pada malam tersebut,” katanya.
Konsert AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026 ini turut mendapat sokongan daripada rakan media rasmi, iaitu stesen radio ERA FM, Sinar FM dan GEGAR sebagai radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal digital rasmi bagi memastikan liputan menyeluruh menjelang konsert berskala mega ini.
TIKET BERHARGA:
CAT 1 – RM98
CAT 2 – RM148
CAT 3 – RM298
CAT 4 – RM348
CAT 5 – RM398
CAT 6 – RM148
CAT 7 – RM448
CAT 8 – RM648
CAT 9 – RM1198
CAT 10 (Couple Seat) – RM2998
CAT 10 (Table of 4) – RM5998
Sebarang pembelian tiket atau maklumat tambahan mengenai kedudukan tiket boleh diperolehi melalui platform iLasso Tickets.
