(HIBURAN) J ZAINAL PERTARUH ‘BERALUN’, ANGKAT ISU ADAB MEDIA SOSIAL MELALUI MUZIK ALTERNATIVE ROCK

Spread the love

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – Pemuzik dan penerbit muzik, J Zainal, kembali dengan karya terbaharu menerusi single kelimanya berjudul Beralun, sebuah karya berteraskan muzik alternative rock yang mengangkat isu adab, sikap dan budaya komunikasi masyarakat dalam dunia media sosial.

Terhasil daripada pemerhatian terhadap gelagat pengguna media sosial, Beralun mengetengahkan realiti segelintir individu yang begitu lantang menyuarakan pandangan, mempertontonkan kebijaksanaan serta keberanian di sebalik skrin telefon atau komputer, sedangkan keberanian dan sikap yang sama tidak semestinya diterjemahkan apabila berhadapan secara bersemuka.
Menurut J Zainal, Beralun merupakan sebuah komentar sosial (social commentary) yang lahir daripada pemerhatiannya terhadap perubahan cara manusia berkomunikasi dalam era digital, khususnya apabila kebebasan bersuara kadangkala menyebabkan seseorang terlalu mudah melontarkan kata-kata tanpa mempertimbangkan kesan terhadap orang lain.

“Beralun adalah social commentary tentang adab di media sosial. Masing-masing berpusu-pusu mahu menunjukkan rasa bijak pandai dan keberanian yang kadangkala tidak berasas hanya kerana berada di sebalik telefon atau komputer.

“Sedangkan, diri sebenar mungkin tidaklah sehebat yang digambarkan. Perkara itulah yang saya perhatikan dalam kehidupan seharian dan cuba saya terjemahkan menerusi lagu ini,” katanya.
Dari sudut muzik pula, Beralun mengetengahkan pendekatan alternative rock dengan susunan muzik yang tersendiri bagi menyerlahkan identiti J Zainal sebagai seorang pemuzik dan penerbit. Pendekatan tersebut turut menjadi antara kekuatan utama karya berkenaan yang tidak terlalu bergantung kepada formula muzik arus perdana mahupun pendekatan lazim dalam muzik indie.

Menurut beliau, aspek susunan muzik merupakan antara perkara yang diberikan perhatian utama bagi memastikan Beralun mempunyai karakter dan identiti tersendiri.

“Keistimewaan Beralun bagi saya terletak pada susunan muziknya. Pendekatannya berbeza daripada kebanyakan lagu yang kita dengar, sama ada dalam arus perdana mahupun indie.

“Saya mahu lagu ini mempunyai bunyi dan karakter sendiri tanpa terlalu terikat dengan mana-mana formula tertentu. Pada masa yang sama, mesej yang ingin disampaikan perlu kekal jelas dan dekat dengan realiti kehidupan hari ini,” jelasnya.

Seiring dengan pelancaran single dan muzik video Beralun, J Zainal turut merancang siri showcase di tiga lokasi di Semenanjung Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh, sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan dirinya dan karya-karyanya kepada peminat.

Aksi sulung J Zainal bersama Kugiran Akta Tribunal dijadualkan berlangsung di Behave Ampang, Kuala Lumpur pada 12 September 2026, sebelum siri persembahan tersebut diteruskan ke Johor Bahru dan Ipoh.

Siri showcase berkenaan bukan sekadar menjadi ruang untuk memperkenalkan Beralun, malah menjadi platform bagi J Zainal memperlihatkan identiti muziknya secara lebih dekat kepada khalayak menerusi persembahan secara langsung. Pengalaman tersebut dijangka memberikan dimensi berbeza kepada pendengar yang selama ini menikmati karya beliau menerusi platform digital.
“Saya mahu orang ramai bukan sahaja mengenali J Zainal menerusi lagu yang didengar secara digital, tetapi turut merasai sendiri tenaga, emosi dan karakter muzik ini apabila dimainkan secara langsung bersama Kugiran Akta Tribunal.

“Persembahan secara langsung memberikan pengalaman yang berbeza kerana hubungan antara pemuzik dan penonton dapat dirasai dengan lebih dekat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Beralun turut bakal menjadi antara karya yang dimuatkan dalam album sulung J Zainal yang dijangka disiapkan pada tahun 2027. Album tersebut bakal menghimpunkan perjalanan serta perkembangan muzik beliau, selain menjadi wadah untuk memperkenalkan identiti artistik dan karya-karyanya kepada khalayak yang lebih luas.

Kemunculan Beralun sekali gus memperlihatkan usaha berterusan J Zainal dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menitikberatkan aspek muzik dan persembahan, malah turut membawa mesej serta pemerhatian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Menerusi pendekatan alternative rock yang lebih eksperimental dan identiti muzik yang tersendiri, beliau berharap karya tersebut mampu mencetuskan ruang untuk pendengar menilai semula cara mereka berkomunikasi dan berinteraksi dalam dunia digital.

Maklumat lanjut mengenai J Zainal, Beralun, muzik video serta perkembangan terkini boleh didapati menerusi laman web rasmi jzainal dot com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *