KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2026 – RCB Day 2026 yang julung kali dianjurkan di Malaysia berlangsung dengan meriah apabila berjaya menghimpunkan lebih 2,500 pengunjung di Heritage Valley, Kuala Lumpur, pada Ahad, 23 Ogos 2026. Acara yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam itu menghimpunkan peminat motosikal, pengguna produk RCB, rakan niaga, pasukan lumba, penaja, pelumba negara, pemain industri serta komuniti permotoran dalam satu acara yang meraikan semangat dan kepelbagaian komuniti dua roda.
Penganjuran RCB Day 2026 menampilkan pelbagai pengisian yang dirangka untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung, termasuk pameran motosikal, zon hiburan, persembahan artis jemputan, persembahan silat, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti interaktif sepanjang berlangsungnya acara. Sambutan menggalakkan daripada komuniti permotoran turut mencerminkan minat yang tinggi terhadap program berteraskan komuniti serta sokongan berterusan terhadap jenama RCB.
Pengurus Jenama RCB, Amir Azizi Rahman, berkata sambutan yang diterima pada penganjuran sulung RCB Day di Malaysia amat memberangsangkan dan di luar jangkaan pihak penganjur.
“RCB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung, penaja, rakan strategik, pelumba negara, artis dan seluruh komuniti permotoran yang telah bersama-sama menjayakan RCB Day 2026. Kehadiran yang begitu menggalakkan, khususnya daripada pengguna produk RCB dan penunggang motosikal dari pelbagai latar belakang, membuktikan bahawa acara seperti ini mampu menjadi platform yang menyatukan komuniti dua roda.
“Sebagai penganjuran pertama di Malaysia, kami tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap sambutan RCB Day. Namun, jumlah kehadiran dan respons positif yang diterima amat membanggakan. Justeru, kami berhasrat menjadikan RCB Day sebagai acara tahunan sebagai salah satu usaha untuk memberikan kembali kepada komuniti serta menghargai sokongan berterusan para pengguna dan peminat RCB.
“Lebih penting, kami dapat melihat pelbagai jenis motosikal, kumpulan penunggang dan komuniti hadir bersama-sama dalam satu acara tanpa mengira perbezaan, selaras dengan semangat dan slogan RCB, ‘Different Ride, One Community’,” katanya.
Antara tarikan utama RCB Day 2026 ialah Pameran Motosikal yang menampilkan hampir 40 buah motosikal daripada pelbagai kategori dan gaya. Pameran tersebut bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian jentera dalam kalangan komuniti RCB, malah mengetengahkan kreativiti, identiti serta minat pemilik dalam menceriakan dan memperkemaskan motosikal masing-masing.
Acara tersebut turut diserikan dengan empat kategori pertandingan Pameran Motosikal, iaitu King of RCB Moped, King of RCB Scooter, RCB Superstar Coverset dan RCB Drag King / Tayar Sotong.
Kategori King of RCB Moped dimenangi oleh Muhammad Hafiz, manakala King of RCB Scooter menjadi milik Azman Borhamdin. Sementara itu, Mohaza Mohd Nor muncul juara bagi kategori RCB Superstar Coverset, manakala Muhammad Megat Firdaus memenangi kategori RCB Drag King / Tayar Sotong.
Pemenang bagi kategori King of RCB Moped menerima hadiah yang disampaikan oleh Nor Lina Ayob, Pengurus Korporat Komunikasi MKA, bersama Nazirul Izzat, pelumba daripada pasukan Maju Motor. Hadiah bagi kategori King of RCB Scooter pula disampaikan oleh Amir Azizi Rahman, Pengurus Jenama RCB, manakala Kasma Daniel Kasmayudin, pelumba daripada pasukan Hong Leong Yamaha, menyampaikan hadiah bagi kategori RCB Superstar Coverset. Bagi kategori RCB Drag King / Tayar Sotong, hadiah disampaikan oleh Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba daripada pasukan JDT Racing.
Kemuncak acara turut menyaksikan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung. Cabutan tersebut dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan warna gelang tangan, iaitu gelang merah yang dikhususkan kepada pemilik motosikal yang menggunakan sekurang-kurangnya tiga produk RCB pada motosikal masing-masing, serta gelang kuning yang terbuka kepada semua penunggang motosikal.
Antara hadiah utama yang menjadi tumpuan ialah motosikal AFAZ Kencana Sport yang dimenangi oleh Aiman Edzzuan, motosikal Aveta Nova 200 yang dimenangi oleh Rina Azilah Dollah, serta motosikal Honda RS-X sebagai hadiah utama yang dimenangi oleh Mohd Noor Iskandar Ismail.
Suasana RCB Day 2026 semakin meriah apabila kumpulan rock terkenal, XPDC, tampil menghiburkan pengunjung dengan persembahan lima buah lagu, manakala Black Hanifah turut membuat persembahan dengan membawakan tiga buah lagu. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan silat serta menyertai pelbagai aktiviti dan mengunjungi ruang pameran serta jualan yang disediakan sepanjang acara.
Penganjuran RCB Day 2026 turut mendapat sokongan daripada penaja utama, antaranya Boon Siew Honda, Aveta, AFAZ, Suzuki, Pirelli, Windham Genting Highlands, RCB, UMA Racing, KYT dan Samurai. Sokongan daripada rakan strategik seperti TWMR, Sepang International Circuit (SIC), Hong Leong Yamaha, HS 55 Coffee, Ipone dan redONE Mobile turut menyumbang kepada kelancaran serta kemeriahan keseluruhan acara.
Secara keseluruhannya, RCB Day 2026 bukan sekadar menjadi medan pertemuan bagi peminat motosikal, sebaliknya berjaya berfungsi sebagai platform untuk menghimpunkan pelanggan, pengguna, peminat, rakan niaga, pasukan lumba, pelumba dan pemain industri dalam suasana yang lebih santai, inklusif dan mesra komuniti.
Kehadiran lebih 2,500 pengunjung pada penganjuran sulung tersebut menjadi petunjuk positif terhadap penerimaan komuniti permotoran terhadap inisiatif berasaskan komuniti yang diketengahkan oleh RCB. Sambutan berkenaan turut menjadi dorongan kepada pihak penganjur untuk memperkukuh penganjuran pada masa hadapan.
Sehubungan itu, RCB menyasarkan agar RCB Day 2027 dapat dianjurkan pada skala yang lebih besar dengan penglibatan komuniti yang lebih meluas, penyertaan pameran motosikal yang lebih banyak, pengisian aktiviti komuniti yang lebih pelbagai serta penawaran hadiah yang lebih menarik kepada para pengunjung.
RCB sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja, rakan strategik, peserta, pelumba, artis, penggiat industri, komuniti permotoran dan seluruh pengunjung yang telah memberikan sokongan serta menjayakan RCB Day 2026. Sokongan tersebut diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada usaha RCB dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti dua roda serta menjadikan semangat “Different Ride, One Community” sebagai asas kepada penganjuran pada masa akan datang.
