KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Selepas mencuri perhatian di beberapa festival filem antarabangsa, filem fantasi-suspens THE MAGE arahan duo tersohor Hong Kong, Danny Pang dan Oxide Pang (Pang Brothers), bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 Oktober 2026, dengan edaran tempatan oleh Mega Films Distribution.
Dibintangi Josie Ho, Carlos Chan dan Iman Taheri serta diterbitkan oleh Conroy Chan, THE MAGE menandakan kembalinya Pang Brothers bergabung sebagai duo pengarah selepas lebih sedekad. Duo berkenaan cukup dikenali peminat genre menerusi francais seram ikonik, The Eye.
THE MAGE menggabungkan elemen suspens, misteri dan supernatural menerusi kisah Lan Pui Ching (Josie Ho), seorang medium dengan kebolehan luar biasa yang hidup dikelilingi barangan terbuang. Di sebalik elemen seram, filem ini turut meneroka persoalan mengenai trauma, kehilangan, kebaikan dan kasih tanpa syarat.
Idea filem ini diinspirasikan daripada kisah seorang kenalan Danny Pang yang gemar mengutip barangan terbuang kerana percaya objek tertentu mempunyai kaitan dengan roh individu yang meninggal dunia secara mengejut.
“Saya pertama kali mendengar cerita ini daripada Danny di dapur rumah saya,” kata Josie Ho.
JOSIE HO BERDEPAN FOBIA DEMI WATAK
Menariknya, Josie terpaksa berdepan ketakutan peribadinya ketika membawakan watak Pui Ching.
Mengakui dirinya sangat takut terhadap kuman dan kekotoran, beliau perlu menjalani penggambaran dalam set yang dipenuhi kira-kira dua tan barangan terbuang sehingga dilaporkan mengalami ruam.
Namun bagi Josie, THE MAGE membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar ketakutan.
“Walaupun berada di tempat paling kotor, kita masih boleh melihat kebaikan di dalamnya,” katanya.
Penerbit Conroy Chan turut menegaskan bahawa di sebalik elemen supernatural, THE MAGE membawa mesej universal mengenai kepentingan menjadi baik dan berbuat baik kepada orang lain, satu nilai yang mampu merentasi bahasa dan budaya.
DARI PAKAR BEDAH KE LAYAR PERAK
THE MAGE turut menampilkan Iman Taheri, yang mempunyai latar belakang sebagai pakar bedah sebelum menceburi bidang lakonan.
Josie Ho dan Conroy Chan membantu mempersiapkan Iman sebelum penggambaran, manakala persembahannya turut mendapat perhatian Danny Pang.
Mengulas mengenai dunia supernatural dari perspektifnya, Iman berkata:
“Ada perkara yang kita tidak tahu, kuasa yang berada di luar pemahaman kita.”
Beliau turut berseloroh bahawa kejadian supernatural terbesar sepanjang projek THE MAGE adalah bagaimana Josie, Conroy dan Pang Brothers berjaya “menukar seorang pakar bedah menjadi seorang pelakon.”
CIPTA MOMENTUM DI PENTAS ANTARABANGSA
THE MAGE mengadakan tayangan perdana dunia di Bucheon International Fantastic Film Festival (BIFAN), Korea Selatan, sebelum meneruskan perjalanan ke beberapa pentas festival antarabangsa.
Josie Ho turut menerima Fantastic Icon Award di BIFAN sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan dan sumbangannya dalam dunia filem genre.
THE MAGE kemudiannya dipilih sebagai filem pembukaan Midnight Section di Bangkok International Film Festival, dengan tayangan berlangsung pada 14 September 2026.
Pemilihan itu mencipta pencapaian tersendiri apabila THE MAGE menjadi produksi berbahasa Cina dari Hong Kong pertama yang dipilih membuka Midnight Section festival berkenaan.
Perjalanan antarabangsa filem ini turut diteruskan menerusi penyertaannya dalam Sitges International Fantastic Film Festival of Catalonia, antara festival filem fantasi dan genre paling berprestij di dunia.
MEGA FILMS DISTRIBUTION BAWA THE MAGE KE MALAYSIA
Hak pengedaran THE MAGE bagi Taiwan dan Asia Tenggara diperoleh CJ ENM Hong Kong, manakala bagi pasaran Malaysia, filem ini diedarkan oleh Mega Films Distribution.
Malaysia menjadi antara pasaran terawal di rantau ini menerima tayangan komersial THE MAGE apabila filem berkenaan bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 8 Oktober 2026.
Gabungan identiti sinematik Pang Brothers, persembahan Josie Ho serta penceritaan yang mengimbangi elemen supernatural dengan emosi manusia menjadikan THE MAGE sebuah karya genre yang menawarkan lebih daripada sekadar kejutan dan ketakutan.
THE MAGE dibintangi Josie Ho, Carlos Chan dan Iman Taheri, diarahkan Danny Pang dan Oxide Pang (Pang Brothers) serta diterbitkan oleh Conroy Chan.
