KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2026 – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan perpindahan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah. Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan perkhidmatan selepas jualan seiring dengan peningkatan jumlah pemilik motosikal-motosikal Mforce di Malaysia.
Pusat servis sedia ada akan ditutup pada 12 hingga 22 Oktober 2026 untuk proses pemindahan. Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce Kuala Lumpur di premis baharu akan mula beroperasi sepenuhnya pada 23 Oktober 2026.
Bekalan alat ganti tidak terjejas sepanjang penutupan ini. Pembelian terus daripada Mforce Parts Sdn. Bhd. boleh dibuat menerusi talian 012-485 0133 dengan penghantaran percuma bagi kawasan Selangor & Kuala Lumpur.
Pusat servis baharu ini bakal menempatkan lebih 20 juruteknik bertauliah serta fasiliti penyelenggaraan yang dipertingkatkan bagi mengurangkan masa menunggu dan memberikan perkhidmatan pembaikan yang lebih cekap.
Dengan keluasan keseluruhan 77,000 kaki persegi, fasiliti Mforce Kuala Lumpur kini merupakan pusat servis motosikal terbesar di Malaysia, direka bagi menyokong kapasiti penyelenggaraan berskala tinggi serta meningkatkan kecekapan operasi.
Berteraskan konsep pusat sehenti, Mforce Kuala Lumpur menawarkan rangkaian kemudahan komprehensif termasuk ruang pameran Mforce Gallery yang mempamerkan 16 susun atur pelbagai jenama di bawah Mforce, ruang menunggu pelanggan yang luas dan selesa, CR Café, restoran, pusat alat ganti serta gudang penyimpanan alat ganti bagi rangkaian produk Mforce.
Cawangan terbaharu ini turut dilengkapi Motorcycle Inspection Test Bench bernilai RM1.5 juta, yang membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan keadaan motosikal termasuk sistem brek, pencahayaan serta penjajaran badan, sejajar dengan piawaian industri.
Kemudahan sokongan lain seperti surau, tandas, ruang menunggu pelanggan serta ruang pameran dan jualan produk LS2 dan Mforce Oil turut disediakan bagi melengkapkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.
Alamat Pusat Servis Baharu:
46 & 48, Jalan Segambut Tengah,
Taman Segambut, 51200 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan.
